23 Oct 2010

Bengkel Cerpen di Tawau

Sila KLIK DI SINI untuk catatan Bahagian Pertama.
..
21 Oktober 2010. Selepas bersiap dan bersarapan, saya menunggu ketibaan Edzar di lobi Hotel Promenade, Tawau. Kemudian kami ke Kompleks Sukan Tawau di mana Bengkel Penulisan Cerpen sempena Perkampungan Nilam Peringkat Daerah Tawau anjuran Pejabat Pelajaran Daerah Tawau, Pusat Teknologi Pendidikan Bahagian Tawau dan Pusat Kegiatan Guru Daerah Tawau berlangsung.
..

Saya sempat bertemu beberapa guru yang tampak bersemangat untuk menimba ilmu penulisan cerpen. Kemudian, sementara taklimat berlangsung untuk peserta, saya berehat di bilik dan membuat persiapan akhir bahan bengkel.

.

Sesi pertama bengkel bermula pada pukul 10:30 pagi dengan penyertaan 63 murid Tahun Enam dan pelajar Tingkatan Tiga, serta 50 guru pengiring dan urus setia. Pada sesi pertama ini, saya lebih banyak bercakap sebagai memberi penerangan berpandukan slaid.

.

Selain daripada memaklumkan asas penulisan yang biasa, saya turut bertanya kepada mereka jika mereka pernah membaca cerpen yang menggunakan latar tempat dan kisah di Tawau. Nampaknya tiada. Maka, bagi tujuan bengkel ini, saya meminta peserta menghasilkan cerpen yang secara khusus menggunakan Tawau sebagai latar tempat dan kisah di Tawau sebagai bahan cerita.

.

Kami berhenti untuk makan dan berehat pada pukul 12:30 tengah hari. Saya ada membawa 20 naskhah Rudra Avatara dan 14 naskhah Kathakali untuk dijual. Benar-benar di luar dugaan saya, dalam masa tidak sampai 15 minit, semuanya habis dijual! Sayang sekali saya tidak mampu membawa lebih banyak buku dari Shah Alam menaiki penerbangan AirAsia kerana had bagasi adalah 15 kilogram sahaja.

.

Bengkel Penulisan Cerpen disambung semula pada pukul 2:00 petang dengan penelitian lebih mendalam mengenai penulisan cerpen bermutu. Peserta juga mengemukakan beberapa soalan untuk dijawab.

.

Kepada peserta pula, saya memberikan tugasan menulis draf cerpen sekitar satu halaman. Peserta yang ada bahan untuk dibincangkan bolehlah datang berjumpa saya dalam kumpulan kecil untuk berbincang lebih lanjut.

.

Selepas pukul 4:00 petang, ada masalah untuk mengakses Internet. Red cuba membantu mengatasi masalah itu. Akhirnya berjaya. Sekitar 6:00 petang, sambil berbual bersama Ganesan Duraisamy di London menggunakan Skype, saya juga melayan beberapa murid yang datang berjumpa untuk meminta tanda tangan dan panduan penulisan.

.

Bengkel disambung pada pukul 7:30 malam dan pada kali ini, saya memberikan penerangan ringkas mengenai pentingnya plot atau jalan cerita yang berasaskan pada pertanyaan “selepas itu, apa?”

.

Peserta diminta menyambung cerita. Sambutan yang diterima memang menggalakkan. Sambil berhibur, peserta belajar secara lebih praktikan apa yang dimaksudkan. Guru-guru juga membuktikan bakat dengan menyambut sebuah cerita secara spontan.

.

Seterusnya, peserta diminta menulis karangan sepanjang sepuluh ayat untuk menyambung cerita yang bermula dengan bahagian awal cerpen Yang Aneh-aneh. Setiap kumpulan memilih satu cerita terbaik yang ditulis ahli kumpulan untuk dibacakan di depan. Dari situ, markah diberikan untuk melihat cerpen mana yang terbaik.

.

Kepada sepuluh peserta yang dibacakan cerpen mereka, saya meminta mereka menaipnya secara kemas dan mengirimkannya kepada saya secara lampiran melalui e-mel untuk dimuatkan di blog saya. Setiap cerpen itu akan diberi hadiah buku Kathakali sebagai tanda penghargaan dan galakan.

.

Ringkasnya, hari pertama berbengkel yang menjanjikan harapan. Bersambung DI SINI. Foto-foto boleh dilihat DI SINI.