Konvoi itu dijadualkan bertolak dari New Delhi, India pada 2 Disember 2010 dan dijangka tiba di Gaza pada 27 Disembe 2010r.
Dari India, konvoi akan bergerak melalui Pakistan, Iran, Turki, Syria, Lubnan dan Jordan.
Apabila tiba di Syria, kesemua aktivis berserta trak, bas sekolah dan bantuan kemanusiaan yang dibawa akan meneruskan perjalanan menggunakan jalan laut menuju ke Gaza.
Antara negara Asia yang menghantar wakil menyertai konvoi kemanusiaan terbaru ini adalah Malaysia, India, Pakistan, Indonesia, Jepun, Afghanistan, Bangladesh, Nepal, Sri Lanka, Iran, Iraq, Turki, Syria, Mesir, Jordan dan Lubnan.
Para aktivis dijadualkan menyertai perhimpunan khas di semua negara yang dilalui dalam perjalanan menuju ke Gaza.
Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Britain, George Galloway yang mengetuai konvoi Viva Palestina 5 tetap optimis bahawa kumpulan aktivis kemanusiaan yang bertolak dari tiga tempat berlainan akan berjaya masuk ke Gaza untuk menghulurkan bantuan kepada penduduk Palestin.
Selepas konvoi tiba di Syria minggu lalu, perancangan Galloway adalah memastikan pelayaran ke Mesir berjalan seperti dijadualkan di mana perjalanan laut itu melibatkan hampir 40 aktivis kemanusiaan dari 30 negara bersama-sama 144 kenderaan yang membawa pelbagai bantuan kemanusiaan.
Konvoi itu turut disertai 134 aktivis dan 52 bas dari Jordan, selain aktivis kemanusiaan dari Algeria, Afrika Utara.
18 September 2010 – Konvoi Viva Palestina bertolak dari London, Britain; Casablanca, Maghribi; dan Doha, Qatar. Ketiga-tiga kumpulan dijadualkan bertemu di Syria sebelum flotila terbesar itu berlayar ke Pelabuhan el-Arish, Mesir dan meneruskan perjalanan menggunakan jalan darat untuk memasuki Gaza melalui Rafah.
20 September 2010 – Konvoi dari London tiba di Vaulx-en-Velin, Lyon, Perancis. Bandar raya ini satu-satunya bandar di Perancis yang mengibarkan bendera Palestin.
23 September 2010 – Lima kenderaan dari Perancis dan tujuh dari Itali yang membawa muatan bantuan kemanusiaan menyertai konvoi yang meneruskan perjalanan darat ke Greece.
27 September 2010 – Aktivis kemanusiaan yang menyertai misi bantuan kemanusiaan Viva Palestina dari Britain tiba di Istanbul, Turki.
1 Oktober 2010 – Konvoi kemanusiaan meneruskan perjalanan melalui Ankara, Kayseri, Adana, Gaziantep dan Kilis menuju ke Syria.
7 Oktober 2010 – Konvoi tiba di Pelabuhan Latakia, Syria dan membuat permohonan kepada kerajaan Mesir untuk mendapatkan kebenaran membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui Rafah. Mesir mengenakan lima syarat untuk membenarkan kapal misi bantuan kemanusiaan berlabuh di Pelabuhan el-Arish dan meneruskan perjalanan ke Gaza.
Dalam pada itu, sekitar 35 mahasiswa Universiti Wayne, Detroit, Amerika Syarikat (AS) mengambil bahagian dalam acara Berjalan Untuk Pembebasan Palestin di Michigan, pada 9 Oktober 2010.
Penyelaras program sulung itu, Adnan Moussa menjelaskan bahawa tujuan utama mahasiswa terbabit menganjurkan acara Berjalan Untuk Pembebasan Palestin (Free Palestine Walk) adalah bagi menyedarkan penduduk Detroit mengenai penderitaan rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat.
Kesemua peserta berjalan secara aman sambil memakai kemeja-T khas dan memegang sepanduk bertulis kata-kata “Kebebasan dan Hak Sama Rata Untuk Penduduk Palestin”.
Moussa mendapat idea mengadakan acara ini selepas menyertai lawatan sambil belajar ke Tebing Barat baru-baru ini.
“Saya menyedari betapa penduduk AS tidak mendapat maklumat sebenar dan gambaran lebih dekat mengenai kesempitan hidup, penderitaan dan masalah terpaksa dihadapi penduduk Palestin,” katanya.
Berikutan kejayaan acara ini, satu lagi acara “Berjalan Untuk Pembebasan Palestin” pada skala lebih besar sedang diatur untuk diadakan bulan ini.
...