17 Jun 2010

Panduan Menulis Intro Cerpen: Bahagian Tiga

“Buktikan Tuhan tak wujud!”
..

Senduram ketawa. Nyaring. Seolah-olah soalan Stenley adalah satu rahmat baginya. Seolah-olah dia sudah menang tanpa perlu bertanding lagi.

..

Demikian intro cerpen “Siru Kambatil” (Siru Kambam, DBP: 1996 & 1997) yang menampilkan watak Senduram yang mempersoalkan kewujudan Tuhan. Anda dapat perhatikan bahawa cerita dimulakan dengan satu dialog yang ringkas dan padat.

..

Dialog itu mampu memukau pembaca melalui narrative hook yang terdapat padanya. Aksi Senduram yang ketawa nyaring turut digambarkan. Dialog berkenaan diucapkan oleh watak Stenley.

..

Jadi, intro cerpen “Siru Kambatil” sudah menggambarkan persoalan cerita, memperkenalkan watak utama, menampakkan suasana yang tegang serta turut meletakkan pembaca di tengah konflik yang sedang dialami oleh watak.

..

Penggunaan dialog pada bahagian intro merupakan suatu pilihan yang bijak. Namun, penulis harus bijak dalam menentukan dialog yang bagaimana harus diletakkan sebagai pembuka cerita. Dialog pada intro perlu tetap ada segala ciri yang saya terangkan sebelum ini.

..

Berikut adalah bahagian awal cerpen berjudul “Emak II” (Orang Dimensi, DBP: 1994):

..

“Ris pergi ya, mak?”

..

“Sudah kau tanya ayah kau?” Emak masih menatap akhbar. Sekali-sekala dia membetulkan cermin matanya.

..

“Sudah.”

..

“Kenapa tidak mengulang kaji pelajaran?”

..

Penulis membiarkan watak Ris dan emaknya menggambarkan sendiri konflik yang wujud. Penggambaran seperti ini memiliki narrative hook yang lebih meyakinkan pembaca berbanding penceritaan secara langsung oleh penulis.

..

Misalnya: Ris meminta kebenaran daripada emaknya untuk keluar. Sambil masih menatap akhbar, emaknya pula bertanya sama ada Ris sudah meminta kebenaran daripada bapanya. Sekali-sekala emak Ris membetulkan cermin matanya.

..

Membosankan bukan? Penggunaan ayat aktif adalah lebih memikat berbanding penggunaan ayat pasif. Kita sendiri lebih suka membaca cerita yang dipenuhi ayat aktif berupa dialog. Jadi, apabila kita menulis, kita wajar menerapkan teknik yang sama dalam karya.

..

Kalau anda berani mencuba, anda boleh juga menulis cerpen yang menggunakan dialog yang pelik sebagai intro. Misalnya:

..

Bla bla bla.

.

Nyet nyut nyet nyut.

.

Huh hah huh hah huh hah.

.

Cekcok cekcok

.

Serang!

.

Serang?

..

Inilah intro yang saya gunakan pada cerpen “Vis-a-vis” dalam kumpulan Siru Kambam. Ia merupakan dialog dua watak yang membicarakan pelbagai isu sosial, budaya, bahasa dan politik.

..

Gaya ini digunakan secara sedar untuk menggambarkan kekalutan jiwa dan fikiran watak terbabit. Pada masa yang sama, teknik ini mampu menarik minat pembaca yang sukakan hal yang pelik-pelik.

..

Walau bagaimanapun, sila ambil perhatian bahawa dialog tidak merupakan sekadar perbualan kosong antara beberapa watak. Sebaliknya, dialog pada intro harus mampu memancing dan mengikat pembaca.

..

(Uthaya Sankar SB, “Panduan Menulis Cerpen: Bahagian Ketiga”, Mingguan Wawasan, 15 April 1998)