6 MEI 2012 –
Chellam ketawa memikirkan semua kisah silam yang berlaku lama dulu. Anak-anaknya masih menangis kelaparan dan dia pula
ketawa. Dia mengetawakan diri sendiri.
Dia mengenangkan kebodohannya pada masa
lalu. Dia telah bertekad mahu mengubah sikap suaminya tetapi tidak berjaya. Dia
gagal.
Hari berganti hari dan tahun berganti
tahun. Selvam dan Chellam sudah ada dua anak perempuan. Akan tetapi, sikap
Selvam masih tidak berubah.
Malah, Selvam tidak bekerja. Dia terlalu asyik
menghisap dadah dan minum arak.
Chellam pula terpaksa bekerja keras untuk
mencari wang. Dia perlukan wang untuk membeli susu tepung. Walaupun dia
mengandung, dia masih perlu bekerja keras. Dia memang penat dan sakit tetapi
apa yang boleh dibuat?
Pada masa itu, Chellam dan Selvam tinggal
di rumah emak Selvam. Emak Selvam memang tidak suka akan Chellam. Jadi, dia
selalu memaki Chellam. Apa sahaja yang dia buat, mesti salah.
Chellam juga dipukul dan dimarahi oleh emak
mentua. Dia sangat sedih. Tetapi dia tidak boleh mengadu kepada sesiapa.
Chellam telah lari dari rumah dan berkahwin dengan Selvam. Jadi, dia tidak ada
sesiapa untuk mengadu.
Suaminya pula seorang yang tidak
bertanggungjawab. Dia tidak kisah tentang isteri dan anak-anak. Apa yang
penting bagi Selvam adalah dadah dan arak. Dia juga mahu Chellam melayaninya
dengan mesra pada setiap malam.
“Mengapa nasibku begini malang? Apakah
dosaku? Adakah ini balasan kerana aku lari dari rumah? Kenapa cinta kelihatan
indah tetapi sebenarnya membawa penderitaan?” Demikian Chellam selalu bertanya
pada diri sendiri sambil menangis.
Penderaan oleh emak mentua menjadi lebih
teruk semasa Chellam mengandung anak keempat.
“Tak guna! Tahu lahirkan anak saja.
Semuanya anak perempuan pula. Memang anak perempuan tak guna,” wanita tua itu
memarahi Chellam.
“Awak semua membazir wang saya saja. Kalau
awak semua terus tinggal di rumah ini, saya akan menjadi miskin. Saya terpaksa
meminta sedekah di jalan raya,” katanya lagi.
Oleh kerana tidak tahan dengan makian dan
penderaan emak mentua, Chellam menasihatkan Selvam supaya mereka keluar dari
rumah itu.
Akan tetapi, sebelum mereka sempat mencari
rumah baru, emak Selvam menghalau mereka keluar.
Tangisan anak-anak mengejutkan Chellam
daripada lamunan. Dia mengesat pipi yang basah. Dia tahu bahawa anak-anaknya
lapar. Dia tidak boleh membiarkan mereka terus menangis.
Chellam keluar dari rumah. Dia pergi ke
longkang yang kotor di tepi rumah. Ada kangkung liar di sana. Chellam memetik
kangkung itu. Dia membersihkan sayur berkenaan dan memasaknya.
Hanya kangkung itulah yang menjadi makanan
mereka anak-beranak pada hari itu. Tapi untuk berapa hari lagi anak-anaknya
boleh makan kangkung sahaja?
Kisah perjuangan Chellam dan anak-anaknya
belum berakhir. Sampai bilakah perderitaan mereka akan berterusan? – Bersambung
(Uthaya Sankar SB menulis cerita ini berdasarkan kisah benar. Nama-nama
watak ditukar atas permintaan individu terbabit. © Uthaya Sankar SB. Disiarkan di The Malaysian Insider pada 6 Mei 2012.)