“Pembaca beta” merujuk kepada orang yang dipelawa menjadi pembaca awal bagi manuskrip sebuah karya (cerpen, novel) yang belum disiarkan di mana-mana. Mereka diberi peluang mengemukakan komen dan pandangan peribadi secara ikhlas kepada penulis mengenai karya berkenaan.
Beberapa
rakan bersedia menjadi pembaca beta (beta reader) bagi sebuah cerpen
terbaharu saya yang ditulis sewaktu menyertai Permukiman Penulisan Kavyan di Bentong, Pahang pada 21-22 Jun 2025.
Mereka membaca dan memberikan reaksi sebelum
cerpen tersiar di mana-mana.
* * *
Perenggan
pertama cerpen “Posmen Kampung Durian” terdiri daripada dua ayat sahaja. Namun
begitu, masih terdapat unsur cangkuk naratif (narrative hook) yang menarik minat saya untuk meneruskan pembacaan.
Saya tertanya-tanya mengapa tidak ada satu pun pokok durian di Kampung Durian. Ada
juga perasaan untuk mengetahui apa terjadi kepada pokok-pokok durian atau adakah
kampung itu sengaja dinamakan Kampung Durian tanpa sebab.
Apabila
habis membaca Halaman 1, saya masih keliru dengan kehadiran watak Posmen. Tidak
tahu apa peri pentingnya Posmen dan peristiwa kehilangan pokok-pokok durian.
Adakah posmen itu berpura-pura baik? Demikian saya tertanya-tanya dan membuat
agakan.
Pada
pandangan saya, watak Ketua Kampung sengaja mengada-adakan penyakit dan kemudian
pura-pura pula menyembuhkannya. Tidak mustahil, Ketua Kampung dan Putera Bunian
berkomplot dalam hal ini.
Tentang
watak Posmen pula, saya memikirkan kemungkinan watak Putera Bunian sebenarnya menyamar
menjadi Posmen. Sambil menghantar surat kepada penduduk, dia menyampaikan ilmu
kepada Ketua Kampung.
Apa yang
mungkin berlaku seterusnya? Soalan ini timbul selepas selesai membaca petikan
awal sepanjang sekitar 500 perkataan. Kemungkinan besar, watak Posmen adalah
mata-mata gelap yang datang untuk memerhatikan gelagat Ketua Kampung yang mencurigakan. Dialah yang sebenarnya menghapus
durian di Kampung Durian.
[M. Mahendran
dari Bentong, Pahang berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa
Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan
cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen bahasa
Tamil. Mahendran salah seorang pengasas Kavyan pada tahun 1999 dan beliau dipilih
memegang jawatan pengerusi pada tahun 2023. Karya-karya Mahendran boleh dibaca
di portal Sastera Kavyan dan Eksentrika.]
* * *
Nama “Kampung
Durian” tetapi tiada pohon durian menimbulkan ironi menarik. Cangkuk naratif pada
bahagian awal cerpen membangkitkan misteri, seolah-olah menyimpan kisah silam
atau rahsia yang menanti untuk disingkap.
Perasaan ingin tahu misteri lenyapnya ladang durian, watak
Ketua Kampung yang penuh rahsia, dan kemunculan Posmen yang sempurna perwatakan—semuanya
menambat rasa ingin tahu saya untuk terus membaca.
Watak Ketua Kampung dalam cerpen ini digambarkan sebagai
tokoh berkuasa dan misteri, disegani tetapi juga dicurigai. Kepercayaannya
terhadap alam ghaib menjadikannya pemimpin yang berpengaruh dan ditakuti.
Watak Posmen pula digambarkan sebagai watak luar yang
misteri—menolak durian, tidak bergaul dengan orang kampung, dan hanya berbual dengan
Ketua Kampung. Kedua-dua watak ini menimbulkan tanda tanya dan rasa curiga
dalam diri saya semasa membaca petikan awal cerpen ini.
Selesai
membaca petikan awal sekitar 500 perkataan, saya cuba membayangkan (meneka) apa
yang mungkin berlaku seterusnya. Mungkin watak Posmen rupa-rupanya sudah
lama meninggal dunia dalam kemalangan semasa menghantar surat ke Kampung
Durian—tetapi rohnya masih datang setiap hari kerana perjanjian terputus dengan
Putera Bunian belum dilaksanakan.
[Mohamad Rosdy Dahri @ Adhie Kelana berasal
dari Kuching, Sarawak. Hobi beliau membaca sejak kecil—buku bagi beliau adalah
jendela dunia. Gemar menyelami pelbagai genre, dari sastera klasik hingga fiksyen
moden, puisi, falsafah, dan kisah-kisah perjalanan. Membaca memberi beliau ruang
untuk berfikir, bermimpi, dan memahami pelbagai sisi kehidupan yang tidak
selalu dapat dialami secara langsung. Ia juga menjadi sumber ilham dalam
penulisan santai beliau, sama ada diari peribadi, catatan di media sosial, atau
puisi ringkas.]
* * *
Terdapat cangkuk naratif yang efektif melalui kontradiksi
antara nama “Kampung Durian” dengan ketiadaan pokok durian, disusuli deskripsi
keluasan kampung yang mengejutkan. Gaya penulisan ini berjaya merangsang rasa
ingin tahu saya sebagai pembaca beta.
Minat saya untuk
meneruskan pembacaan ke Halaman 2 masih kukuh kerana misteri penghilangan
ladang durian dan pengenalan watak Posmen serta Ketua Kampung yang penuh
teka-teki.
Pada pemerhatian saya, watak
Ketua Kampung dilukiskan sebagai figura yang karismatik namun menyeramkan,
dengan pengaruh mistik dan autoriti mutlak. Keperibadiannya yang dualistik dan
dihormati sekali gus ditakuti. Secara tidak langsung, penampilan watak Ketua
Kampung menambah dimensi psikologi yang menarik.
Sementara itu, watak Posmen
digambarkan sebagai insan profesional yang berpegang teguh pada etika kerja,
tetapi sikap antisosialnya dan penolakan terhadap durian menimbulkan persoalan dalam
minda saya tentang latar belakang peribadi watak ini yang mungkin lebih
kompleks.
Selepas membaca petikan
awal sekitar 500 perkataan, saya memikirkan kemungkinn apa yang berlaku
seterusnya dalam cerpen ini. Konflik antara watak Posmen dan Ketua Kampung
dijangka akan tercetus, mungkin berkaitan dengan rahsia di sebalik kemusnahan
ladang durian. Interaksi antara mereka berdua boleh pula mendedahkan kebenaran
yang selama ini tersembunyi.
[Mohd Izwan bin
Mohd Ali merupakan anak jati Jasin, Melaka yang menerima pendidikan
awal di Sekolah Kebangsaan Jasin dan seterusnya di Sekolah Menengah Kebangsaan
Iskandar Shah, Jasin. Minat yang mendalam terhadap bidang bahasa dan sastera
mendorong beliau melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda
Pendidikan (Kesusasteraan Melayu) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),
dan berjaya menamatkannya pada tahun 2012. Beliau terus menetap di daerah
kelahiran dan menggalas tanggungjawab sebagai pendidik Bahasa Melayu di alma
mater beliau, SMK Iskandar Shah.]
* * *
Perenggan pertama yang terdiri daripada dua ayat memang agak
unik kerana bercerita mengenai nama kampung dan durian. Memang pendek tetapi
ada sesuatu yang menarik di sebaliknya dan saya ada keinginan untuk terus
membaca. Satu persoalan terlintas dalam minda kerana saya biasa membaca karya Uthaya Sankar SB, kenapa permulaan bagi
cerpen ini seperti permulaan karangan murid sekolah?
Namun begitu, saya tetap berminat untuk memeruskan pembacaan
ke Halaman 2. Saya ingin tahu siapa Ketua Kampung dan siapa Posmen. Saya rasa,
cara penyampaian cerita oleh Uthaya pada kali ini agak berbeza. Ada sesuatu
yang membuatkan saya tertanya-tanya apakah yang sedang berlaku dan akan berlaku
dalam cerita ini.
Pada pengamatan saya, watak Ketua Kampung seorang yang cuba
menggunakan kuasa yang ada padanya untuk mempengaruhi penduduk Kampung Durian.
Ketua Kampung seolah-olah menjadi wakil Putera Bunian di Kampung Durian untuk
menyelesaikan isu atau masalah yang dihadapi para penduduk.
Watak Posmen pula kurang jelas kerana Posmen hanya
diperkatakan pada dua perenggan awal Halaman 2. Manakala Halaman 1 hanya
memberi sedikit pengenalan mengenai Posmen. Saya berpendapat, Posmen ialah
Putera Bunian kerana Posmen selalu meluangkan masa untuk berbual-bual dengan
Ketua Kampung.
Apa yang mungkin berlaku seterusnya dalam cerpen ini? Pada
pandangan saya, watak Ketua Kampung akan mengikut arahan Posmen yang juga
adalah Putera Bunian dan terus mempengaruhi penduduk Kampung Durian. Ketua
Kampung akan menjadi orang yang dicari untuk menyelesaikan segala masalah yang
dihadapi oleh penduduk kampung. Dalam keadaan ini, Ketua Kampung akan mula
mengambil peluang terhadap penduduk kampung dengan memanipulasi mereka.
* * *
Perenggan
awal cerpen ini memang menarik minat kerana saya sebagai seorang pembaca beta ingin
tahu apa yang terjadi kepada kampung sehingga begitu banyak pokok durian
kehilangan dan apakah kesudahannya nanti.
Selepas
membaca Halaman 1, saya meneruskan ke Halaman 2 kerana mahu mengetahui peranan watak
Posmen dan Ketua Kampung. Watak Ketua Kampung adalah watak utama dalam cerpen
ni.
Pada
penilaian saya selepas membaca petikan cerpen sekitar 500 perkataan, watak Ketua
Kampung memperbodohan orang kampung dengan rawatan bomoh dan mengunakan nama
Putera Bunian. Selagi orang kampung tidak berani menentang, Ketua Kampung akan menjadikan
mereka sebagai hamba.
Watak Posmen
pula seolah-olah seorang playboy dari
bandar. Dia digambarkan kacak dan berpakaian kemas. Penampilannya amat berbeza dengan
orang kampung. Dia dikatakan menjadi daya tarikan kepada gadis kampung. Mungkin
watak Posmen itu individu berpengaruh
kerana dikaitkan dengan penjualan tanah kampung.
Apa yang
mungkin berlaku seterusnya dalam cerpen ini? Pada andaian saya, watak Ketua Kampung
akan terus menjadikan orang kampung sebagai hamba melalui cerita-cerita yang
disampaikan oleh Putera Bunian. Mereka (penduduk) mungkin menjual lagi tanah mereka
kepada pihak luar dan mungkin Posmen yang memberi arahan.
[Sasitharan SG
tinggal di Ayer Itam, Pulau Pinang dan suka membaca buku.]
* * *
Versi penuh cerpen “Posmen Kampung Durian” disiarkan di Eksentrika pada 29 Jun 2025 dan boleh
dibaca [di sini].