12 Feb 2011

Masih Ada yang Sayang Padamu

Kedatangan tarikh 15 Februari 2011 lebih penting daripada tarikh 14 Februari di mana “polis” tertentu akan melaksanakan “tugas” menghalang penganut agama tertentu “meraikan” Valentine’s Day.
.
Pada 15 Februari 2010, khabarnya telah diadakan sambutan khas bertema “Hari Pejuang Bahasa 152” di mana angka “152” (Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan) dijadikan asas untuk memilih tarikh yang dinyatakan.
.
Tarikh 14 dan 15 Februari 2010 adalah cuti umum sempena Tahun Baru Cina. Maka, tidak hairanlah jika ramai yang tidak berpeluang menghadiri majis entah apa yang diadakan oleh entah siapa di entah mana. Tambahan, publisiti hanya dilakukan kepada kelompok tertentu dan bukan kepada seluruh rakyat Malaysia menggunakan semua saluran yang ada.
.
Seperti biasa, laporan berita selepas acara itu, membuktikan bahawa bahasa tertentu masih menjadi milik kaum tertentu dan golongan “pendatang” perlu tunduk kepada kelompok tertentu dari segala segi.
.
Dalam perkembangan lain, laporan di akhbar Berita Harian pada 18 Mac 2010 cuba menyalahkan masyarakat “Bukan Melayu” yang tidak menghadiri acara yang diadakan pada 15 Februari 2010. Berikut petikan berita yang saya sempat baca secara dalam talian baru-baru ini:
.
Ketidakhadiran bukan Melayu pada Hari Pejuang Bahasa 152 mendapatkan reaksi Pensyarah Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia, Raja Rajeswari Seetha Raman, antara bukan Melayu yang lantang bersuara dalam hal bahasa Melayu.
.
“Saya sudah jangka pasti tiada bukan Melayu yang hadir. Kebetulan saya baru keluar hospital selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di rahim dan sudah memaklumkan keuzuran kepada Setiausaha Kalam, Mohd Taib Nordin dan Setiausaha Pena, SM Zakir.
.
“Saya pernah menyuarakan pandangan dalam majalah Pelita Bahasa bahawa masyarakat India dan Cina tidak akan mengambil subjek bahasa Melayu, jika tidak dijadikan syarat wajib lulus bahasa Melayu untuk lulus SPM.”
.
Rajeswari yang pernah berkhidmat sebagai guru Bahasa Melayu selama 25 tahun di sekolah jenis kebangsaan dan sekolah kebangsaan, mendedahkan kajiannya terhadap pelajar bukan Melayu berhubung perkara terbabit menunjukkan hanya 30 daripada 300 responden, berminat terhadap bahasa Melayu, manakala baki kerana terpaksa!
.
Tidak perlulah saya membuat sebarang ulasan terhadap laporan di atas; khususnya memandangkan tulisan individu berkenaan bertajuk “Sikap Endah Tak Endah Bahasa Merugikan Siapa” di majalah Pelita Bahasa (Ogos 2003) sudah pun dibuktikan salah menggunakan bukti kukuh oleh Kumpulan Sasterawan Kavyan menerusi reaksi bertajuk “Sikap Endah Tidak Endah Penulis Merugikan Siapa?” (Pelita Bahasa, September 2003). Mungkin wartawan terbabit tidak “sempat” membacanya dan masih beranggapan “kajian pincang” itu masih terpakai!
.
Apa pun, menjelang tarikh 15 Februari 2011, tidak pasti sama ada sebarang aktiviti hebat dirancang. Mungkin publisiti secara tersembunyi kepada kelompok tertentu. Atau mungkin kelompok tertentu terlalu sibuk dengan Interlok edisi murid (DBP: 2010) dan “gerakan” memulaukan pemimpin kaum India sehingga terlupa akan sambutan Valentine’s Day dan soal 152!
.
Raja Rajeswari yang sebelum ini begitu rajin menghubungi saya untuk memberikan pelbagai “maklumat penting” mengenai Interlok dan PENA belum menghubungi saya mengenai aktiviti Hari Pejuang Bahasa 152.
..

Nota: “Masih ada yang sayang padamu” adalah tajuk berita yang disiarkan di akhbar Berita Harian pada 18 Mac 2010. Tarikh 14-15 Februari 2010 adalah cuti Tahun Baru Cina, manakala 15 Februari 2011 adalah cuti Maulud Nabi dan tarikh "152" ditunda!