15 Dec 2010

Pulau Ketam

Saya bercadang membawa Devishi Prabha Sankari ke Pulau Ketam pada Ahad, 19 Disember 2010. Kami akan menaiki Komuter dari Stesen Shah Alam sekitar pukul 10:00 pagi menuju ke stesen terakhir di Pelabuhan Klang. .
.

Bagi menjadikan kunjungan ke Pulau Ketam lebih meriah, kami mengundang rakan-rakan dan kenalan untuk turut serta bersama keluarga masing-masing. Masing-masing boleh menaiki Komuter dari mana-mana lokasi dan bertemu di Stesen Pelabuhan Klang pada pukul 11:00 pagi.

.

Dari sana, bolehlah kita berjalan beramai-ramai ke pelabuhan untuk mengambil feri menuju ke Pulau Ketam. Saya dan Devishi pernah ke pulau berkenaan sebelum ini tetapi saya tidak ingat berapa harga tiket feri.

.

Memanglah tidak ada banyak perkara menarik di Pulau Ketam tetapi saya percaya pengalaman menaiki Komuter secara berkumpulan (dari pelbagai stesen menuju ke destinasi yang sama), pengalaman menaiki feri beramai-ramai dari Pelabuhan Klang ke Pulau Ketam serta pengalaman di pulau itu pasti menjadi kenangan indah.

.

Tentu sahaja akan dirakam menggunakan kamera/telefon bimbit untuk dijadikan bahan dokumentasi. Malah, jika sesuai, boleh juga disiarkan di akhbar dan majalah.

.

Sesiapa yang berminat, sudilah menghubungi saya untuk perancangan lanjut. Mungkin masing-masing boleh membawa makanan dan minuman untuk dijamah bersama di Pulau Ketam sambil berbual-bual tanpa gangguan deringan telefon bimbit dan capaian Wi-Fi.