24 Jan 2011

Interlok: Prakata yang Tiada

Yang Arif,

Sudah dihujahkan sebelum ini bahawa novel Interlok edisi murid (2010) amat perlu, amat wajar dan amat sesuai ‘dimurnikan’ dahulu sebelum kembali dijadikan teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) bagi pelajar Tingkatan Lima. [BACA DI SINI] Sehingga kerja-kerja itu dilaksanakan, tidak menjadi dosa besar sekiranya novel yang dipilih sebagai teks Komsas sehingga tahun 2010 ‘dilanjutkan kontrak’ demi kebaikan bersama.


Debat dan hujah sama ada Interlok edisi murid boleh disunting, diubah, dibaiki dan dimurnikan tidak lagi timbul kerana Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sudah pun membuktikan perkara itu melalui hujah-hujah sebelum ini. [BACA DI SINI] Maka, mari kita maju bersama dalam isu ini; bukan mundur dan terus bergelumang dalam lopak yang sudah sedia keruh dicemari lumpur.


Mari kita sama-sama mencari ‘kejernihan’; meminjam perkataan yang kini sering digunakan Profesor Madya Dr Lim Swee Tin, seorang sasterawan yang diakui ‘lebih Melayu daripada orang Melayu’.


Yang Arif,


Semasa pihak Kavyan meneliti novel Interlok edisi 2003, kami mendapati buku berkenaan disertai bahagian Prakata, Kata Pengantar dan Sepatah Kata yang mengandung begitu banyak maklumat berguna yang amat wajar diketahui bukan sahaja pelajar Tingkatan Lima di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan; malah oleh khalayak umum yang mungkin hanya berpeluang membaca Interlok edisi murid.


Dalam hal ini, jangan kita lupa bahawa apabila novel Interlok edisi murid dimasukkan dalam Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) dan pelajar tidak perlu membelinya, maka keluarga setiap pelajar itu juga berpeluang membaca novel berkenaan secara percuma. Sayangnya, pelbagai maklumat penting dan berguna yang ada dalam edisi 2003 tidak ditemui langsung dalam edisi 2010 (edisi murid).


Pada pandangan Kavyan, antara maklumat penting pada Prakata, Kata Pengantar dan Sepatah Kata dalam edisi 2003 yang boleh membantu ‘menjernihkan’ keadaan adalah seperti berikut:


“Hasil kesusasteraan adalah sebahagian daripada warisan peradaban bangsa. Ia mencerminkan perubahan sosial sesuatu bangsa. ... Secara keseluruhannya, warisan peradaban ini dihayati sebagai suatu kesatuan yang memperlihatkan perkembangan dan perubahan tema, persoalan dan teknik penulisan novel ... Yang penting bukan sekadar dibaca, tetapi dihayati dan dikaji sebagai hasil kesusasteraan yang mencerminkan warisan peradaban bangsa Malaysia pada abad 20.” (Prakata)


“Abad 20 adalah abad perubahan dalam perkembangan sejarah Malaysia dalam segala bidang. Perubahan sosial pada awal abad 20 ... telah melahirkan perubahan yang nyata kepada pertumbuhan genre baharu dalam dunia sastera di Malaysia. ... Pertumbuhan dan perkembangan ini adalah gambaran perubahan yang dialami oleh bangsa Malaysia yang kemudiannya bertambah pesat setelah kemerdekaan dicapai pada tahun 1957. ... Setelah abad 20 kita lalui, wajar kita melihat kembali apa yang telah kita capai untuk menjadi pedoman kita menempuh masa depan.” (Kata Pengantar)


“Dengan inisiatif Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein (pada masa itu Timbalan Perdana Menteri), suatu peraduan mengarang novel telah diadakan bersempena dengan sambutan sepuluh tahun Malaysia merdeka. ... Dewan Bahasa dan Pustaka diarahkan untuk menerbitkan novel yang mendapat hadiah dalam peraduan tersebut. Novel Interlok ialah salah sebuah daripada novel yang tergolong dalam kategori pemenang sayembara.” (Sepatah Kata)


Yang Arif,


Bayangkan betapa rugi apabila begitu banyak maklumat penting dan berguna ditiadakan (dinafikan kewujudan) dalam Interlok edisi murid. Malah, novel terbitan 2010 langsung tidak menyebut – termasuk di halaman Hak Cipta – bahawa karya ini dihasilkan pada 1967 dan sudah banyak kali diterbitkan sejak 1971. Interlok edisi murid adalah Cetakan Pertama 2010 dan Hak Cipta dipegang DBP 2010.


Biodata Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain (Pak Lah) hanya secara khusus menyebut novel Imam. Kumpulan tertentu yang ghairah menjerit di pentas terbuka, sering menuduh mana-mana pihak yang tidak menerima seadanya Interlok edisi murid (termasuk Kavyan yang mahu Interlok edisi murid ‘dimurnikan’) sebagai tidak pernah membaca novel asal Interlok dan tidak tahu siapa Pak Lah.


Nah! Berdasarkan hipotesis (baca: tuduhan) yang dilontarkan kumpulan itu sendiri, bukankah sudah cukup untuk memberi gambaran amat jelas akan kemungkinan (andaian sahaja) bahawa khalayak yang berpeluang membaca Interlok edisi murid langsung tidak tahu bahawa ia adalah karya yang ditulis dalam suasana tahun akhir 1960-an? Apatah lagi, Interlok edisi murid disajikan dengan perakuan ‘Hak Cipta 2010’ dan ‘Cetakan Pertama 2010’.


Yang Arif,


Kavyan berpegang semakin teguh pada pendirian bahawa Interlok edisi murid yang sudah diedarkan kepada pelajar ditarik balik dengan segera. (Atau hadiahkan sahaja kepada pelajar berkenaan dengan semangat sebenar slogan ‘kerajaan prihatin’.)


Novel Interlok edisi murid perlu ‘dimurnikan’ seperti yang sudah dihujahkan sebelum ini; serta diterbitkan semula dalam ‘edisi kedua’ (edisi dimurnikan) yang mempunyai Prakata, Kata Pengantar dan Sepatah Kata – khususnya petikan-petikan penting yang dikemukakan sebentar tadi. Ia lebih penting berbanding ‘kata-kata pujian’ dan ‘propaganda’ pada bahagian blurb novel Interlok edisi murid!


Tindakan dan cadangan yang dibentangkan Kavyan sedikit pun tidak memperlekeh kehebatan Interlok sebagai sebuah karya agung yang dihasilkan Sasterawan Negara kelapan. Sebaliknya, cadangan ini membantu mengangkat martabat Interlok dan kedudukan Pak Lah sendiri sebagai seorang sasterawan yang menerima Anugerah Sastera Negara daripada Yang di-Pertuan Agong pada 1996.


Jika itulah juga yang sebenar-benarnya dan dengan seikhlas hati diperjuangkan pihak tertentu yang lantang bersuara di pentas terbuka, maka saya tidak nampak apa-apa alasan logik – selain habuan bersifat peribadi, mungkin! – yang memungkinkan mana-mana pihak menolak cadangan bernas yang dikemukakan Kavyan.


Yang Arif, I rest my case.


(© Uthaya Sankar SB 2011. Pertama kali disiarkan di FreeMalaysiaToday pada 23 Januari 2011 sebelum disiarkan di blog Uthaya Sankar SB pada 24 Januari 2011. Ikuti sambungan DI SINI)