16 Dec 2011

Panel turut teroka yang 'menyesatkan, memalukan'

Walaupun kontroversi Interlok bermula dengan penggunaan perkataan “p****” dan perkara yang dianggap sensitif, panel bebas yang mengkajinya berjaya menerokai, terdapat juga bahagian yang dianggap “menyesatkan” dan “memalukan”.
Menurut cadangan pindaan melibatkan lebih 100 perkara yang diperakukan oleh dalam persidangan terakhirnya pada 4 Mac 2011, perkara itu antaranya yang menyentuh soal dewa penganut Hindu dan upacara keagamaan mereka.


Dalam bahagian yang menceritakan upacara perkahwinan watak Maniam dan Malini (halaman 227 dan 228), disebut bahawa pengantin duduk atas pelaminan yang dihiasi daun mangga “yang ada hubungannya dengan kaman, dewa cinta”.
Terdapat juga bahagian yang menyebut tentang membaca doa untuk dewa Palikai selepas upacara ankurarppanam - yang ditafsirkan pengarang sebagai upacara pemujaan yang dilakukan dengan periuk tembikar berisi sembilan macam tunas biji-bijian.

“(Berkenaan) Fakta dan budaya. Elakkan memberi maklumat yang ‘menyesatkan’!” Begitu ditandakan dalam ruangan “catatan/rasional” setelah mengusulkan supaya nama-nama dewa itu dibuang.

Bagaimanapun, laporan yang diperoleh Malaysiakini daripada seorang anggota panel, Uthaya Sankar SB, tidak mengulas lanjut maksud “menyesatkan” seperti yang ditandakan.

Istilah Britain

Difahamkan, cadangan pindaan disediakan tiga anggota panel yang mewakili masyarakat India yang diberikan tugas khas mencari perkara yang sensitif bagi kaum itu.

Ia antara lebih 100 cadangan yang dikemukakan, yang turut melibatkan “Buku 1” dan “Buku 2” yang menyentuh kehidupan keluarga Melayu dan Cina pada zaman sebelum merdeka.


Selain Uthaya, Pengarah Pusat Pendidikan Global Aminuddin Baki Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Dr NS Rajendran dan bekas pegawai Kementerian Pelajaran G Krishnabahawan turut terlibat.
Sementara itu, cadangan itu juga mendakwa terdapat “kesalahan fakta yang amat memalukan” ketika Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain menulis tentang babak dua watak India sedang menjamah makanan India, termasuk “papadom”.

Ayat asal yang digunakan seperti berikut: “Kemudian, dia mencedok rasam dan dibubuh di atas nasi. Diambilnya sambar diletakkannya di tepi daun itu dengan beberapa keping popadom dan sayur.”

Bahagian itu kemudiannya ditandakan sebagai, “Nota: papadam (Malayalam), appalam (Tamil). Popadom adalah istilah di Britain!”

Selain itu, menariknya, cadangan itu turut cuba menonjolkan aspek moral dan keagamaan dalam wataknya seperti memasukkan perkataan “tuak dilarang di sisi agama” dan babak watak Maniam bersembahyang.

Konsep bumiputera belum wujud

Sementara hujah-hujah yang disebut dalam cadangan 12 halaman itu bagi menolak perkataan p**** kerana watak utama kaum India bukanlah daripada golongan itu jika dilihat daripada kehidupannya yang digambarkan dalam novel.


Antaranya, apabila dia (Maniam) berangkat ke Tanah Melayu dengan kemahuan sendiri yang didakwa mustahil mampu bagi seorang paria pada zaman itu.
Antara lain dalam cadangan itu:




  • Menggantikan perkataan “bumiputera” dengan perkataan “penduduk” atas alasan konsep itu belum wujud pada 1910 yang menjadi latar novel.


  • Membuang perkataan “kasta Brahma” kerana Brahma sebenarnya merujuk kepada dewa.


  • Membuang bahagian yang menyebut ‘mengunyah sirihnya seperti lembu”.


  • Membuang perkataan ‘berkulit hitam” bagi merujuk kepada watak India.

Selain itu, dalam cadangan terakhirnya sempat mengingatkan supaya blurb atau keterangan ringkas pada kulit buku “kekal sebagai blurb yang bermaruah dan bukan secara terang-terangan menjadi agen propaganda politik.”


(Jimadie Shah Othman, Malaysiakini, 18 Mac 2011, 11:55 pagi. Sila KLIK DI SINI untuk koleksi bahan berhubung kontroversi novel Interlok Edisi Murid sejak Disember 2010.)