31 Jul 2010

Siapa Pendatang?

Saya amat menyampah apabila sesiapa merujuk warganegara Malaysia daripada kalangan kaum Cina, kaum India dan “Lain-lain” sebagai “Pendatang” dan “Bangsa Asing”.

.

Ternyata kelompok yang menggunakan istilah berbentuk penghinaan itu tidak tahu membezakan antara “keturunan”, “kaum” dan “bangsa” [BACA DI SINI] serta tidak tahu sejarah dan asal-usul masyarakat pelbagai kaum di negara ini.


.

Sepatutnya kelompok seperti itu ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mampu menggugat keamanan negara dengan membawa unsur-unsur ekstremis dan perkauman melampau.


.

Saya biasa mendengar penggunaan istilah “Bangsa Asing” dan “Pendatang”; misalnya apabila kelompok tertentu (termasuk Badut Paul Lathic, tentunya) berkata, “Bangsa Asing dan Pendatang perlu menghormati bla bla bla ...” di mana istilah itu digunakan untuk merujuk pada mana-mana warganegara Malaysia yang bukan “kaum Melayu”.


.


Saya juga amat menyampah apabila kelompok tertentu bercakap mengenai penduduk di Sabah dan Sarawak bagaikan kedua-dua negeri itu bukan sebahagian Malaysia!


.

Sering juga saya mendengar orang berkata, “Bangsa Asing dan Pendatang pun sudah pandai Bahasa Malaysia” di mana “bangsa asing” dan “pendatang” bukan merujuk kepada bangsa asing (bukan warganegara Malaysia) dan pendatang asing tetapi merujuk kepada sesiapa sahaja yang bukan “kaum Melayu” walaupun mereka adalah warganegara Malaysia yang berjiwa Bangsa Malaysia.


.

Saya yakin bahawa istilah “Pendatang” dan “Bangsa Asing” digunakan ke atas warganegara Malaysia yang bukan “kaum Melayu” hanya oleh kelompok yang fanatik, penuh dengan kebencian, bersikap perkauman secara ekstrem serta menganggap dirinya sendiri adalah “pendatang” yang sedikit pun tidak berjiwa Bangsa Malaysia.


.

Maka, untuk menutup hakikat kelemahan diri itu, mulalah individu berkenaan melabel orang lain sebagai “Pendatang” dan “Bangsa Asing”; tidak ubah seperti kelompok yang Takut Bayang-bayang Sendiri dalam soal penggunaan istilah “Bahasa Malaysia”.


.

Pada 26 Julai 2010, saya menyatakan begini pada ruangan status di Facebook: “Terkejut kerana masih ada kelompok tertentu yang merujuk pada warganegara Malaysia kaum India dan kaum Cina sebagai ‘bangsa asing’ dan ‘pendatang’.”


.

Status itu mendapat beberapa reaksi daripada rakan-rakan. Masing-masing memberikan pandangan, komen dan kritikan untuk manfaat bersama. Sekurang-kurangnya, ada ruang dan peluang untuk bersuara dan menyatakan pendirian.


.

Pada tarikh yang sama juga, saya memutuskan untuk mengambil langkah wajar sebagai protes terhadap penghinaan yang dilakukan melalui penggunaan istilah “Bangsa Asing” dan “Pendatang”.


.

[Tindakan tegas demi kebenaran bukan perkara baru bagi saya. Misalnya, berhubung istilah Bahasa Malaysia – BACA DI SINI – dan penggunaan bahasa yang betul – BACA DI SINI – apabila berkomunikasi bersama saya di Facebook.]


.

Keputusan saya adalah seperti berikut; sebagaimana saya paparkan pada ruangan status di Facebook pada 26 Julai 2010:


.

“Sesiapa yang berpendirian bahawa warganegara Malaysia daripada kalangan kaum Cina, kaum India dan ‘lain-lain’ sebagai ‘Pendatang’ dan ‘Bangsa Asing’ tolong segera klik REMOVE FROM FRIENDS kerana saya tidak layak menjadi sahabat anda. Teruskanlah hidup anda yang penuh kepura-puraan.”


.

Dalam masa tidak sampai 24 jam, dua individu berbuat demikian. Terima kasih, Tuhan, kerana menyelamatkan saya daripada terus berkawan dengan puak ekstremis yang menggugat keamanan negara!


.

Tidak akan tercapai kebaikan sekiranya tidak ada sesiapa yang berani menyuarakan kebenaran; seperti kata Mahatma Gandhi. Beliau juga berkata: Jadilah perubahan yang mahu anda saksikan di dunia ini.


.


CATATAN: Sebuah faksyen berjudul "Pulau Pendatang" boleh dibaca DI SINI, faksyen berjudul "Anak-anak Pulau Cinta" boleh dibaca DI SINI dan faksyen berjudul "Wanita Farsa" boleh dibaca DI SINI manakala maklumat mengenai kejadian sebenar di Kulaijaya pada 12 Ogos 2010 boleh dibaca DI SINI. Sesiapa yang "terasa" bolehlah membaca penjelasan DI SINI. Baca juga Pendatang: Dulu & Kini serta Siapa Sebenarnya Paria?