25 Jun 2025

Uthaya Mahu Terus Terbitkan Buku Walaupun Menanggung Rugi


Uthaya Sankar SB ialah salah seorang penulis kaum India yang terus prolifik dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia di negara ini. Sejak tahun 1992, beliau masih aktif menghasilkan karya seperti cerpen, puisi, novel, esei, dan cerita rakyat.

Mahendran berbual dengan Uthaya tentang pengalaman menulis cerita rakyat India yang diceritakan semula dalam Bahasa Malaysia. Buku Rani di Kuil Bhagavati yang terbit pada Februari 2025 menjadi topik perbincangan.

 

Kebanyakan penulis akan menumpukan penulisan mereka pada satu bidang sahaja. Apa yang mendorong saudara untuk menghasilkan buku kanak-kanak?

Sejak kecil iaitu semasa belajar di sekolah rendah, saya memang banyak membaca cerita rakyat dari pelbagai negara dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris. Daripada ibu saya iaitu mendiang Sarojeni Ramasami, saya mendengar pelbagai cerita rakyat India semasa membesar di Aulong Lama, Taiping, Perak.

Maka, cerita rakyat memang dekat dengan jiwa saya kerana ia antara cerita yang paling awal membantu mengembangkan daya kreativiti dan imaginasi saya. Malah, saya masih terus berminat membaca cerita rakyat dari seluruh pelosok dunia semasa di sekolah menengah dan universiti. Kalau anda perhatikan, buku saya seperti Katha Sarit Sagara (2023) yang disasarkan kepada pembaca dewasa juga mengangkat kisah cerita rakyat India.

Bagi saya, cerita rakyat bukan sekadar medium menyampaikan moral dan pengajaran, sebaliknya juga menyampaikan unsur budaya, identiti, jati diri, dan sejarah dari generasi ke generasi.

Cerita rakyat juga sering berciri nostalgia, iaitu kita akan sentiasa terkenang zaman kanak-kanak. Sekali gus, membantu kita supaya tidak lupa kepada masa lalu dan asal usul. Selain itu, cerita rakyat juga sesuai dijadikan bahan untuk menarik minat dan seterusnya memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak.

 

Saya ketahui buku Rani di Kuil Bhagavati (2025) sebelum ini diterbitkan di bawah tajuk Munis Dengan Harimau (1996). Mengapakah tajuk diubah semasa ulang cetak? Adakah kandungan cerpen-cerpen di dalam terbitan baharu ini juga diubah?

Memang benar bahawa cerita-cerita dalam koleksi baharu ini pernah terbit dengan judul Munis Dengan Harimau oleh Fajar Bakti. Penerbitan judul itu sudah lama dihentikan dan sudah tiada dalam pasaran. Malah, mungkin sudah tiada di perpustakaan sekolah juga. Maka, saya memutuskan untuk menerbitkannya semula.

Walau bagaimanapun, semasa penerbitan pada tahun 1996, semua cerita dipendekkan oleh penerbit kerana mahu mengawal jumlah halaman. Tambahan pula, ia diterbitkan sebagai bahan bacaan tambahan bagi kelas Peralihan.

Dalam versi baharu iaitu Rani di Kuil Bhagavati, saya menggunakan versi asal yang lebih panjang. Penyuntingan juga dilakukan untuk mengemaskan setiap cerita. Malah, tajuk cerita diubah supaya lebih menarik. Dalam edisi baharu juga dimuatkan 32 halaman ilustrasi warna dan saya percaya ia mampu juga menarik minat kanak-kanak yang baru mula belajar membaca.

 

Adakah kisah-kisah di dalam buku ini diinspirasikan daripada cerita rakyat dari India atau  saudara hasilkan sendiri?

Cerita rakyat India dalam buku Nari! Nari! yang terbit pada 1995 dan kemudian diulang cetak dalam edisi baharu beberapa kali, merupakan cerita rakyat yang saya dengar daripada ibu semasa kecil. Begitu juga cerita-cerita dalam Rani di Kuil Bhagavati. Semuanya saya dengar secara lisan dan kekal dalam jiwa saya.

Tapi tentulah mengikut peredaran masa, saya mula lupa keseluruhan cerita secara terperinci. Itulah juga sebabnya saya memutuskan untuk merekodkan atau mendokumentasi cerita-cerita itu dalam bentuk buku (bertulis).

Versi cerita rakyat yang disampaikan oleh ibu saya mungkin mengalami perubahan daripada versi yang beliau dengar daripada ibunya pula. Tetapi apa yang penting adalah cerita-cerita lisan itu perlu didokumentasi supaya masih boleh dibaca, diketahui, dan dihayati generasi akan datang.

Buku Nari! Nari! dijadikan teks program “Temasya Bahasa” anjuran Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) dan Persatuan Kebajikan Idayakkani di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT). Sambutan yang diterima amat menggalakkan kerana murid (kaum India) berpeluang membaca cerita rakyat India dalam bahasa kebangsaan. Bagi golongan guru pula, mereka seronok kerana teringat zaman kanak-kanak di mana mereka pernah mendengar cerita rakyat daripada ibu bapa atau datuk dan nenek.

 

Kebanyakan karya kanak-kanak saudara berkisar dalam kalangan kaum India. Bagaimanakah reaksi daripada pembaca bukan India?

Cerita rakyat India yang saya ceritakan semula dalam Bahasa Malaysia disasarkan kepada pembaca Malaysia. Saya tidak fikir ia untuk pembaca kaum India sahaja. Kalau kita meneliti Dasar Sastera Kebangsaan (1971), jelas ditekankan perlunya kisah masyarakat Bukan Melayu dan Bukan Islam disajikan dalam Bahasa Malaysia. Maka, tidak timbul sebarang masalah.

Setakat ini, buku-buku saya, sama ada cerita rakyat atau cerpen, tidak ada masalah untuk dibaca dan dihayati oleh pembaca pelbagai kaum. Dari semasa ke semasa, memanglah ada suara-suara yang menuduh saya mengangkat unsur Hindu dan India dalam karya, tetapi tindakan saya selaras Dasar Sastera Kebangsaan dan tidak juga bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Malaysia. Malah, sejak lebih 30 tahun saya menulis, pembaca pelbagai kaum atau pembaca Bukan India tiada masalah untuk menikmatinya.

Kalau kita fikirkan, sudah sekian lama (malah masih juga), kita terpaksa membaca karya yang mengangkat budaya Melayu dan Islam, termasuk dalam teks wajib di sekolah. Maka, sepatutnya karya para penulis kaum India yang mengangkat budaya India dialu-alukan kerana mampu memecahkan rasa bosan pembaca.

 

Zaman telah berubah. Adakah masih relevan cerita-cerita rakyat India dihidangkan kepada generasi muda sekarang?

Berdasarkan pengalaman saya mengendalikan program Temasya Bahasa melibatkan kanak-kanak di Sekolah Kebangsaan, Sekolah Tamil, dan Sekolah Cina, saya berani katakan “ya”.

Nilai-nilai yang terkandung dalam cerita rakyat masih sesuai pada masa kini. Malah, kalau kita perhatikan, banyak juga filem Tamil, Telugu, Kannada, Malayalam, dan Hindi dari negara India mengangkat kisah daripada cerita rakyat, epik, hikayat, dan purana.

Di Malaysia sendiri, baru-baru ini, ada filem Dongeng Sang Kancil (2025) yang mengangkat semula kisah Sang Kancil yang sudah wujud berkurun-kurun lamanya. Hollywood juga masih rajin menghasilkan filem berdasarkan cerita rakyat dan dongeng tradisional.

Apa yang unik dengan cerita rakyat ialah kemampuan pencerita menokok tambah mengikut tempat, suasana, dan khalayak. Maka, walaupun ceria rakyat itu kisah zaman dahulu, ia masih boleh disajikan sesuai dengan zaman.

 

Di dalam buku ini terdapat enam cerpen yang agak panjang dihidangkan kepada pembaca muda. Apakah harapan saudara terhadap pembaca buku ini?

Sepertimana saya nyatakan tadi, saya menggunakan versi asal manuskrip dalam buku Rani di Kuil Bhagavati. Setiap cerita memang agak panjang. Kita mungkin sudah terbiasa mengatakan masyarakat sekarang – khususnya generasi yang lahir selepas tahun 2000 – hanya mahukan bahan yang pendek seperti disajikan di reels dan TikTok.

Bagi saya, buku yang saya terbitkan bukan untuk dibaca sekali duduk. Biarlah kanak-kanak membaca satu atau dua halaman. Esok boleh sambung dua halaman lagi. Maka, memberi ruang dan peluang kepada kanak-kanak itu berfikir dan membayangkan (imagine) apa yang dibaca pada hari pertama, serta memikirkan apa yang mungkin berlaku seterusnya dalam cerita itu. Itulah yang saya harapkan.

Pada masa sama, selepas membaca keseluruhan cerita, kanak-kanak boleh membuat ringkasan cerita. Maka, kita tahu bahawa dia benar-benar memahami cerita itu dan tahu plot atau jalan cerita utama. Demikianlah proses yang diharapkan dan juga diterapkan dalam program “Temasya Bahasa”.

 

Apakah peranan ibu bapa dan pihak sekolah  untuk menarik minat generasi muda terlibat dalam pembacaan?

Ada dua cara paling mudah yang sentiasa saya sarankan. Pertama, hadiahkan buku cerita (dalam mana-mana bahasa) kepada anak-anak dan murid. Jangan risau jika buku itu tidak terus dibaca. Wujudkan situasi kanak-kanak dikelilingi buku. Lama-lama, kanak-kanak akan mula membaca.

Kedua, guru dan ibu bapa wajib menjadi suri teladan atau role model. Apabila kanak-kanak melihat ibu bapa dan guru rajin membaca, mereka juga akan meniru tabiat itu.

Dua perkara yang saya nyatakan ini memang sudah terbukti secara kajian saintifik dan psikologi. Saya harap ibu bapa dan guru akan mencubanya untuk tempoh setahun dan lihat sendiri hasilnya.

 

Apakah saudara akan terus menghasilkan buku walaupun keadaan agak suram sekarang? Padahal pulangannya tidak seberapa.

Sejak tahun 2000, saya menerbitkan sendiri buku-buku saya. Memang tidak ada sebarang keuntungan. Dulu saya mencetak 3,000 naskhah tetapi kemudian terpaksa dikurangkan kepada 1,000 naskhah dan sejak beberapa tahun lalu pula hanya 500 naskhah.

Saya bernasib baik kerana masih ada rakan-rakan sudi memberi sumbangan untuk menampung sebahagian kos penerbitan. Senarai nama penyumbang dimasukkan dalam buku. Maka, anda boleh lihat sendiri berapa ramai yang sudi membantu dan siapakah golongan yang sentiasa membantu. Memang sokongan semakin berkurangan. Mungkin kerana masing-masing mengalami masalah kewangan. Atau mungkin kerana minat membeli dan membaca buku semakin berkurangan.

Namun begitu, saya akan terus menulis dan menerbitkan buku. Misalnya, sekarang saya sedang mengusahakan sebuah kumpulan cerpen-cerpen baharu (Sebelas Amanat Swamiji) yang dihasilkan dari tahun 2023 hingga awal tahun ini. Sambutan dan sumbangan memang belum mencukupi tetapi saya tetap optimis dan akan tetap menerbitkannya.

Pada masa sama, stok buku-buku lama masih ada dan saya sentiasa mempromosikannya di media sosial. Minat dan sokongan pembaca memang sukar dijangka. Apa-apa pun, saya harap akan sentiasa ada orang yang berminat menyokong, membeli, dan membaca karya bermutu dalam Bahasa Malaysia.


Nota: Senarai buku-buku Uthaya boleh dirujuk [di sini]. Wawancara oleh M. Mahendran dan disiarkan di portal Eksentrika pada 23 Mei 2025.