Awal pagi lagi, Amma mengejutkan kami. Aku dan Etta bangun dengan gembira. Abang Peng Soon turut bangun bersama kami. Tahun ini, Abang Peng Soon akan menyambut kelahiran Chithirai bersama keluarga kami.
“Peng Soon, jangan buka mata,” Etta mengingatkan kawannya.
Abang Peng Soon tentu masih ingat pesanan Etta semalam. Lalu, dia tidak membuka mata. Aku dan Etta juga tidak membuka mata.
Amma memegang tangan Etta. Etta memegang tangan Abang Peng Soon. Aku pula mengekori dari belakang sambil memegang tangan Abang Peng Soon. Lalu, Amma memimpin kami bertiga menuju ke bilik sembahyang.
Apabila sampai di bilik sembahyang, Amma menyuruh kami membuka mata. Lalu, aku membuka mata dan melihat berhala Dewa Muruhan yang dikalungkan bunga pelbagai warna. Etta dan Abang Peng Soon juga sedang memandang berhala itu.
“Awak tahu tak mengapa kami buat begini?” bisik Etta kepada kawannya.
Abang Peng Soon sedang berdiri sambil bersembahyang. Akan tetapi dia tidak meletakkan tapak tangan seperti cara orang India bersembahyang. Sebaliknya, Abang Peng Soon bersembahyang seperti orang Cina bersembahyang.
“Orang beragama Hindu percaya bahawa kita perlu melihat objek yang suci pada pagi hari-hari perayaan seperti Tahun Baru dan Deepavali,” Etta menjelaskan. “Sebab itulah kita memandang berhala Dewa Muruhan.”
.
(Petikan cerpen "Putandu Valtugal" yang disiarkan dalam majalah Dewan Pelajar, April 2004)