25 Oct 2010

Jangan Ganggu Kami!

Kesemua 33 pelombong yang berpeluang meluangkan masa berkualiti bersama keluarga masing-masing selepas terpisah lebih 70 hari meminta pihak media menghormati keinginan mereka dan tidak mengganggu.
.
Juan Illanes, 52, meluahkan permintaan itu sewaktu bercakap mewakili enam pelombong lain pada sidang media (lihat foto) di Copiapo, Chile pada 16 Oktober 2010.
.
“Kami juga sepakat untuk tidak mendedahkan maklumat terperinci mengenai pengalaman kami terperangkap selama 69 hari di dalam lombong itu kerana kami mahu memuatkan pengalaman bersejarah itu dalam buku yang sedang sama-sama kami usahakan,” katanya.
.
Illanes turut melahirkan rasa kesal atas sikap beberapa media yang mensensasikan kehidupan peribadi pelombong terbabit.
.
“Media memberi tumpuan kepada kisah Johnny Barrios di mana isterinya mendapat tahu dia ada seorang wanita simpanan. Malah, apabila Barrios ke rumah wanita simpanan itu selepas keluar dari lombong, media memberi liputan penuh sensasi,” kata Illanes, bekas tentera yang merupakan pelombong ketiga berjaya dikeluarkan pada 13 Oktober 2010.
.
Katanya, pelombong terbabit juga merayu supaya diberi peluang mengikuti latihan kemahiran dan beberapa kemudahan lain daripada kerajaan.
.
Sementara itu, Edison Pena, pelombong yang turut terperangkap selama 69 hari berikutan runtuhan di lombong emas dan tembaga di San Jose, Chile sejak 5 Ogos 2010, menerima undangan menyertai Maraton New York pada 7 November 2010.
.
Sepanjang terperangkap di dalam lombong itu, Pena tetap berjoging setiap hari dan diberi gelaran The Runner oleh pelombong lain yang ada bersama hampir 700 meter di bawah tanah.
.
Presiden Kelab Pelumba Jalan New York, Mary Wittenberg mengesahkan pihaknya mengundang Pena untuk hadir sama ada sebagai peserta maraton atau sekurang-kurangnya sebagai penonton.
.
Bagaimanapun, sehingga 17 Oktober 2010, kelab itu belum berpeluang menghubungi Pena untuk menyampaikan undangan rasmi.
.
Dalam pada itu, pelombong berumur 34 tahun itu turut menerima undangan mengadakan lawatan ke Graceland, iaitu rumah kediaman mendiang Elvis Presley di Memphis, Tennessee, Amerika Syarikat.
.
Pena, pelombong ke-12 yang berjaya dibawa keluar pada 13 Oktober 2010adalah peminat Presley dan sering menyanyikan lagu-lagu penyanyi itu semasa terperangkap di dalam lombong.
....
Skrip ini ditulis berdasarkan pelbagai sumber rasmi dan disiarkan di Halaman Global akhbar Sinar Harian pada 18 Oktober 2010. [Baca Kronologi Kejadian] Skrip ini juga antara skrip terakhir oleh Uthaya Sankar SB untuk Halaman Global sebelum dinaikkan pangkat daripada Ketua Meja Global kepada Penolong Editor Nasional bermula 18 Oktober 2010. Uthaya Sankar SB berhenti kerja di akhbar Sinar Harian pada akhir Februari 2011 kerana menyedari pelbagai kepincangan yang berlaku.