Novel berbentuk faksyen itu hanya dicetak dalam jumlah terhad kerana diterbitkan sendiri (baca: duit sendiri). Sebenarnya, manuskrip asal novel itu pada mulanya diluluskan untuk penerbitan oleh sebuah penerbit terkemuka tanah air.
Bagaimanapun, penerbit berkenaan tiba-tiba “membatalkan” keputusan itu. Hal ini mungkin (ulang: mungkin) ada kaitan dengan perjuangan saya terhadap hak menggunakan istilah “Bahasa Malaysia” apabila merujuk kepada bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Malaysia.
Apa pun, kini, saya bercadang menerbitkan novel Panchayat dalam Edisi Khas dan dalam jumlah terhad. Edisi Khas ini juga akan memuatkan Prakata, Pengantar dan Pendahuluan mengikut format yang digunakan dalam Kathakali (2009).
Saya sedang cuba mengumpul dana bagi menampung kos mencetak Panchayat: Edisi Khas dengan harapan dapat menerbitkannya sebelum hujung tahun 2011.
Sementara itu, saya juga juga sedang mengumpulkan reaksi daripada orang ramai yang sudah berpeluang membaca novel Panchayat (2002) untuk dimuatkan pada ruangan Pengantar. Pandangan ringkas-padat wajib ditulis menggunakan Bahasa Malaysia.
Sebarang cadangan dan komen membina amat dialu-alukan demi hasrat melahirkan Panchayat: Edisi Khas.