10 Feb 2011

Belajar, Bukan Hafaz

Setiap kali saya berpeluang mengambil anak saya pulang selepas sekolah, saya akan bertanya kepadanya, apa perkara baru yang dipelajarinya di kelas pada hari berkenaan.
.

Bagi saya, apa yang penting adalah ilmu yang ditimba di sekolah secara yang menyeronokkan; bukan pengetahuan yang disuap dan disogokkan oleh guru kepada murid.

.

Mujurlah anak saya, Devishi Prabha Sankari turut memahami kepentingan ilmu yang dipelajari sambil berseronok. Berkat bimbingan ibunya juga, Devishi tetap mendapat markah yang amat membanggakan dalam peperiksaan penggal Tahun Satu (2009).

.

Proses menimba ilmu perlulah menyeronokkan. Bagi saya sendiri, saya masih ingat begitu banyak perkara yang dipelajari sejak sekolah rendah kerana segalanya didedahkan kepada kami (murid-murid) secara yang menarik dan bukan semata-mata berorientasikan peperiksaan.

.

Perkara yang amat berbeza dapat diperhatikan sekarang. Pelaksanaan KBSR dan KBSM hanya indah dan menyeronokkan pada kertas. Manakala dari segi pelaksanaan, kesemuanya masih berorientasikan peperikasaan.

.

Masing-masing guru, ibu bapa, sekolah, jabatan, kementerian dan kerajaan ternyata masih hanya berminat untuk mengetahui berapa banyak “A” yang diperoleh oleh golongan murid-murid dan pelajar.

.

Hakikat yang boleh dipertikaikan tetapi tidak boleh dinafikan adalah bahawa Malaysia sedang melahirkan lebih banyak robot yang tidak mampu berfikir.

.

Sekitar sedekad lalu, saya sering mendengar bagaimana Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (rendah dan menengah) amat mementingkan aspek kecemerlangan dalam peperiksaan.

.

Murid-murid dan pelajar khabarnya akan dibimbing dan disuapkan dengan pelbagai teknik untuk cemerlang dalam peperikasaan. Kecemerlangan akademik menjadi aspek paling utama dalam kehidupan seharian mereka.

.

Demikian gambaran yang diberikan kepada saya dan demikian juga realiti yang saya lihat hasil daripada pemerhatian dari jauh. Saya amat mengasihani murid-murid dan pelajar SJKC kerana saya merasakan mereka tidak ada kehidupan normal sebagai kanak-kanak dan remaja.

.

Akan tetapi, semua itu hanyalah tanggapan dan andaian saya sendiri berdasarkan sedikit maklumat yang saya terima dari sana sini.

.

Sejak beberapa tahun lalu, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang mengendalikan pelbagai aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya berusaha untuk turut menjalankan aktiviti di SJKC.

.

Salah satu projek rintis berjaya diadakan di SJK (C) Serdang Baru 1, Seri Kembangan pada tahun 2008.

.

Pengalaman bersama-sama para guru dan murid-murid di sekolah berkenaan amat penting bagi saya secara peribadi kerana program yang diadakan berjaya membuka pintu untuk saya melihat secara lebih dekat suasana dan pemikiran mereka yang berada di SJKC. Nampaknya, memang benar bahawa SJKC amat mementingkan aspek kecemerlangan akademik. Tidak salah jika dikatakan bahawa jumlah “A” masih menjadi buruan.

.

Walau bagaimanapun, seperti yang diakui oleh Guru Besar SJK (C) Serdang Baru 1, Ng Boon Chuan, tidak semua kanak-kanak mempunyai keupayaan untuk cemerlang dalam akademik dengan mendapat “A” dalam semua subjek peperiksaan.

.

Apa yang menarik, beliau tidak mahu murid-murid yang “kurang cemerlang” tertinggal dalam arus pendidikan dan proses menimba ilmu.

.

Maka, beliau dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan berusaha mengadakan kelas tambahan dan aktiviti tambahan yang dapat membantu golongan murid-murid yang lemah.

.

Aktiviti tambahan yang dimaksudkan bukanlah berorientasikan peperiksaan. Sebaliknya, aktiviti-aktiviti yang berupaya memupuk minat menimba ilmu dalam kalangan murid-murid terbabit.

.

Misalnya, semasa aktiviti Kavyan di sekolah berkenaan, kami menyanyi lagu “Rasa Sayang”, mencipta pantun dan bercerita.

.

Ng ternyata menyedari bahawa ilmu bukan hanya apa yang dipelajari bagi tujuan peperiksaan.

.

Pengalaman yang hampir sama juga saya peroleh sewaktu mengadakan aktiviti di SJK (C) Kepong 3 dan SM Persendirian Chong Hwa Kuala Lumpur.

.

Dalam suatu pertemuan di SJK (C) Kepong 3 baru-baru ini, pihak guru besar, guru dan ibu bapa menyatakan bahawa selain daripada aspek kecemerlangan akademik, mereka juga mahu anak-anak menjadi insan yang seimbang dari segi fizikal, mental, psikologi dan rohaniah.

.

Sehubung itu, Kavyan diminta menjalankan aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya secara berkala di sekolah berkenaan demi manfaat murid-murid, guru dan ibu bapa.

.

Suatu aspek yang menggembirakan telah saya perhatikan semasa pertemuan itu. Pihak sekolah dan ibu bapa tidak mahu Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris diajar sebagai suatu mata pelajaran semata-mata.

.

Sebaliknya, mereka sepakat mengatakan bahawa aktiviti berkaitan bahasa perlulah dilakukan secara yang menyeronokkan dan bukan berorientasi peperiksaan.

.

Maka, sebagai tambahan kepada pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris sebagai subjek wajib di sekolah, Kavyan dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia, Kumpulan One Nusantara, Citra Kurnia Enterprise, Ritz Marketing dan beberapa pihak lain akan mengendalikan beberapa aktiviti ke arah “memasyarakatkan” Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris di luar kerangka peperiksaan.

.

Saya amat yakin bahawa pelbagai aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya yang dirangka mampu meningkatkan penguasaan dan rasa cinta murid-murid terhadap bahasa-bahasa berkenaan.

.

Maka, secara tidak langsung, kumpulan sasaran tidak akan menghadapi masalah untuk turut cemerlang dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris berdasarkan silibus kementerian yang masih amat berorientasikan jumlah “A” yang mampu diraih. Suatu lagi pengalaman saya adalah di SM Persendirian Chong Hwa Kuala Lumpur semasa mengendalikan acara “Baca Puisi Usman Awang” baru-baru ini.

.

Pelajar-pelajar sekolah berkenaan mampu menyampaikan puisi-puisi Sasterawan Negara Allahyarham Dato’ Usman Awang dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Mandarin secara amat menarik dan memukau.

.

Mereka bukan sekadar menghafaz; sebaliknya berupaya menghayati serta mendeklamasi puisi-puisi seperti “Pemuda dan Gadis Tionghua”, “Bahasa Bonda” dan “Anak Jiran Tionghua” dengan penuh gaya dan kefasihan berbicara.

.

Kalau saya boleh menggunakan pengalaman di SJK (C) Serdang Baru 1, SJK (C) Kepong 3 dan SM Persendirian Chong Hwa Kuala Lumpur sebagai kayu pengukur, ternyata tanggapan negatif yang saya miliki sedekad lalu sudah tidak boleh lagi digunakan.

.

Murid-murid, pelajar, ibu bapa dan pihak guru SJKC sudah mampu mengimbangi antara kecemerlangan akademik dan aspek “keseronokan” dalam menimba ilmu sebagai bekalan hidup.

.

Ironinya, apabila saya pergi ke beberapa sekolah kebangsaan, soalan yang ditanya adalah bagaimana aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya anjuran Kavyan boleh membantu murid-murid dan pelajar sekolah berkenaan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

.

Saya amat berharap Guru Besar di tempat Devishi belajar tidak akan bertanya soalan yang sama apabila saya membawa cadangan aktiviti Kavyan ke sekolah berkenaan dalam masa terdekat!

..

(© Uthaya Sankar SB 2009. The Malaysian Insider, 31 Julai 2009)