3 Jan 2011

Nating (Bahagian 1)

Pengalaman banyak mengajar kami menjadi dewasa. Pengalaman mengajar kami supaya tidak berkompromi terhadap apa yang boleh kami minta daripada pihak berkuasa.
.
Tentu sekali ada penduduk dalam kalangan kami yang melahirkan pandangan yang berbeza. Mereka mengatakan bahawa apa yang saya dan rakan-rakan saya harapkan tidak mungkin membawa apa-apa pulangan.
.
Cubalah saudara dengar kisah ini dan membuat keputusan sendiri.
.
“Kita sepatutnya meminta jalan bertar. Kita sepatutnya meminta bangunan sekolah. Kita sepatutnya meminta bantuan modal untuk memulakan perniagaan.”
.
Demikian pandangan sekumpulan penduduk. Lalu, itulah yang telah mereka minta daripada beberapa calon pilihan raya yang datang berkunjung dari rumah ke rumah.
.
Mereka meminta jalan bertar bagi kampung kami. Mereka meminta bangunan batu bagi sekolah di kampung kami. Mereka meminta bantuan modal untuk memulakan perniagaan.
.
Semuanya mereka dapat dengan segera daripada beberapa calon yang sebenarnya mendapat sokongan kuat daripada badan induk tertentu. Jika tidak, masakan semua permintaan itu dapat ditunaikan segera – dalam masa seminggu sahaja sepanjang tempoh berkempen.
.
Namun begitu, majoriti penduduk Siru Kambam masih berfikiran rasional. Kami tidak mudah termakan pujukan dan rayuan. Seperti yang saya nyatakan, kami tahu apa yang harus dan boleh kami harapkan.
.
“Adakah itu yang anda semua harapkan daripada seorang wakil rakyat?”
.
Bergema suara lantang calon yang berkempen di kampung kami bagi kali ketiga. Ramai yang berkumpul di keliling pentas kecil untuk mendengar ceramahnya. Maklumlah, dia calon pilihan pucuk pimpinan peringkat kebangsaan.
.
“Sekadar jalan bertar? Yang pasti akan rosak dalam masa beberapa minggu sahaja!”
..

Cerpen “Nating” karya Uthaya Sankar SB pertama kali disiarkan di akhbar Mingguan Malaysia pada 27 Mei 2007 dan petikannya disiarkan semula di blog ini mulai 3 Januari 2011 seperti diterangkan DI SINI. Sambungan cerpen ini dipaparkan di blog sehingga 11 Ogos 2012 sebelum dikeluarkan. Sila KLIK DI SINI untuk membaca petikan versi Bahasa Inggeris. Cerpen ini boleh dibaca dalam buku Kisah dari Siru Kambam (2013).