Wednesday, 15 June 2016

Agama Anda “Bukan Islam”?

Baru-baru ini, timbul isu pemaparan “Bukan Islam” sebagai agama pada slip peperiksaan yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). [Baca jugaBukan Islam? Belum Islam?”]

LP dalam kenyataan media bertarikh 14 Jun 2016 mengatakan bahawa amalan menulis “Bukan Islam” pada slip peperiksaan bagi calon “Bukan Melayu” yang menduduki peperiksaan dilaksanakan sejak 2005.

“Pihak LP bersedia mempertimbang untuk melaksanakan perubahan dan penambahbaikan paparan pada Kenyataan Kemasukan Peperiksaan SPMU yang akan datang setelah mendapat persetujuan Pengurusan Tertinggi KPM,” kata kenyataan itu.

Pada pendapat saya [Uthaya Sankar SB], pandangan orang ramai perlu diberikan perhatian serius sebelum Pengurusan Tertinggi KPM dan LP mengambil tindakan sewajarnya dengan kadar segera.

Paparan berkenaan perkara ini di Facebook pada 15 Jun 2016 mendapat reaksi positif masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Bagi memudahkan proses, orang ramai boleh mengemukakan pendangan dengan [MENGISI BORANG INI]. Tarikh tutup: 16 Jun 2016 (Khamis), tepat 12:00 tengah hari.

Maklumat nama penuh, alamat e-mel dan nombor telefon adalah wajib; sementara tiga pilihan yang diberikan adalah:

(1) Kekalkan “Bukan Islam” sebagai agama pada slip peperiksaan bagi calon Bukan Melayu. Tiada sebarang masalah.  

(2) Nyatakan agama sebenar (misalnya “Hindu”, “Kristian”, “Buddha”, “Sikh” dan “Islam”) pada slip peperiksaan bagi semua calon. Barulah adil.  

(3) Mansuhkan terus pemaparan agama pada slip peperiksaan semua calon. Tidak timbul keperluan untuk menyatakan agama dalam konteks peperiksaan. Alasan kononnya pemaparan “Islam” dan “Bukan Islam” adalah bagi memastikan kertas soalan Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral tidak tersilap diberikan kepada calon adalah amat tidak logik dan tidak boleh diterima akal rasional.

Sekiranya mendapat lebih seratus (100) borang/pandangan, maka saya akan mengambil tindakan seterusnya; termasuk (tetapi tidak terhad kepada):

(1) Menulis mengenai pandangan orang ramai di blog dan media sosial.

(2) Menulis kenyataan media mengenai pandangan orang ramai dalam isu ini.

(3) Menghubungi wartawan untuk menyiarkan perkara ini di media.

(4) Mengirim surat rasmi mengenai pandangan orang ramai berhubung isu ini kepada Lembaga Peperiksaan (LP) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Maka, sokongan masyarakat pelbagai kaum dan agama amat diperlukan. [SILA ISI BORANG DI SINI] Harap maklum bahawa hanya borang yang lengkap akan dilayan. Peluang bersuara dibuka sehingga 16 Jun 2016 (Khamis), tepat 12:00 tengah hari. Borang tidak dapat diakses selepas itu.


Nota: Sehingga 16 Jun 2016, pukul 12:00 tengah hari, sejumlah 565 borang sudah diterima, disemak, disaring dan disahkan asli. [BACA KENYATAAN MEDIA DI SINI] [BACA RENCANA DI ROKETKINI]