Bagi menjadikan kunjungan ke Pulau Ketam lebih meriah, kami mengundang rakan-rakan dan kenalan untuk turut serta bersama keluarga masing-masing. Masing-masing boleh menaiki Komuter dari mana-mana lokasi dan bertemu di Stesen Pelabuhan Klang pada pukul 11:00 pagi.
.Dari sana, bolehlah kita berjalan beramai-ramai ke pelabuhan untuk mengambil feri menuju ke Pulau Ketam. Saya dan Devishi pernah ke pulau berkenaan sebelum ini tetapi saya tidak ingat berapa harga tiket feri.
.Memanglah tidak ada banyak perkara menarik di Pulau Ketam tetapi saya percaya pengalaman menaiki Komuter secara berkumpulan (dari pelbagai stesen menuju ke destinasi yang sama), pengalaman menaiki feri beramai-ramai dari Pelabuhan Klang ke Pulau Ketam serta pengalaman di pulau itu pasti menjadi kenangan indah.
.Tentu sahaja akan dirakam menggunakan kamera/telefon bimbit untuk dijadikan bahan dokumentasi. Malah, jika sesuai, boleh juga disiarkan di akhbar dan majalah.
.
Sesiapa yang berminat, sudilah menghubungi saya untuk perancangan lanjut. Mungkin masing-masing boleh membawa makanan dan minuman untuk dijamah bersama di Pulau Ketam sambil berbual-bual tanpa gangguan deringan telefon bimbit dan capaian Wi-Fi.