26 Dec 2010

Untuk Dewasa Sahaja!

Pada 24 Disember 2010, saya mendapat mesej daripada pengurusan Blogger.com dan Google.com yang “menasihatkan” saya meletakkan blog saya (www.uthayasb.blogspot.com) di bawah kategori “Adult Content” (Kandungan Dewasa) di mana sesiapa yang mahu mengakses blog berkenaan perlu menekan butang bertulis “I understand and I wish to continue” (Saya memahami dan saya mahu meneruskannya) sebelum dapat memasuki blog berkenaan.
.

Saya percaya “nasihat” itu diberikan oleh pengurusan selepas ada pengunjung blog saya membuat aduan mengenai kandungan blog berkenaan. Entah apa yang mengganggu fikiran si pengunjung berkenaan sehingga menganggap kandungan itu mungkin berciri “Adult Content”. Mungkin kerana faksyen Wanita Farsa atau mungkin juga kerana maklumat mengenai novel Interlok.

.

Namun, dari satu segi, bagus juga kerana mulai 24 Disember 2010, sesiapa yang mahu mengakses blog saya diberi “peringatan” awal. Maka, orang ramai membaca kandungan blog saya atas pilihan sendiri. Kalau tidak mahu ke blog saya, klik sahaja butang “I do not wish to continue” (Saya tidak mahu meneruskan).

.

Dari aspek lain, tentulah tiada kandungan berciri “dewasa” (adult) di mana label itu biasanya digunakan untuk kandungan berunsur seksual yang tidak sesuai – atau dilarang dari segi undang-undang – bagi individu di bawah umur 18 tahun.

.

Saya mahu berfikiran positif dengan menganggap bahawa “Adult Content” yang dimaksudkan bukan semata-mata merujuk kepada golongan yang “dewasa” dari segi umur. Sebaliknya, “dewasa” dari segi pemikiran dan tahap intelektualiti.

.

Maka, hanya individu yang mempunyai tahap pemikiran dewasa (matured thinking) dan tahap intelektual yang sudah dewasa wajar membaca kandungan di blog saya.

.

Ya, amat wajar! Maka saya ucapkan terima kasih kepada golongan yang “melaporkan” blog saya kepada pihak pengurusan. Kerjasama anda dalam “mendewasakan” blog ini amat saya hargai.