.
Sesampai di Hotel Nouvelle, saya menelefon Puan Selina SF Lee dan dijawab Dr Lim Swee Tin. Mereka berdua belum bertolak dari Serdang; maka dijangka tiba di sini hanya sekitar tengah malam nanti. Tambahan, cuti sekolah sudah bermula.
Pada pagi 12 Mac 2011, saya dan Puan Selina terlibat dalam program ceramah khas bagi guru-guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) sekitar Kulai. Saya sudah menyediakan lebih 100 slaid PowerPoint bagi tujuan itu.
Sepanjang Tajul memandu dari Shah Alam ke Kulaijaya pada petang 11 Mac 2011, kami membualkan pelbagai perkara. Walaupun sudah beberapa kali bertemu pemuda berumur 25 tahun ini, hanya pada kesempatan ini saya berpeluang mengenali diri dan latar belakangnya secara lebih dekat dan menyeluruh.
Selepas mandi dan bersiap di hotel, Cikgu Chua, Victor dan Edric datang untuk menjemput kami keluar makan. Walaupun ini kali pertama saya bertemu mereka, terasa mesra.
Kami berlima makan di Restoran Lapan Kati, Kulaijaya sambil berbual-bual. Kemudian, kami singgah di Restoran Ji Guan di mana majlis akan diadakan pada 12 Mac 2011.