18 Aug 2010

Mockingbird, Si Burung Ajuk-ajuk

Saya selesai mendengar – sambil tangan memegang buku dan mata membaca tulisan bercetak – cakera padat (CD) novel To Kill A Mockingbird pada pukul 11:55 malam, 15 Ogos 2010. Saya ada membuat catatan DI SINI mengenai novel berkenaan.
.

Novel berkenaan terbit pada 1960. Filem terbit pada 1962. Buku itu – kepunyaan Prabhawathy Govindarajoo – berada di rak buku saya sejak 2000. Versi CD (audio) terbit pada 2006. Akhirnya, pada 2010, saya berjaya membaca serta mendengar novel berkenaan.

.

Saya juga ada membuat catatan pada ruangan status Facebook pada 12 dan 13 Ogos 2010 mengenai To Kill A Mockingbird serta maklumat/reaksi yang diterima amat membanggakan.

.

Misalnya, Roslan Jomel memberi komen apabila saya menyatakan bahawa judul novel itu mungkin menjadi Membunuh Si Burung Ajuk-ajuk sekiranya novel berkenaan diterjemah ke Bahasa Malaysia. Roslan memberitahu saya bahawa novel itu sebenarnya sudah pun diterjemah ke Bahasa Malaysia oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan judul Enggang Lalu Ranting Patah (1990).

.

Sudah hampir 1008 kali saya pernah melihat buku berkenaan dilonggokkan di DBP tetapi tidak pernah pula terbuka hati saya untuk mahu walau sekadar membelek-belek buku itu. Mungkin salah saya juga kerana tidak meneliti nama pengarang pada kulit buku. Maka, saya perlu berusaha mendapatkan buku berkenaan. Semoga tidak “sehina” novel Tamil Kallo Kaaviyamo karya Mu Varatharasan (Mu Varadarajan) yang diterjemah menjadi Berakhirnya Balada Cinta (1997) oleh DBP.

.

Vijayaletchumy Vellasamy, Racheal Philip, Venubalan Rajaram dan Anthasha Syed Ahmad antara rakan-rakan di Facebook yang menganggap To Kill A Mockingbird sebagai salah satu buku kegemaran mereka. Ada juga generasi muda yang tidak tahu mengenai novel berkenaan. Tidak mengapa; sekurang-kurangnya kini mereka tahu dan mungkin berminat mendekatinya.

.

Sekadar makluman, mungkin ada yang beranggapan bahawa novel itu - yang pada mulanya diberi judul Atticus oleh Harper Lee - disampaikan melalui sudut penceritaan seorang kanak-kanak berumur enam tahun. Sebenarnya, tidak. Penceritanya seorang dewasa yang mengimbau pengalaman semasa berumur enam tahun.

.

Novel To Kill A Mockingbird juga tidak ada pengakhiran seperti yang sering "dituntut" dalam karya popular di Malaysia. Sebaliknya, cerita berakhir semasa Jem masih belum sedar untuk mendedahkan kemungkinan lain mengenai insiden yang berlaku semasa dia dan Scout berjalan pulang pada malam terakhir itu. Pengakhiran adalah tergantung dan terpulang kepada pembaca untuk memikirkan apa yang berlaku seterusnya.

.

Saya sudah berusaha mendapatkan versi filem dalam DVD di beberapa kedai tetapi tidak berhasil. Mungkin kerana filem berkenaan terbit pada tahun 1962. Saya mencari di sebuah kedai DVD yang turut menjual koleksi lama di AmCorp Mall tetapi dimaklumkan DVD terakhir sudah dibeli orang.

.

Melalui Facebook juga saya mendapat pengesahan daripada Rakesh Kumar bahawa beliau telah membeli DVD To Kill A Mockingbird di kedai yang saya maksudkan.

.

Rahmat Rmt pula memaklumkan bahawa sebuah kedai DVD di Ampang Park mungkin ada stok filem berkenaan. Maka, saya ke sana pada 15 Ogos 2010. Malangnya, hanya ada sebuah kedai DVD di sana dan kedai itu tidak ada filem yang saya cari.

.

Saya sudah selesai membaca dan mendengar novel To Kill a Mockingbird. Memang sebuah karya yang menarik dan menyentuh perasaan serta pemikiran (intelek). Pasti sahaja lebih menyentuh kelompok masyarakat yang lebih memahami – kerana mengalami – prejudis dan dinafikan hak sebagai manusia.

.

Memandangkan novel tunggal karya Harper Lee meninggalkan kesan di hati ramai, mungkin saya akan mencadangkan kepada Kumpulan Sasterawan Kavyan supaya mengadakan sesi khas pertemuan “peminat” novel berkenaan untuk berkongsi pengalaman membaca, mendengar atau menonton karya berkenaan.
.
Bercakap mengenai Kavyan, kami bercadang mengadakan Taklimat Khas Budaya Kaum India berikutan suatu insiden yang berlaku di Kulaijaya pada 12 Ogos 2010. Sila KLIK DI SINI untuk membaca mengenainya.