Friday, 13 April 2018

Dilema Arjuna dalam Mahabharata


Bhagavad Gita adalah sebahagian daripada Mahabharata.

Sewaktu berada di medan perang (Kurukshetra), Arjuna mengalami dilema, lalu Krishna menyampaikan ajaran yang kemudian dikenali sebagai Bhagavad Gita.

Sesudah berdialog dengan Krishna, Arjuna bersedia untuk berperang menewaskan golongan Kaurava.

Ramai penganut Hindu menjadikan Bhagavad Gita sebagai teks suci dan panduan hidup.


Namun begitu, sebenarnya, sesudah kisah dalam Bhagavad Gita berakhir dan perang Pandava–Kaurava sedang berlangsung, Arjuna masih mengalami pelbagai dilema dan kesukaran membuat keputusan. Krishna terpaksa memberikan motivasi berulang kali kepadanya.


Trivia: Filem The Legend of Bagger Vance (2000) lakonan Matt Damon dan Will Smith juga meminjam cerita/plot daripada Bhagavad Gita.


Malah, di akhir Mahabharata (Buku 14), Arjuna meminta Krishna mengulangi ajaran yang disampaikan kepadanya di medan perang [teks Bhagavad Gita belum dikarang dalam bentuk teks pada waktu itu].

[Baca juga – Laksamana Arjuna]

Krishna menjelaskan bahawa adalah sukar dan mustahil untuk mengulangi sepenuhnya kandungan pengajaran itu kerana suasana, situasi dan keperluan sudah berubah. “Saat itu sudah berlalu,” kata Krishna.


Sebaliknya, Krishna menyampaikan Anu Gita yang juga menjadi sebahagian daripada teks Mahabharata.

[Baca juga – Pemerintahan Sri Rama]

Ini satu lagi keunikan ajaran Hinduisme. Ia tidak sesekali mengatakan kandungan ajaran itu kekal sama. Ia tidak rigid. Sebaliknya, berubah mengikut zaman dan keadaan. Ia boleh dibahas dan dibincangkan dari pelbagai sudut mengikut zaman dan perkembangan minda manusia. Tidak hairanlah agama tauhid tertua ini juga dikenali sebagai Sanathana Dharma

[Baca juga – Hinduisme Kian Merosot]

Satu lagi perkara menarik adalah mengenai Arjuna yang berpeluang menerima wahyu (gita) secara langsung daripada Tuhan (Krishna) – tanpa melalui malaikat atau perantara lain atau orang tengah.


Arjuna juga digambarkan berpeluang melihat rupa sebenar Tuhan. Anehnya, segala keistimewaan ini tidak menjamin Arjuna masuk syurga (tempat Dewa Indra)!

[Wajib baca Siri Karya Klasik India dalam Bahasa Malaysia]

Sebaliknya selepas kematiannya, Arjuna dikatakan pergi ke naraka (neraka) bagi suatu tempah tertentu sebelum layak kembali kepada Pencipta. Memang konsep syurga dan neraka tidak ada dalam ajaran sebenar Hinduisme.

[Baca juga – Wajarkah Dewa Disembah?]

Kisah pengalaman Arjuna menunjukkan bahawa peluang “melihat” Tuhan serta peluang “mendengar” wahyu secara langsung daripada Tuhan tidak menjamin tempat istimewa selepas roh meninggalkan tubuh. Renung-renungkan.


Dalam pada itu, hanya selepas anda membaca, memahami, dan menghayati Bhagavad Gita, maka anda akan sedar bahawa apa yang terkandung dalam kitab Hindu itu turut diulang dalam kitab agama-agama terkemudian. [Baca juga  Dewa Ganesha Ketinggalan Zaman]