Terus-terang, saya tidak pernah membaca buku ini yang khabarnya sudah diterjemah ke 36 bahasa dunia dan terjual lebih 50 juta naskhah, mahu pun menonton mana-mana filem atau animasi berdasarkan novel setebal 429 halaman ini. Saya membeli cakera padat (CD) audio ini di BookXcess, AmCorp Mall, Petaling Jaya dan mendengarnya sedikit demi sedikit semasa memandu. Panjang drama ini sekitar 2 jam 30 minit.
Sewaktu mendengar drama ini, saya dapat membayangkan gambaran yang diberikan berhubung latar tempat dan suasana. Apa tidaknya, watak Anne memang memiliki daya imaginasi yang amat baik dan ia meresap masuk ke dalam jiwa pendengar.
Tentu sahaja saya turut teringat akan siri televisyen Little House on The Praire yang dibuat berdasarkan siri buku-buku oleh Luara Ingalls dari 1932 hingga 1943.
CD Anne of Green Gables edisi khas ulang tahun ke-100 yang saya miliki adalah arahan Sally Avens, terbitan BBC Audiobooks America dan menampilkan Barbara Barnes sebagai Anne Shirley, Susan Engel (Marilla Cuthbert) dan Sean Baker (Matthew Cuthbert).
Dalam Anne of Greean Gables (1908), umur Anne Shirley adalah dari 11 hingga 16 tahun. Kisah Anne diteruskan oleh Montgomery dalam beberapa buku lagi sehingga tarikh kematian pengarang itu pada 24 Aptil1942.
Dalam Anne of Avonlea (1909), umur Anne adalah dari 16 hingga 18 tahun. Dalam Anne of the Island (1915) umurnya 18-22 tahun; dalam Anne of Windy Willows (1936) umurnya 22-25 tahun; dalam Anne’s House of Dreams (1917) umurnya 25-27 tahun; dalam Anne of Ingleside (1939) umurnya 34-40 tahun; dalam Rainbow Valley (1919) umurnya 41 tahun; dan dalam Rilla of Ingleside (1921) umurnya 49-53 tahun.
Sebelum meninggal dunia, Montgomery sempat menghasilkan manuskrip terakhir yang memuatkan cerita-cerita pendek dan puisi yang ada kaitan secara langsung atau tidak langsung dengan watak Anne Shirley. Manuskrip itu diterbitkan dalam versi ringkas berjudul The Road to Yesterday pada 1974. Versi lengkap buku The Blythes Are Quoted yang disunting oleh Benjamin Lefebvre diterbitkan dalam edisi kulit tebal pada Oktober 2009 dan edisi kulit nipis pula terbit pada Oktober 2010.
Kisah Anne of Green Gables juga sudah difilemkan dua kali. Pertama, filem bisu tahun 1919 di mana skrip diadaptasi oleh Frances Marion, diarah oleh William Desmond Taylor dan MaryMiles Minter memegang watak Anne Shirley. Filem berkenaan sudah tidak ada dalam simpanan. Kedua, filem hitam putih tahun 1934 arahan George Nichols Jr dan Dawn O’Day memegang watak Anne Shirley. Elok dinyatakan bahawa Dawn O’Day menukar namanya kepada Anne Shirley selepas berlakon dalam filem ini.
Kisah Anne of Green Gables juga dihasilkan dalam bentuk telemovie pada 1956, 1972, 1975, 1985, 1987, 2000 dan 2009. Siri televisyen juga dihasilkan dalam Bahasa Jepun; khususnya Akage no An (Red-Haired Anne) arahan Isao Takahata pada 1979, dan Kon’nichiwa Anne: Before Grren Gebles pada 2009. Anne: The Animated Series pula dihasilkan khusus untuk kanak-kanak prasekolah dan disiarkan di Amerika Syarikat pada 2000.
Bayangkan! Kisah seorang kanak-kanak yatim-piatu yang dihasilkan lebih seratus tahun lalu masih mendapat sambutan dan masih relevan pada masa kini.
Novel dalam bentuk CD yang sudah saya dengar sebelum ini termasuk To Kill A Mockingbird, Escape, The Hour I First Believed dan Tollins: Explosive Tales for Children. CD yang sedang saya dengar sejak 18 Oktober 2010 adalah novel Blindness (Ensaio sobre a Cegueira; Essay on Blindness) karya Jose Saramago, penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan 1998.
.
Nota tambahan: Novel Blindness selesai didengar pada petang, 2 November 2010.