28 Sept 2011

Mangsa Komsas ke Putrajaya

Beberapa penulis yang menjadi mangsa dalam isu bayaran royalti teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) dijadual akan ke Pejabat Menteri Pelajaran di Putrajaya pada 29 September 2011.

Salah seorang penulis terbabit, Rohani Deraman dari Johor Bahru berkata, keputusan untuk pergi sendiri ke Putrajaya dibuat memandangkan Surat Rayuan Terbuka dan e-mel yang dikirim ke kementerian berkenaan sejak bulan lalu tidak membuahkan sebarang hasil.


Wakil media diundang hadir membuat liputan.


“Masing-masing penulis yang menjadi mangsa royalti teks sudah menyediakan surat untuk diserahkan kepada Menteri Pelajaran. Kalau menteri tidak ada, kami akan serahkan kepada pegawai beliau untuk disampaikan kepada menteri,” katanya.


Beberapa lagi penulis dikenal pasti turut menjadi mangsa dalam isu ini apabila penerbit tidak mahu membayar royalti bagi puisi, cerpen dan novel mereka yang diterbitkan semula sebagai teks Komsas.


Mereka termasuk Amy Suzani Mohd Ainuddin dari Kota Bharu serta Hazama Harun dan Mohd Izan Abd Hazes dari Kuala Lumpur.


“Selepas ke Putrajaya, kami juga akan terus ke studio Radio Web Selangor (RWS) kerana menerima undangan untuk menceritakan perkembangan terbaru kes ini secara langsung.


“Kami harap akan dapat menyampaikan berita gembira kepada pendengar dan penonton RWS; bukannya berita sedih yang sekali gus memberi gambaran seolah-olah kementerian masih gagal membela nasib penulis yang ditipu dan dianiaya penerbit yang tidak beretika,” kata Rohani.


Kes royalti teks Komsas ini didedahkan kepada umum mulai 15 Ogos lalu menerusi siri artikel di portal berita Free Malaysia Today dan The Malaysian Insider. [BACA DI SINI]


Bagaimanapun, penerbit terbabit yang dihubungi tetap berkeras tidak mahu membayar royalti kepada para penulis berkenaan.


Pada 10 September lalu, para penulis terbabit membuat laporan polis kerana penerbit terbabit dipercayai menyerahkan dokumen palsu kepada Kementerian Pelajaran Malaysia; iaitu surat izin palsu yang kononnya ditulis dan ditandatangani penulis.


Salinan laporan polis itu juga akan diserahkan di Pejabat Menteri Pelajaran untuk menggesa Menteri Pelajaran mengambil tindakan terhadap penerbit yang dipercayai menyerahkan dokumen palsu kepada kerajaan.


Nota: Wakil media boleh menghubungi Uthaya Sankar SB menerusi talian 016-3288142 atau e-mel uthayasb@yahoo.com.my untuk maklumat lanjut.