8 Feb 2011

Buku-buku yang bangkit semula dari kubur!

Saya berasa amat gembira menerima surat bertarikh 22 Julai 2009 daripada Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abdul Aziz . Surat itu saya terima melalui pos pada 4 Ogos 2009.
.

Lalu, kisah gembira itu mahu saya kongsikan dengan orang ramai supaya kita semua dapat sama-sama menikmati perasaan gembira yang tidak terhingga itu dengan semangat “1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

.

Sebenarnya, saya ada bertemu Datuk Termuzi semasa kami sama-sama menghadiri Mesyuarat Maklum Balas Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris di Kementerian Pelajaran Malaysia, Putrajaya pada 3 Ogos 2009.

.

Bagaimanapun, beliau bersikap amat profesional dengan tidak menceritakan kepada saya mengenai surat yang beliau tandatangani dan sudah dikirim kepada saya melalui pos.

.

Berita gembira yang disampaikan oleh Datuk Termuzi melalui surat itu adalah sebagai menjawab surat saya bertarikh 22 Jun 2009 yang telah saya sampaikan sendiri kepada Pengurus Hak Cipta DBP, Asiah Daud pada 24 Jun 2009.

.

Surat itu sebenarnya adalah sebagai susulan kepada surat saya bertarikh 13 Februari 2007 kepada Pengarah Penerbitan DBP; tetapi tidak dibalas.

.

Di dalam surat itu, saya menyatakan bahawa buku-buku saya yang diterbitkan oleh DBP, iaitu “Orang Dimensi” (1994), “Siru Kambam” (1996 dan 1997), “Surat dari Madras” (1999), “Hanuman: Potret Diri” (1996) dan “Nari! Nari!” (1995 dan 2000) sudah tiada dalam stok, serta tidak dicetak semula walaupun masih ada permintaan daripada khalayak pembaca dan usul sudah dibuat kepada pihak DBP supaya judul-judul berkenaan diulang cetak.

.

Saya dapat membayangkan (mengimaginasikan) bagaimana Ketua Pengarah DBP yang baru mungkin telah mengarahkan pegawai dan kakitangan menyelongkar setiap penjuru stor untuk mengesan saki-baki buku-buku saya yang pernah diterbitkan oleh DBP sejak 15 tahun lalu.

.

Imaginasi saya yang agak “liar” ini adalah berasas bukan semata-mata kerana saya seorang pengarang faksyen, tetapi juga berdasarkan pengalaman lalu.

.

Pada awal tahun 2007, saya membuat semakan di DBP untuk mengetahui baki stok “Orang Dimensi”, “Siru Kambam”, “Surat dari Madras”, “Hanuman: Potret Diri” dan “Nari! Nari!” kerana tiada stok di kedai-kedai buku sedangkan masih ada permintaan daripada khalayak yang berminat membeli judul-judul berkenaan.

.

Khalayak yang berminat untuk memiliki buku-buku berkenaan terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dan daripada pelbagai latar pendidikan. Tidak kurang juga pelajar institusi pengajian tinggi yang mahu mengkaji karya-karya saya bagi tujuan esei, kertas projek dan tesis.

.

Berbalik pada kisah tahun 2007, saya dimaklumkan bahawa buku-buku berkenaan sudah tidak ada dalam stok.

.

Lalu, saya melaksanakan tanggungjawab saya sebagai seorang pengarang dengan menyerahkan surat rasmi kepada Pengarah Penerbitan DBP; mengusulkan supaya judul-judul berkenaan diulang cetak.

.

Tindakan itu adalah selaras dengan peruntukan Fasal 18, Perjanjian Lesen Penerbitan “yang telah ditandatangani antara pengarang dan DBP (penerbit) di mana perjenjian akan terhenti (tamat) dan hak cipta buku akan kembali kepada pengarang apabila penerbit setelah diberi satu bulan notis oleh pengarang meminta supaya bersetuju mengeluarkan semula atau mencetak semula karya yang habis dijual kesemuanya dan tiada lagi didapati dalam mana-mana edisi pun, gagal memberi persetujuan tersebut tanpa alasan yang sewajarnya”.

.

Bagaimanapun, tiada sebarang maklum balas daripada pihak berwajib. Sehingga menyebabkan saya membuat keputusan untuk mengambil semula hak cipta dan hak penerbitan judul-judul berkenaan.

.

Saya tidak dapat membayangkan berapa ramai lagi pengarang — khususnya golongan penulis muda — yang menanti dengan penuh mengharap agar buku-buku mereka yang sudah kehabisan stok dicetak semula oleh penerbit.

.

Apatah lagi, semasa program “Dialog Sasterawan Negara” anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada 2 Ogos 2009 sempena Pesta Buku Negeri Selangor, Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said secara terbuka menyatakan bahawa bukanlah suatu rahsia bahawa golongan pengarang sastera sudah tidak mempercayai serta sudah tidak boleh mengharap lagi pada DBP untuk menerbitkan karya-karya mereka.

.

Karya-karya A. Samad Said kini diterbitkan oleh Wira Bukit Sdn Bhd. Begitu juga, UA Enterprises Sdn Bhd menerbitkan karya-karya Sasterawan Negara Allahyarham Datuk Usman Awang.

.

Umum juga mengetahui bahawa Prof Madya Dr Lim Swee Tin menerbitkan sendiri karya-karya beliau melalui syarikat miliknya, Citra Kurnia Enterprise. Saya pula menerbitkan sendiri buku-buku saya sejak tahun 2001.

.

Sebenarnya, surat saya kepada Ketua Pengarah DBP bertarikh 22 Jun 2009 adalah berupa makluman rasmi mengenai tindakan mengambil semula hak cipta dan hak penerbitan “Orang Dimensi”, “Siru Kambam”, “Surat dari Madras”, “Hanuman: Potret Diri” dan “Nari! Nari!” kerana judul-judul berkenaan sudah tiada dalam stok dan DBP ternyata tidak berminat mencetaknya semula.

.

Pada waktu yang sama, saya terasa amat sedih kerana hanya memiliki satu naskhah setiap judul berkenaan dalam simpanan. Salah diri saya juga kerana tidak berfikir secara proaktif untuk menambah stok/simpanan semasa judul-judul berkenaan masih berlambak dalam pasaran.

.

Maka, bayangkan (imaginasikan) betapa gembiranya saya apabila menerima surat secara rasmi — dengan nombor rujukan DBP/6-6/SULIT/92/7K.3(47) — daripada Datuk Termuzi sendiri yang memaklumkan bahawa masih ada stok 80 naskhah “Orang Dimensi”, 209 naskhah “Siru Kambam”, 106 naskhah “Surat dari Madras” dan 250 naskhah “Hanuman: Potret Diri”.

.

Bayangkan: buku-buku saya yang “tertimbus” sepuluh tahun lalu, kini tiba-tiba bangkit semula dari kubur!

.

(Agak sedih juga kerana “Nari! Nari!” sudah tiada dalam stok dan tidak dapat sama-sama bangkit semula dari kubur. Mungkinkah Ketua Pengarah DBP sudi mengarahkan pegawai dan kakitangan menyelongkar stor sekali lagi untuk cuba mengesan saki-baki buku itu yang mungkin tertimbus di bawah timbunan buku?)

.

Kini, saya akan menggunakan peruntukan Fasal 17, Perjanjian Lesen Penerbitan yang menyatakan bahawa “pengarang mempunyai opsyen untuk membeli naskhah-naskhah berbaki itu (iaitu apabila pada bila-bila masa selepas dua tahun ia diterbitkan, karya itu tidak lagi mendapat jualan yang menguntungkan) mengikut kadar harga yang telah dipersetujukan dan kadar itu tidak boleh lebih tinggi daripada harga yang boleh didapati oleh penerbit sekiranya penerbit menjualnya sebagai baki”.

.

Seronoknya! Saya akan membeli kesemua “saki-baki” buku-buku berkenaan yang tidak mampu dijual oleh DBP sejak lebih 10 tahun lalu. Saya akan membantu buku-buku saya bangkit semula dari kubur.

.

Saya akan menyimpan 80 naskhah “Orang Dimensi”, 100 naskhah “Siru Kambam”, 100 naskhah “Surat dari Madras” dan 100 naskhah “Hanuman: Potret Diri” sebagai stok/simpanan untuk dihadiahkan kepada cucu-cicit apabila umur saya mencapai 75 tahun.

.

Baki 109 naskhah “Siru Kambam”, 6 naskhah “Surat dari Madras” (yang menang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1998/99) dan 150 naskhah “Hanuman: Potret Diri” (yang pernah dipentaskan sebagai teater di Johor pada Julai 2005) akan saya jual kepada sesiapa yang berminat.

.

Mana-mana individu yang berminat bolehlah segera membuat tempahan melalui e-mel uthayasb@yahoo.com.my. Ingat: Stok adalah terhad kerana “kubur” akan dibersihkan sepenuhnya.

.

Tentu sahaja saya bersedia menjualnya dengan harga amat murah (“harga dari kubur”) kepada individu yang berminat, memandangkan penerbit sepatutnya menjual “saki-baki” buku itu kepada saya “dengan harga yang rendah” sebagaimana dinyatakan dalam peruntukan Fasal 17, Perjanjian Lesen Penerbitan.

.

Terima kasih, Datuk Termuzi kerana memungkinkan karya-karya saya bangkit semula dari kubur dan mampu pula dimiliki oleh khalayak dengan “harga dari kubur”.

...

(© Uthaya Sankar SB 2009. The Malaysian Insider, 8 Ogos 2009)