25 Aug 2011

Komsas: Penulis Teraniaya

Apabila saya menulis artikel “Komsas Abai Hak Cipta?” minggu lalu, saya mengharapkan reaksi positif dan profesional daripada pihak terbabit bagi menyelesaikan masalah.

Malah, saya berharap dapat menulis “berita baik” pada kali ini serta memuji sikap Kementerian Pelajaran, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd dalam merungkai isu berkaitan hak cipta dan hak royalti penulis yang karya mereka terpilih sebagai teks Komsas.


Sebaliknya pula yang berlaku di mana kelemahan dan “nanah” pelbagai pihak mula terdedah sejak seminggu lalu.


“Kami tak kisah. Hantar sajalah surat apa pun. Kami ada peguam,” kata Puan Julie Looi, Pengurus Penerbitan, Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd apabila dihubungi pada petang 15 Ogos 2011.


Saya menelefon beliau pada jam 3:30 petang untuk bertanyakan mengenai novel Cempaka Putih Untukmu karya Rohani Deraman yang menjadi isu kerana penerbit menafikan hak pengarang terhadap karya itu.


Looi juga mengelak daripada menjelaskan bagaimana novel itu boleh diterbitkan syarikat lain, iaitu Nur-Ilmu Sdn Bhd, untuk tujuan Komsas.


“Kami tak kisah. Hantar sajalah surat apa pun. Kami ada peguam. Penulis sudah jual manuskrip kepada kami. Jadi, semua itu hak kami. Penulis hanya perlu kirim surat memberi izin kepada Nur-Ilmu Sdn Bhd untuk edit karya itu mengikut kriteria ditetapkan Bahagian Buku Teks, Kementerian Pelajaran,” katanya.


Sementara itu, Haji Mohd Nor Azmi Sirat dari Bahagian Buku Teks (BBT), Kementerian Pelajaran ketika dihubungi pada tarikh sama menjelaskan bahawa kementerian berkenaan tidak ada sebarang kuasa dalam isu ini.


“Kami tiada kuasa dalam soal bayaran royalti oleh penerbit kepada penulis. Kami membeli novel daripada penerbit tapi tidak ada hak campur tangan urusan antara penerbit dan penulis,” kata beliau yang mengaku pernah beberapa kali dihubungi Rohani untuk membincangkan perkara sama.


Katanya, Kementerian Pelajaran tidak ada kuasa mengambil tindakan terhadap penerbit walaupun terbukti penulis teraniaya, seperti dalam kes Rohani.


“Lagi susah kalau melibatkan novel, walaupun ia terpilih sebagai teks Komsas. Isu ini telah dimaklumkan sendiri oleh Rohani kepada kami. Tindakan susulan telah dibuat kepada aduan yang diterima,” katanya tanpa menjelaskan apakah tindakan susulan itu.


Haji Mohd Nor Azmi juga mempelawa saya dan Rohani pergi bertemu beliau “untuk perbincangan dan penjelasan”. Maka, saya mengirim e-mel untuk mengatur pertemuan bersama Pengarah BBT, Encik Jame @ Maikal Alip; Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz dan wakil Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd bagi menyelesaikan isu secara baik dan profesional.


Sementara itu, Amy Suzani Mohd Ainuddin, seorang penulis sepenuh masa dari Kota Bharu juga sudah menghubungi saya untuk menceritakan kes beliau yang hampir sama seperti Rohani.


Sajak “Seorang Insan Istimewa” yang ditulisnya menggunakan nama pena Natasya Puteri termuat dalam antologi Apologi Kepada Alam (Nur-Ilmu Sdn Bhd, 2010) sebelum terpilih sebagai salah satu teks Komsas.


Cerpennya berjudul “Budi Semangkuk Daging” termuat dalam antologi Budi Semangkuk Daging (Nur-Ilmu Sdn Bhd, 2010) sebelum terpilih sebagai salah satu teks Komsas dan bakal terbit dalam antologi terbitan DBP.


Sama seperti nasib Rohani, penerima Anugerah Penulis Harapan Negeri Kelantan 2005 ini dinafikan hak terhadap karyanya dan penerbit tidak mahu membayar royalti.


“Sudah banyak kali saya hubungi penerbit tapi jawapan yang diberi adalah sama, iaitu mereka tidak boleh buat apa-apa untuk menolong saya mendapat royalti kerana karya-karya itu bukan lagi milik saya,” katanya dengan sedih mengenangkan nasib diri dan para penulis sepertinya.


Rohani dan Amy sudah memberi kebenaran bertulis kepada saya untuk mewakili mereka “dalam membincangkan isu ini bersama Kementerian Pelajaran, penerbit terbabit atau mana-mana pihak yang difikirkan perlu”.


Pada 16 Ogos, pegawai BBT menghubungi Rohani dan Amy untuk meminta mereka menghadiri mesyuarat bersama Pengarah BBT, Ketua Pengarah DBP dan wakil Mega Setia Emas/Nur-Ilmu.


Kedua-dua penulis sudah menjelaskan bahawa saya akan hadir mewakili mereka dalam perbincangan itu bagi mencari penyelesaian terbaik. Saya juga mengirim e-mel sebanyak tiga kali kepada Haji Mohd Nor Azmi untuk mengesahkan kehadiran saya.


Sementara itu, agak menarik juga bahawa beberapa pihak tiba-tiba rancak mengatur mesyuarat tergempar untuk membincangkan isu yang didedahkan menerusi artikel “Komsas Abai Hak Cipta?” (Free Malaysia Today, 15 Ogos 2011).


Malah, ada pihak tertentu yang menghubungi beberapa penulis dan “menasihatkan” mereka supaya tidak “mendedahkan” apa-apa kepincangan dalam Komsas kepada saya!


Hasilnya, beberapa lagi penulis menghubungi saya untuk mengadu nasib! Kata mereka: “Sebelum ini, kami mengadu dan merayu kepada mereka hampir setiap minggu tetapi mendapat jawapan yang amat mengecewakan. Kini, apabila Uthaya dan Kavyan mahu menolong, mereka cuba menghalang pula!”


Hakikat amat nyata: Ada banyak kes tentang royalti karya dalam Komsas. Puncanya kerana tidak dibuat secara jujur oleh para penerbit serta kelemahan kaedah penerbitan oleh kementerian terbabit.


Sebagai persiapan bagi pertemuan/mesyuarat pada 18 Ogos, saya meneliti segala maklumat dan dokumen yang diserahkan oleh para penulis; khususnya Rohani dan Amy.


Saya mendalami juga Akta Hak Cipta 1987 yang secara nyata membuktikan para penulis ini teraniaya dan dinafikan hak mereka yang sah di sisi undang-undang.


Pada tengah hari 18 Ogos, saya menelefon Haji Mohd Nor Azmi untuk bertanya lokasi pertemuan/mesyuarat.


“Mesyuarat petang ni tak jadi. Pengarah kata batal sebab penulis tak dapat datang,” jawabnya dengan nada teragak-agak.


Agaknya mereka telah mengharapkan Rohani dari Johor Bahru dan Amy dari Kota Bharu meninggalkan segala urusan, lalu menaiki pesawat dan limosin untuk menghadiri mesyuarat di Putrajaya.


Lalu, apabila BBT mendapat tahu bahawa hanya seorang individu yang memandu kereta MyVi akan datang sebagai wakil sah, maka mesyuarat terpaksa dibatalkan!


Pembatalan mesyuarat itu secara tiba-tiba membuatkan saya semakin yakin bahawa ada banyak perkara yang tidak kena dalam isu Komsas. Pasti ada sesuatu yang cuba disembunyikan daripada pengetahuan Rakyat Jelata.


Atau mungkinkah Rohani dan Amy diharapkan hadir supaya dapat dipujuk pihak tertentu dan menandatangani dokumen tertentu yang bakal membuatkan mereka hilang kuasa menuntut sebarang royalti dan hak terhadap karya mereka? Biar penerbit dapat habuan!


Atau mungkinkah juga ada pihak yang cuba mengamalkan dasar pecah dan perintah? Tidak mahu penulis bergabung tenaga dan bekerjasama dalam menuntut keadilan dan hak? Mahu golongan penulis terus terpisah-pisah supaya lebih mudah diperhambakan dan dihisap darah mereka secara rakus? Biar penerbit untung besar!


Tidak salah jika kita tertanya-tanya: Kalau semua pihak yang terlibat dalam penerbitan teks Komsas adalah bersih, jujur, amanah dan tidak terlibat dalam sebarang penyalahgunaan kuasa (rasuah, misalnya), maka apa yang perlu ditakutkan?


Pada pagi 19 Ogos, saya mendapat pengesahan daripada pegawai tertentu bahawa mesyuarat pada 18 Ogos tetap berlangsung seperti dijadualkan. Lalu, mengapa Haji Mohd Nor Azmi “menipu” saya, dan atas arahan siapa?


Mustahil Putrajaya akan musnah akibat banjir, gempa bumi atau Trisula Dewa Shiva (baca: petir) semata-mata kerana saya hadir sebagai wakil sah bagi Rohani dan Amy dalam membincangkan isu berkaitan hak mereka yang sah.


Dalam pada memikirkan pelbagai persoalan seperti itu, saya juga semakin banyak menerima maklumat daripada beberapa pihak yang semakin berani tampil bercerita demi “keadilan bagi golongan penulis”.


Agak menarik juga apabila melihat senarai puisi, cerpen dan novel Komsas serta syarikat mana yang “memegang” hak cipta kebanyakan karya berkenaan!


Saya akan meneliti, mendalami dan menyaring segala maklumat itu serta mungkin perlu menulis mengenainya secara lebih menyeluruh, terperinci dan terbuka dalam masa terdekat.


(Uthaya Sankar SB, Free Malaysia Today, 22 Ogos 2011)