16 Mar 2011

Siapa Perjuangkan Maruah Pak Lah?

Sejak kontroversi novel Interlok edisi murid (2010) timbul pada 15 Disember 2010, pelbagai pihak tampil atas nama membela dan memperjuangkan hak Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain (Pak Lah).
.

Pelbagai laporan di media, kenyataan media serta program berupa dialog, forum, perhimpunan dan protes di ruang siber menjadi bukti berhubung perkara ini.

.

Namun, sekiranya diperhalusi, masih timbul persoalan: Siapa yang sebenar-benarnya memperjuangkan hak dan maruah Pak Lah?

.

Ada beberapa pihak yang tampil atas nama mempertahankan hak pengarang dengan tidak membenarkan walau sepatah perkataan dalam novel yang dihasilkan Pak Lah pada tahun 1967 diubah atau dipinda.

.

Lalu timbul lagi persoalan: Apa yang sebenar-benarnya diperjuangkan pihak berkenaan sedangkan karya asal Pak Lah yang pertama kali diterbitkan oleh Angkatan Baru pada 1971 sudah pun beberapa kali “diubah” dan “dipinda” dalam beberapa edisi terkemudian.

.

Dalam hal ini, sekiranya pihak berkenaan berjuang mempertahankan karya asal Pak Lah, maka secara automatik, mereka perlu menentang novel Interlok edisi murid (2010) dan edisi pelajar (2005) kerana “karya asal” sudah diubah dan dipinda!

.

Di sisi yang lain pula, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dilihat dan dilabel sebagai antagonis kerana mengetengahkan pelbagai kelemahan dalam novel edisi murid itu; meliputi aspek kesalahan bahasa, kesilapan fakta dan perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. [BACA DI SINI]

.

Antara perkara paling awal yang ditimbulkan melalui “Taklimat Khas Kavyan Mengenai Novel Interlok Edisi Murid” pada 16 Januari 2011 di Shah Alam, Selangor adalah bahawa nama pengarang tidak dinyatakan pada kulit hadapan buku berkenaan.

.

Sekiranya dilihat pada edisi sejak tahun 1973, nama Pak Lah dicetak di kulit hadapan novel. Malah, bermula edisi 1996 – apabila beliau menerima Anugerah Sastera Negara – gelaran Sasterawan Negara turut dinyatakan pada kulit buku.

.

Malangnya, bagi kesemua novel edisi murid yang dijadikan teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) bermula tahun 2011, nama pengarang tidak dinyatakan di kulit hadapan. Hal ini berbeza dengan novel-novel yang dijadikan teks Komsas pada 2001-2010.

.

Sehingga kini, tidak ada sebarang kenyataan rasmi dibuat oleh Kementerian Pelajaran mahupun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berhubung rasional tidak menyatakan nama pengarang – termasuk Sasterawan Negara – di kulit hadapan novel Komsas.

.

Umum mengetahui bahawa salah satu objektif dan matlamat Komsas adalah memperkenalkan sasterawan kepada pelajar. Lalu, tidakkah sedikit aneh apabila nama pengarang ditiadakan di kulit hadapan novel sedangkan dari segi etika penerbitan, nama pengarang wajar dinyatakan di kulit depan buku?

.

Kavyan juga mempersoalkan mengapa dalam novel Interlok edisi murid ini tidak dinyatakan langsung bahawa novel berkenaan adalah edisi yang disunting (abridged) daripada edisi terdahulu dan novel ini pernah memenangi hadiah sagu hati dalam Peraduan Mengarang Novel 10 Tahun Merdeka pada tahun 1967, serta pertama kali terbit pada tahun 1971.

.

Kavyan juga sedikit kecewa apabila Hak Cipta yang dipegang oleh Pak Lah sehingga edisi pelajar (2005) sudah “ditiadakan” dalam edisi murid (2010). Sekali lagi, tiada penjelasan rasmi daripada Kementerian Pelajaran dan DBP berhubung perkara penting ini yang turut menjadi persoalan dalam kalangan masyarakat.

.

Pada masa sama, beberapa pihak yang tampil memperjuangkan dan mempertahankan hak Pak Lah sebagai pengarang novel Interlok juga tidak pernah mempersoalkan segala kecacatan dan kelemahan ini yang sebenarnya secara langsung dan tidak langsung menyentuh kredibiliti, integriti, kedudukan serta hak dan maruah seorang Sasterawan Negara terhadap hasil karya sasteranya.

.

Malangnya, apabila Kavyan yang sudah mengkaji novel Interlok edisi 1996, 2003, 2005 dan 2010 tampil mempersoalkan perkara-perkara ini, kami dilabel sebagai antagonis.

.

Sesiapa yang mengikuti taklimat khas pada 16 Januari 2011 serta mampu mencernakan siri tulisan saya mengenai novel Interlok sejak 18 Januari 2011 pasti memahami rasional hujah yang dikemukakan.

.

Tuntutan Kavyan adalah supaya segala kesilapan bahasa, kesalahan fakta dan perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti masyarakat pelbagai kaum dimurnikan supaya novel Interlok edisi murid yang sampai ke tangan pelajar nanti adalah teks yang benar-benar mengangkat maruah seorang Sasterawan Negara.

.

Bayangkan apa yang sudah dan sedang berlaku apabila novel dengan segala kelemahan, kepincangan dan kekurangan itu “terlepas” ke tangan pelajar sejak Oktober 2010.

.

Segala kontroversi yang berlaku sekarang adalah berikutan kelemahan kita sendiri dalam menangani sebuah karya Sasterawan Negara secara teliti, menyeluruh, amanah dan bemaruah.

.

Dalam keghairahan kita mengangkat novel Interlok menjadi teks Komsas, kita sedikit terlupa (atau terlepas pandang) akan tugas dan tanggungjawab mempertahankan serta mengangkat maruah Pak Lah apabila novel yang pertama kali terbit pada tahun 1971 itu diberi “wajah baru” sebelum disajikan kepada generasi baru yang mungkin (ulang: mungkin) tidak kenal siapa Pak Lah.

.

Jalan keluar paling mudah yang kita cuba ambil adalah dengan meletakkan segala kesalahan pada bahu pihak yang “tersentuh sensitivitinya” selepas membaca novel edisi murid itu.

.

Jalan keluar paling mudah yang kita cuba ambil adalah dengan kononnya tampil membela, memperjuangkan dan mempertahankan hak Pak Lah – tanpa kita sedar bahawa apa yang kita lakukan adalah sebaliknya!

.

Jalan keluar paling mudah yang kita cuba ambil adalah dengan melabel Kavyan sebagai antagonis kerana berani mengemukakan lebih daripada 100 kesilapan yang sebenarnya amat perlu dimurnikan dalam novel Interlok edisi murid sebagai usaha mempertahankan maruah Pak Lah sebagai Sasterawan Negara.

.

Sebelum kontroversi ini menjadi barah dan lebih parah, mari kita sama-sama beristiqamah dan merenungkan perkara ini dengan jiwa dan fikiran penuh khusyuk. Masih belum terlewat untuk kita sama-sama mempertahankan maruah Pak Lah.

..

(© Uthaya Sankar SB 2011. Disiarkan di portal berita The Malaysian Insider pada 14 Mac 2011 sebelum didokumentasikan di blog ini pada 16 Mac 2011.)