9 Dec 2010

Tuan/Hamba dalam Perlembagaan

Sebenarnya, terdapat unsur-unsur perkauman, ketuanan dan perhambaan yang dikekalkan secara tersembunyi dalam Perlembagaan yang menjadi rujukan dan panduan dalam segala aspek kehidupan sejak dahulu.
.

Seorang individu yang “menemui” kepincangan itu tampil mendedahkannya sedikit demi sedikit; tanpa dapat dinafikan bahawa dia juga mahu cuba mendapatkan “pulangan” daripada pendedahan itu kepada umum.

.

Liputan media yang diperoleh menghangatkan lagi suasana politik dalam negara; khususnya menjelang pilihan raya. Banyak juga fakta dan “kebenaran” yang terpaksa disembunyikan pelbagai pihak. Tidak mustahil, fakta yang “disembunyikan” itu adalah disengajakan kerana individu yang melakukan pendedahan itu sendiri mahu memastikan “kelangsungan” hayat dalam bidang yang diceburinya itu berterusan.

.

Khabarnya individu berkenaan memiliki “dokumen” yang dapat membuktikan hujahnya mengenai kewujudan “tuan” dan “hamba” dalam Perlembagaan!

.

Pada saat masyarakat umum menantikan lebih banyak maklumat dan pendedahan berhubung “kepincangan” dalam Perlembagaan berkaitan soal keturunan, ketuanan dan perhambaan didedahkan sepenuhnya, individu itu ditemui mati – dibunuh – di dalam bilik sebuah hotel.

.

Seorang pemuda ditahan sebagai suspek utama dan segala penemuan menjurus kepada bukti bahawa dialah yang membunuh tokoh berkenaan atas motif “kebencian melampau”.

.

Paul Madriani tampil membela Carl Arnsberg yang menghadapi tuduhan membunuh Terrance Scarborough dalam novel Shadow of Power (2008) karya Steve Martini. Watak peguam bela itu pernah muncul dalam novel Compelling Evidence (1992), Prime Witness (1993), Undue Influence (1994), The Judge (1996), The Attorney (1999), The Jury (2001), The Arraignment (2003) dan Double Tap (2006), serta muncul juga dalam Guardian of Lies (2009) dan The Rule of Nine (2010).

.

Saya membeli novel Shadow of Power dalam versi cakera padat (CD) audio pada 23 November 2010. Novel itu yang dibacakan oleh George Guidall telah saya dengar dari 24 November 2010 hingga 8 Disember 2010; semasa memandu – seperti saya ceritakan DI SINI.

.

Saya tidak akan mendedahkan lebih lanjut mengenai kandungan novel ini kerana segala isu perkauman, perhambaan, ketuanan dan Perlembagaan masih berlanjutan dalam dunia legal thriller ("cerita debaran perundangan"). Selamat datang ke dunia faksyen!