21 Jan 2011

Jangan Sentuh Pak Lah

Yang Arif,

Izinkan saya menyambung bicara yang ditangguhkan semalam. Edisi yang berada di tangan saya sekarang adalah Edisi Ketiga Cetakan Pertama 2003 yang merupakan penerbitan bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Rhythm Consolidated Berhad di bawah Siri Novel Malaysia Pilihan Abad 20. Hak cipta bagi edisi 1973 hingga edisi ini (2003) dipegang oleh Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain (Pak Lah) sejak novel Interlok terbit kali pertama pada 1971.


Apa yang sedang saya rujuk sekarang pula adalah Interlok edisi murid yang terbit pada 2010 khusus bagi kegunaan di sekolah-sekolah menengah di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan untuk Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) Tingkatan Lima.


Pada halaman Hak Cipta, sudah termaktub bahawa novel Interlok edisi murid ini dicetak pertama kali pada 2010 dan hak cipta dipegang oleh DBP. Tanpa menafikan hak moral dan hak mendapat bayaran (royalti) yang dimiliki Pak Lah berikutan penerbitan buku ini, adalah sah di sisi undang-undang untuk berpegang pada fakta bahawa Pak Lah tidak boleh, tidak wajar dan tidak patut dipertanggungjawabkan atas apa-apa kekurangan yang mungkin ada dalam novel Interlok edisi murid.


Sebaliknya, pihak-pihak yang lebih berhak dan harus dipertanggungjawabkan untuk tampil memberi penjelasan lengkap berikutan kontroversi ini adalah panel penilai yang memilih buku ini sebagai teks Komsas, penerbit yang menerbitkan buku ini sebagai teks Komsas dan editor yang menyunting manuskrip novel ini sebelum diterbitkan sebagai teks Komsas.


Saya ingin membuat andaian berupa hipotesis bahawa panel penilai memilih novel Interlok berdasarkan edisi pelajar yang terbit pada tahun 2005; kemudian menyerahkannya kepada penerbit, yang kemudian menyerahkannya pula kepada editor terbabit dan meminta mereka (Ruziati Abdul Rani dan Baharin Aiyob) melakukan penyuntingan dari aspek bahasa semata-mata. Saya ulang: dari aspek bahasa semata-mata.


Bermakna, mengikut hipotesis saya, hanya kerja-kerja penyuntingan bahasa dilakukan oleh editor terbabit tanpa (perlu) merujuk kepada edisi-edisi lain selain edisi pelajar itu (2005) bagi menyempurnakan tugas yang diamanahkan.


Yang Arif,


Tidak juga diketahui pada waktu ini sama ada manuskrip edisi murid ditunjukkan kepada Pak Lah untuk mendapatkan kelulusan dan izin serta memaklumkan secara jelas bahawa edisi murid yang bakal terbit sudah ‘dimurnikan’ dengan melakukan penyuntingan, rombakan, tambahan dan pembuangan pada bahagian-bahagian tertentu.


Dalam apa keadaan sekali pun, Pak Lah tidak terlibat dan tidak harus dipertanggungjawabkan terhadap keseluruhan kandungan novel Interlok edisi murid yang menimbulkan kontroversi sekarang. Adalah tidak adil dan tidak berperikemanusiaan apabila Pal Lah terpaksa – atau dipaksa – memikul tugas mempertahankan novel Interlok edisi murid. Perbuatan ini berkemungkinan besar – serta ternyata – memberi kesan negatif kepada diri Pak Lah; seperti yang sudah saya hujahkan sebelum ini.


Pihak jawatankuasa penilai di bawah seliaan Kementerian Pelajaran dan editor terbabit di bawah seliaan DBP tidak pula dilaporkan telah dipanggil memberi keterangan dalam isu ini. Sehingga kini, pihak berkenaan yang sepatutnya bertanggungjawab tampil memberikan keterangan dalam isu ini tidak pula dilaporkan sudah berbuat demikian. Mungkin juga mereka sedang ‘dilindungi’ supaya tidak menjadi ‘mangsa’ keadaan. Sebaliknya, Pak Lah (individu yang menerima Anugerah Sastera Negara daripada Yang di-Pertuan Agong) dijadikan ‘kambing hitam’ dan ‘dicampak’ ke tengah api kontroversi, semata-mata kerana beliau penulis novel Interlok edisi asal yang terbit pada tahun 1971.


Apa yang berlaku adalah umpama suatu usaha manipulasi kebenaran, memesongkan fakta dan mengalihkan tumpuan daripada isu asal (novel Interlok edisi murid) kepada individu yang tidak bersalah (Pak Lah). Akibatnya, segala penderitaan fizikal, emosi dan mental terpaksa ditanggung oleh Pak Lah yang mungkin (ulang: mungkin) tidak menyedari bahawa pemegang Hak Cipta adalah DBP dan tugas memurnikan teks dilakukan dua editor yang ternyata kurang berjaya memurnikan Interlok edisi murid, terbitan 2010.


Dengan ini, Yang Arif, berdasarkan hujah-hujah yang dikemukakan, saya sekali lagi mengulangi penegasan mewakili Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) bahawa Pak Lah tidak harus, tidak patut dan tidak boleh diseret atau diheret ke dalam kontroversi ini.


Sekiranya langkah segera tidak diambil, nescaya akan memburukkan lagi tahap kesihatan fizikal, mental dan rohani individu yang tidak bersalah (Pak Lah). Hujah-hujah yang dikemukakan sebelum ini dan sebentar tadi juga sudah memadai untuk membuktikan secara rasional dan logik akal bahawa sebarang perbuatan cuba melibatkan Pak Lah dalam isu Interlok edisi murid adalah tindakan tidak berperikemanusiaan dan mungkin ‘berniat jahat’ serta perlu dipandang serius oleh pihak berwajib.


Jangan sentuh Pak Lah yang tidak bersalah!


Yang Arif, I rest my case.


(© Uthaya Sankar SB 2011. Pertama kali disiarkan di FreeMalaysiaToday pada 20 Januari 2011 sebelum disiarkan di blog Uthaya Sankar SB pada 21 Januari 2011. Sila KLIK DI SINI untuk mengikuti sambungan hujah di hadapan Yang Arif.)