Thanusya Shanmuganathan @ Meera Natasya merupakan graduan sarjana muda sastera dari Universiti Malaya (UM). Beliau sudah menghasilkan novel berjudul Tak Sengaja Cinta (2014), Cik Cemerkap vs Encik Selfie (2016), Savithri (2021) dan Hanya Kau Untukku (2022). Beliau juga aktif menulis skrip, cerpen, esei, dan sajak. Beliau aktif dalam Koperasi Penulis Nasional (KOPENA) dan Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).
Thanusya turut terlibat
dalam Pertemuan
Penulis dan Pembaca Malaysia pada 14 Mei 2023. Beliau
berkongsi kisah tentang bidang penulisan dalam wawancara bersama Uthaya Sankar SB.
Apakah cita-cita anda semasa kecil?
Menjadi seorang doktor.
Sejak kecil, saya suka membaca buku-buku sains milik abang sepupu saya yang cenderung
dalam bidang tersebut. Namun, cita-cita tersebut terus berkubur selepas tamat
Tingkatan 3 kerana keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tidak melayakkan
saya memasuki aliran Sains. Saya kemudiannya menumpukan perhatian kepada
cita-cita kedua iaitu untuk menjadi seorang penulis.
Bilakah anda mula sedar anda mahu
menjadi seorang penulis?
Saya mula menulis
di bangku sekolah rendah, tetapi minat itu menjadi kepastian di universiti,
selepas menyelesaikan tugasan pertama iaitu sebuah esei. Dalam esei itu, saya
perlu menulis kesudahan alternatif bagi sebuah novel Melayu yang telah saya
baca. Novel yang saya pilih ialah karya Sharifah Abu Salem, Gerimis Di Hati. Pada Ketika itu, cinta
terhadap novel dan penulisan bertambah kukuh.
Siapakah antara penulis Malaysia
kegemaran anda?
Bagi genre cinta,
saya membaca karya-karya nukilan Sharifah Abu Salem, Damnya Hanna, Aina Emir, Aisya
Sofea dan arwah Melur Jelita. Bagi genre seram pula, saya meminati karya-karya
nukilan Ilya Abdullah, Saidee Nor Azam dan Maria Kajiwa.
Dari mana anda mendapat idea dan
maklumat bagi penulisan?
Idea datang dari sekeliling saya, daripada pergaulan
dan interaksi bersama orang lain, sama ada secara fizikal mahupun dalam alam
maya. Selain itu, saya juga mendapat idea daripada
bacaan buku serta novel, dan tontonan filem.
Karya manakah paling sukar untuk
anda tulis/hasilkan?
Savithri yang mengambil masa tujuh tahun lamanya untuk ditulis dan diterbitkan.
Setelah melalui penolakan oleh dua rumah penerbitan dan kegagalan menambat hati
juri dalam Sayembara Berita Harian-ITBN-Pena pada tahun 2013, saya merombak
semula cerita itu secara keseluruhannya pada 2021. Saya menyuntik maklumat baharu
dalam karya tersebut bagi memukau pembaca.
Apakah projek penulisan terkini anda?
Menerbitkan
semula karya pertama saya, Tak Sengaja Cinta
dan karya kedua, Cik Cemerkap vs. Encik
Selfie. Kedua-dua karya tersebut tidak lagi dijual di pasaran (out-of-print) dan hak penerbitan telah
dipulangkan kepada saya oleh penerbit. Saya sedang menyunting dan menambahbaikkan
karya-karya itu untuk diterbitkan di bawah syarikat Agni MN
Media Resources dengan wajah yang baharu menjelang
Disember 2023.
Apa yang anda suka lakukan selain
membaca dan menulis?
Menonton filem
melalui aplikasi YouTube dan Netflix, bersembang dengan kawan-kawan
sekepala mengenai isu-isu semasa, jalan-jalan cari makan (foodie).
Ceritakan tentang pekerjaan anda.
Apabila saya
tidak menulis, saya memakai topi seorang editor, penterjemah, pembaca pruf dan penulis
skrip.
Apakah pandangan keluarga tentang
penulisan anda?
Ahli keluarga
yang telah membaca karya-karya saya memberikan maklum balas positif. Masih ada
ahli keluarga yang belum pernah membaca karya-karya saya. Namun, saya tidak
berhenti mempromosikan karya-karya saya kepada mereka. Mungkin satu hari nanti,
mereka akan membeli jua.
Bagaimana anda menangani masalah writer’s block?
Saya akan
berhenti menulis buat seketika dan mendengar lagu. Saya juga akan menonton filem
yang bersesuaian dengan genre dan tema karya saya. Contohnya, jika karya saya
bertemakan komedi romantik, saya akan menonton filem-filem yang sewaktu
dengannya bagi menyerap mood atau feel.
Jika satu daripada karya/buku
anda wajar diterjemah kepada bahasa Inggeris, mana satu yang akan anda pilih dan
mengapa?
Novel Tak Sengaja Cinta kerana karya itu karya
sulung saya dan mengandungi pelbagai unsur budaya masyarakat India yang boleh
saya kongsikan dengan pembaca.
Bagaimana anda mempromosi/menjual
buku anda?
Saya melakukan
promosi di semua laman media sosial serta laman sesawang saya. Apabila ada duit
lebih, saya akan mengaktifkan iklan di laman Facebook dan Instagram.
Pautan semua laman media sosial saya [di sini].
Tarikh: 29 Mei 2023