Apabila cerpen bertajuk “Nayagi” menang tempat pertama Hadiah Cerpen Maybank-DBP (1992) dan seterusnya termuat dalam antologi Menara 5 (1993), ia mendapat sambutan amat baik daripada peneliti Sastera Kebangsaan.
Misalnya,
arwah Dr. Othman Puteh memuji cerpen itu yang dikatakan
membawa nafas baharu dan segar dalam penulisan cerpen bahasa kebangsaan,
khususnya oleh pengarang Bukan Melayu.
Saya
pada waktu itu masih baharu dalam bidang penulisan dan kurang menyedari
keunikan cerpen “Nayagi” dalam mengubah wajah Sastera Kebangsaan. Tambahan
pula, cerpen bertajuk “Kandasami” oleh Saroja Theavy Balakrishnan yang menang
hadiah pertama pada tahun sebelumnya dan termuat dalam antologi Menara 4 (1991) masih diperkatakan
sebagai karya terbaik dalam kategori ini.
Cerpen
saya yang menang hadiah utama itu sebenarnya bukan ditulis khusus untuk
pertandingan. Sebaliknya, saya pernah kirim ke majalah Dewan Siswa tetapi tidak tersiar. Pada waktu itulah saya mendapat
tahu tentang pertandingan yang diadakan, lalu menyertainya.
Menjelang
1994, saya sudah mula menyedari keunikan dan kelebihan yang berjaya dikesan
pengkaji dan peminat Sastera Kebangsaan dalam karya saya. Rupa-rupanya, sejak 1970-an,
cerpen penulis kaum India kurang berjaya
memaparkan realiti budaya kaum India di Malaysia.
Selain
daripada itu, hanya kehidupan orang Tamil diketengahkan manakala komuniti
minoriti seperti Malayali dan Telugu dipinggirkan. Anehnya, hal sama berlaku
apabila penulis merupakan orang Malayali dan Telugu yang berkarya dalam Bahasa Malaysia atau Tamil.
Hakikat
ini turut saya lihat secara mendalam sewaktu menyiapkan kajian tesis sarjana
sastera mengenai penglibatan kaum India dalam Sastera Kebangsaan sejak zaman
Munsyi Abdullah. Kajian itu diterbitkan sebagai buku dengan judul Kavya Sastra (2021).
Saya
turut meneliti karya Tamil oleh penulis tempatan. Nampaknya, masalah sama sudah
menjadi kebiasaan di sana juga. Sementara beberapa penulis Tamil cuba
mengangkat watak dan budaya kaum Melayu dan Cina dalam karya, realiti kewujudan
orang Malayali dan Telugu pula seolah-olah
sengaja diabaikan.
Maklumat
terperinci mengenai sejarah dan situasi semasa kaum India di Malaysia dihurai
dalam buku Suvarna Bhumi (2022). Sejarah
membuktikan orang British membawa buruh Tamil dan kemudian buruh Telugu ke
Malaya sebagai buruh dan kuli tidak berpendidikan.
Kemudian,
golongan Malayali dan Ceylonese (Sri Lanka) yang berpendidikan dibawa untuk mengisi
jawatan lebih tinggi seperti kerani dan pembantu perubatan. Ternyata wujud
lompong dalam hubungan antara golongan kuli dan pekerja berpendidikan.
Memandangkan
rata-rata penulis karya Tamil adalah orang Tamil dengan latar belakang
kehidupan di estet, maka gambaran negatif tentang orang Eropah, Malayali, dan
Tamil Sri Lanka sudah menjadi semacam kelaziman yang diterima umum.
Novel
Tamil tempatan sejak dahulu amat kurang memberi ruang kepada watak Malayali. Saya
dapati watak Malayali muncul sedikit dalam novel Puuci (1972) karya Karaikilar
dan Tondan (1979) karya A. Kandan.
Antara
penulis Tamil terkenal dan disegani ialah M.
Ramaiah. Dalam cerpen bertajuk “Um”
(1979), watak pegawai kesihatan keturunan Malayali digambarkan sebagai individu
yang mahu mendapatkan habuan seks daripada kuli wanita keturunan Tamil.
Dalam
realiti, selain orang Tamil dan Telugu, ramai juga orang Malayali menjadi buruh
dan kuli di ladang getah pada masa dahulu. Saya menulis rencana khas mengenai
hal itu dalam buku Suvarna Bhumi
untuk membuka mata masyarakat—[baca petikan].
Namun
begitu, citra yang ditonjolkan dalam karya Tamil adalah seolah-olah semua orang
Malayali menjadi kerani, kangani, dan pembantu perubatan, serta sentiasa menindas
kuli iaitu orang Tamil.
Gambaran
stereotaip seperti itu amat nyata dalam karya S. Vadiveloo yang disebut sebagai “penulis terpenting dalam
perkembangan cerpen bahasa Tamil” (Dewan
Sastera, Januari 1985). Beliau guru sekolah Tamil dan menulis sejak 1950-an.
Vadiveloo
pernah menjadi presiden Persatuan Penulis Tamil Malaysia (1974-1980) dan
presiden Persatuan Penulis Tamil Negeri Sembilan (1983-1986). Hasil tulisannya
dipandang tinggi dan dianggap sebagai mewakili realiti hidup kaum India di
Malaysia.
Malangnya,
Vadiveloo ketara menampilkan orang Malayali dan Tamil Sri Lanka sebagai “golongan
elit” yang kononnya sentiasa menindas dan mencabul hak asasi buruh Tamil di
ladang getah. Golongan wanita pula selalu dieksploitasi secara seksual oleh watak
Malayali.
Saya
berpeluang meneliti kumpulan cerpen Valluvarin
Kaadali (1964), Irandda Ulagam (1970)
dan Puthiya Pathai (1981) yang diraikan
sebagai karya hebat dan mencitrakan realiti kaum India di Malaysia.
Sebagai
orang Malayali dan tahu pula sejarah serta fakta berdasarkan kajian ilmiah dan
kerja lapangan, saya berani katakan bahawa karya-karya
Vadiveloo yang dianggap “penulis berjiwa masyarakat” sebenarnya berjaya meracuni
minda pembaca Tamil supaya prejudis terhadap orang Malayali.
Cerpen
seperti “Muundru Talaimurai” (Tiga
Keturunan), “Taayum Magalum” (Emak
dan Anak Gadis) serta “Puthiya Pathai”
(Jalan Baharu) boleh dijadikan contoh untuk membuktikan hujah saya. Watak golongan
elit termasuk Malayali sentiasa diberi imej paling jahat dan negatif.
Misalnya,
watak kerani tidak menghormati kuli Tamil yang tua; kerani sengaja membiarkan
kuli Tamil bergaduh; wanita Tamil yang mengandung dipaksa bekerja keras; kerani
merogol watak wanita Tamil; malah kerani meminta habuan seks daripada seorang
ibu dan anak gadisnya.
Maka,
tidak hairanlah kemunculan cerpen seperti “Nayagi” dan “Doa Tahun Baru” dilihat oleh peneliti
sastera tanah air sebagai membawa nafas baharu dalam mengangkat realiti hidup kaum
India di Malaysia.
Kini,
sejumlah 11 cerpen saya diterjemah kepada bahasa Inggeris dalam buku berjudul The Painted Cat. Semoga usaha ini
turut membantu dunia luar memahami realiti sebenar kaum India di Malaysia.
[Rencana
ini ditulis pada 20 Jun 2023 dan disiarkan di ruangan “Bicara Budaya” akhbar Utusan Malaysia pada 24 Jun 2023. © Uthaya Sankar
SB. Harap maklum bahawa anda membaca mana-mana tulisan Uthaya Sankar SB yang disiarkan di mana-mana atas pilihan sendiri.]