14 Mar 2013

Ponggal Perpaduan dan Janji Politik

Nampaknya penduduk kaum India – khususnya yang kekal beragama Hindu – di Malaysia memang amat bertuah sejak Barisan Nasional (BN) berjaya mendapatkan mandat membentuk Kerajaan Persekutuan berikutan Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada Mac 2008.
 
Khabarnya RM1 juta diperuntukkan khusus bagi penduduk yang berebut-rebut bak pelarian Somalia untuk mendapatkan sekampit kecil beras semasa Perhimpunan Semenyih anjuran Parti Barisan Kemajuan India Malaysia (IPF) selaku penyokong tegar BN pada 12 Januari 2013.
 
Bagi sambutan Thaipusam di Batu Caves pada 2012, peruntukan adalah RM2 juta tetapi RM1 juta sahaja bagi sambutan sama tahun ini. Kekurangan jumlah “pelaburan” tahun ini ditimbal balik dengan peruntukan khas RM3 juta sempena Ponggal Perpaduan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 2 Februari 2013. Peruntukan RM3 juta juga dilaporkan bagi “Pesta Ponggal Sayangi Selangor PM Bersama Rakyat” di Tengku Kelana, Klang pada tarikh sambutan Boghi (13 Januari 2013).
 
Sejak beberapa minggu lalu, saya sendiri menyampah mendengar iklan-iklan serba bodoh di Minnal FM dan THR Raaga yang mendesak kaum India mengheret kaum keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga ke acara gilang-gemilang di Dataran Merdeka untuk memuja … err … memuji Perdana Menteri tercinta, Datuk Seri Najib Razak. Memang tidak adil sama sekali kerana nama “wanita pertama” Datin Seri Rosmah Mansor tidak dipromosikan langsung oleh stesen-stesen radio Tamil berkenaan. Sangat mengecewakan.
 
Khabarnya (ulang: khabarnya) sekitar 500 bas disediakan untuk mengangkut penyokong kaum India – kecil, besar, tua, muda, sedar, nyanyuk – dari seluruh Semenanjung Malaysia ke Dataran Merdeka sebagai “bukti” 99 peratus penduduk kaum India menyokong BN dan membenci Pakatan Rakyat (PR).
 
Demikian saya mencatatkan pada ruangan status Facebook pada pagi 2 Februari 2013. Ternyata saya tersilap kerana jumlah bas sebenar adalah sekitar 1,400 buah. Bagi setiap bas, khabarnya wakil MIC terbabit diberikan “sumbangan” RM1,500 untuk menampung kos.
 
Sejumlah masyarakat India yang sangat bertuah kerana “terpilih” menyertai konvoi dan ekspedisi ini menghubungi saya menerusi Facebook dan SMS untuk memaklumkan bahawa pakej yang ditawarkan termasuk berseronok di Batu Caves dan Suria KLCC sebelum mereka diangkut ke Dataran Merdeka pada sebelah petang. Selain pengangkutan percuma, “pelancong” terbabit juga khabarnya dijanjikan elaun tunai serta kupon makanan percuma.
 
Terus-terang, saya tidak sabar-sabar untuk membaca akhbar Mingguan Malaysia, Tamil Nesan, Thina Kural, Malaysia Nanban, Makkal Osai dan Nam Naadu pada keesokan hari (3 Februari 2013) untuk membaca laporan yang “benar, tepat dan objektif” mengenai acara/upacara berkenaan. Akhbar Utusan Malaysia memang sudah dilabel masyarakat umum sebagai “lidah rasmi” UMNO manakala kelima-lima akhbar Tamil pula sejak awal tahun ini terbukti sedang berusaha amat gigih untuk mengatasi kehebatan Utusan Malaysia dalam mengampu BN dan sekutu – BACA DI SINI.
 
Pada awal pagi 3 Februari 2013, saya membeli kelima-lima akhbar berkenaan untuk membaca apa yang dilaporkan; khususnya di halaman depan. Apa pun, tentu sahaja saya tidak mengharapkan sebarang laporan mengenai Malam Kebudayaan Ponggal anjuran pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Muda kerana pengunjung tidak disediakan bas percuma, peluang melancong ke Suria KLCC dan sebagainya. Malah, empat bas tajaan MIC yang penuh sesak dilihat meninggalkan sebuah kuil di Taman Sri Muda untuk ke Dataran Merdeka bagi mendapatkan restu Najib demi kesejahteraan kaum India di negara tercinta ini.
 
Akhbar Tamil Nesan melaporkan di muka depan mengenai “janji politik” BN bahawa Kolej Tafe milik MIC akan dinaik taraf menjadi kolej universiti. Tajuk besar yang menggoda dan penuh retorik adalah “janji politik” Najib bahawa kesemua 523 sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negara akan menjadi sekolah bantuan penuh kerajaan BN secara berperingkat-peringkat. Kata kunci: “berperingkat-peringkat” dan “akan” yang merupakan kata-kata penuh retorik golongan politikus dalam membuat janji-janji manis sejak dahulu.
 
Sejumlah 15 dewan orang ramai serta 15 tanah perkuburan Hindu dengan sistem pembakaran jenazah moden juga dijanjikan di 15 kawasan berpenduduk padat kaum India. Apa yang tidak pula dinyatakan adalah bahawa semua ini adalah janji manis untuk memancing undi menjelang PRU-13.
 
Orang ramai pasti sahaja boleh bertanya, mengapa selepas lebih 55 tahun diberi mandat memerintah negara, baru sekarang BN terhegeh-hegeh dan berpura-pura prihatin terhadap masyarakat India? Kalaulah tidak kerana kedudukan PR yang semakin kukuh sejak tindakan “bijak” Tun Dr Mahathir Muhammad (mantan PM) melucutkan jawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998, jangan haraplah BN akan terlebih mesra seperti sekarang kepada pengundi kaum India (kecuali kroni dan juak-juak dalam parti politik MIC).
 
Halaman 16 (akhir) Tamil Nesan juga digunakan sepenuhnya untuk liputan khas Ponggal Perpaduan di Dataran Merdeka. Saya paling suka melihat wanita paling cantik di Malaysia duduk penuh sopan dengan memakai pakaian kaum India warna merah jambu. Amat sedih kerana Rosmah seolah-olah dipinggirkan akhbar-akhbar Tamil sedangkan beliau boleh menjadi contoh terbaik kepada wanita kaum India untuk mampu berdikari sebagai “wanita unggul” tanpa sekadar berlindung di sebalik bayang si suami. Mungkin selepas makalah ini tersiar, akhbar-akhbar Tamil akan berebut-rebut membuat liputan khas tentang Rosmah. Mungkin.
 
Berita mengenai isu filem Vishwaroopam juga mendapat tempat di kesemua akhbar Tamil. Maklumlah, masakan masyarakat India-Hindu serta pemilik akhbar Thina Kural, Malaysia Nanban, Nam Naadu, Tamil Nesan dan Makkal Osai mahu berdiam diri lalu tunduk pada desakan “masyarakat India-Muslim” dan “menteri-menteri Melayu” yang khabarnya sedang berusaha menafikan hak kaum India-Hindu menikmati sebuah filem bertaraf antarabangsa dari India.
 
Akhbar Thina Kural pula mungkin (ulang: mungkin) akan menerima amaran pihak tertentu kerana hanya melaporkan suasana di Dataran Merdeka sehingga pukul 6:00 petang pada Sabtu lalu. Perpaduan dinyatakan sebagai kunci pembangunan kaum India di Malaysia.
 
Akhbar berkenaan juga berani “melawan arus” dengan melaporkan mengenai majlis pelancaran asrama anak-anak pekerja ladang yang bukan merupakan projek BN. Selain di muka depan, laporan bergambar juga menghiasi halaman 16 dengan dua tajuk yang pro-PR. Memandangkan “rata-rata kaum India kini sudah kembali kepada MIC dan BN” mungkinkah Thina Kural, Makkal Osai, Tamil Nesan dan Malaysia Nanban akan dipulaukan pembaca yang “membenci PR”?
 
Satu lagi berita yang pasti membuatkan juak-juak UMNO dan Perkasa marah adalah gesaan supaya Mahathir memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat India (Hindu, Muslim, Kristian, Sikh) berikutan isu kewarganegaraan yang beliau timbulkan baru-baru ini. Bukan isu pemberikan kad pengenalan percuma kepada puak pendatang asing tanpa izin (PATI) dari India dan Bangladesh, tetapi isu pemberiaan warganegara oleh Tunku Abdul Rahman kepada kaum India dan Cina pada tahun 1957.
 
Jangan terkejut jika Perkasa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersikap etnosentrik yang memang banyak di negara ini mengusulkan kempen membakar akhbar Thina Kural, Malaysia Nanban, Nam Naadu dan Makkal Osai selepas membaca ulasan ini. Kalau usul datang daripada Ibrahim Ali, adakah sesiapa dalam BN yang berani menegur?
 
Akhbar Malaysia Nanban pada halaman pertama memaparkan “janji politik” Najib di hadapan para penyokong tegar BN dan MIC bahawa SJKT akan menerima bantuan penuh kerajaan pusat. Pada halaman 16, paparan berbentuk “kau ampu aku, aku ampu dia” mendapat tempat. Maksud saya, Najib memuji Datuk Saravanan kerana berjaya “mengangkut” begitu ramai penyokong dan juak-juak kaum India ke Dataran Merdeka.
 
Saravanan pula memuji MIC sebagai “vishwaroopam” (rupa/wajah sebenar) dengan erti kata, realiti sebenar adalah 99 peratus penduduk kaum India di Malaysia memang sesungguhnya menyokong MIC dan pasti tidak akan mengundi calon lain selain mana-mana calon yang dituding oleh Najib. Begitulah lebih kurang interpretasi saya terhadap kata-kata pujaan beliau.
 
Oh, ya! Jangan lupa bahawa Ponggal Perpaduan sebenarnya sempena Hari Wilayah (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) dan sebab itulah Saravanan mendapat kredit yang lebih berbanding Presiden MIC, Datuk G. Palanivel yang lemah-lembut dan hanya bergantung pada skrip sepanjang berucap di hadapan penyokong tegar MIC di Dataran Merdeka. Jangan pula ada orang yang tertipu/terpedaya dan menyangka acara itu sebagai acara peringkat kebangsaan semata-mata kerana lebih 1,400 bas dilaporkan mengangkut penyokong tegar MIC dari seluruh Semenanjung Malaysia.
 
Akhbar Makkal Osai sebelum ini “sedikit kecewa” dengan pendedahan saya mengenai realiti akhbar-akhbar Tamil yang secara terang-terangan pro-BN sejak Januari 2013. Seorang individu dari akhbar berkenaan menyifatkan analisis saya di Projek Dialog (23 Januari 2013) sebagai “tuduhan tidak berasas”.
 
Akhbar itu juga tidak ketinggalan melaporkan Ponggal Perpaduan di muka depan. Kanak-kanak kepada penyokong tegar MIC, UMNO dan BN turut diberi peluang beraksi bersama sepanduk pelik “1Malaysia cintai PM” untuk dirakamkan foto mereka. Tajuk utama adalah “Bersatu – Maju – Berjaya” iaitu memetik laungan Najib. Halaman 10 juga khusus bagi foto-foto acara itu dengan tajuk “saatanai namadhu kaiyile” (“kejayaan di tangan kita”) iaitu lirik lagu rasmi MIC.
 
Memanglah “kejayaan di tangan kita” kerana BN dan MIC yang pada November 2007 menggunakan segala bentuk kekerasan untuk menghalang kaum India berhimpun demi perpaduan dan menuntut hak minoriti tertindas di Dataran Merdeka (dan tempat-tempat lain sekitar Kuala Lumpur) kini sanggup mengupah lebih 1,400 bas khusus untuk mengangkut kaum India (kanak-kanak, remaja, dewasa, tua, muda, tempang, cacat, sempurna) untuk berhimpun di dataran yang sama untuk mendapatkan “restu” daripada Najib yang dipuji, dipuja dan didewa-dewakan secara amat berlebihan sejak belakangan ini oleh parti politik tertentu, NGO tertentu dan media tertentu.
 
Akhbar Nam Naadu pula nampaknya akan menerima amaran daripada “pihak tertentu” kerana bersikap “biadab” tidak mengutamakan laporan bergambar Ponggal Perpaduan di muka depan. Sebaliknya, tajuk utama adalah berkaitan sambutan Hari Wilayah serta perlunya perpaduan antara kaum dan agama. Laporan pesta ponggal pula pada ruangan paling bawah dan di halaman 5; itu pun hanya separuh halaman kerana separuh lagi untuk laporan bergambar majlis jamuan perkahwinan anak lelaki Palanivel.
 
Demikian secara amat ringkas paparan kelima-lima akhbar Tamil semalam – khususnya di halaman depan – sebagai kesinambungan kepada sambutan Ponggal Perpaduan pada Sabtu lalu (2 Februari 2013). Memanglah benar seperti sudah dijangkakan. Rata-rata laporan adalah senada dan amat sesuai dijadikan bahan/modal/propaganda oleh BN bagi menjamin 99 peratus sokongan pengundi kaum India pada PRU-13. Bukankah itu yang dihajati dan diimpikan?
 
Sekarang, saya tidak sabar untuk melihat liputan kelima-lima akhbar Tamil menjelang sambutan Tahun Baru Cina! Mungkinkah akan ada juga foto Najib memakai pakaian tradisional dengan corak yang dikhususkan bagi upacara kematian seperti saya lihat pada bunting di tepi jalan? Sama-sama kita nantikan dengan penuh debaran. – Baca juga makalah bertajuk Ponggal, Beras dan Capati.
 
[Uthaya Sankar SB bukan ahli/penyokong mana-mana parti politik. Namun, beliau suka akan golongan politikus yang banyak memberi inspirasi bagi penulisan cerpen. Makalah ini ditulis pada 3 Februari 2013 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 4 Februari 2013. © Uthaya Sankar SB 2013. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]