Nampaknya, “teknik” yang saya mula gunakan pada Jun 2009 [BACA DI SINI] berjaya!
Maaf, saya tidak berniat menipu sesiapa. Sebaliknya, saya terasa amat gembira menerima ucapan ikhlas pada hari Ahad ketiga bulan Jun (20 Jun 2010).
Pada 19 Jun 2010, pada sebelah pagi, saya dan Devishi Prabha Sankari menghadiri Simposium di Kuala Lumpur. Kemudian, selepas pukul 1:30 tengah hari, kami berdua, bersama-sama Muniswaran dan anak-anaknya pergi ke tempat mandi kanak-kanak di KLCC bagi “meraikan” Fathers and Children’s Day Out; seperti pada 10 Januari 2010.
Selepas itu, lewat petang, saya dan Devishi ke The Summit USJ dan kami menonton Toy Story 3. Sebuah filem yang menarik dan sesuai untuk tontonan semua lapisan umur.
Pada 20 Jun 2010, saya tidak sempat melayari Internet, maka tidak sempat membaca serta membalas ucapan daripada rakan-rakan. Pada pukul 8:20 malam, Ganesan Duraisamy menelefon dari Middlesbrough untuk mengucapkan “Selamat Hari Bapa”.
.
Saya dan Devishi menonton DVD Bambi dan Bambi II yang secara kebetulan mengungkapkan hubungan dan kasih sayang antara bapa dan anak.
.
"Saya nakal seperti Bambi dan Acha pula seperti bapanya," kata Devishi.
Seawal pagi Sabtu, saya mula menghantar ucapan “Selamat Hari Bapa” melalui SMS kepada sejumlah kenalan; dengan kata-kata “Hari istimewa ini disambut pada tarikh berbeza di seluruh dunia. Majoriti menyambutnya pada Ahad ketiga, bulan Jun. Selamat meraikan Hari Bapa!”
Banyak juga SMS yang saya terima. Maka, sambutan Hari Bapa tahun ini memang cukup terasa; khususnya apabila saya dapati ramai mengirim ucapan “Selamat Hari Lahir” melalui Facebook.
Pada malam 21 Jun 2010, saya mengirim mesej balasan kepada rakan-rakan melalui Facebook dengan kata-kata, “Terima kasih atas ucapan ikhlas yang disampaikan. Saya amat menghargainya. Sudilah membaca sedikit catatan saya di http://uthayasb.blogspot.com/2010/06/hari-bapa.html”
Malangnya, selepas berpuluh-puluh mesej saya kirim, saya mendapat mesej amaran automatik bahawa saya mungkin melakukan spamming dan saya perlu berhenti segera; jika tidak, akaun saya akan dihentikan sementara. Maka, saya akan teruskan kiriman itu pada 22 Jun 2010.
Apa pun, terima kasih kepada semua yang mengirim ucapan.
Oh, ya! Saya sudah menukar tarikh berkenaan kepada 19 Jun; selaras hari Ahad ketiga, bulan Jun 2011.