Apabila menyentuh tentang cerita rakyat, secara automatik kita membayangkan kisah tentang raja, puteri, istana, dan binatang yang sesuai bagi kanak-kanak. Kita selalu mengaitkan cerita rakyat dengan kisah dongeng yang ada unsur hiburan, moral, dan pengajaran bagi pembaca di bawah umur 12 tahun.
Sejak tahun 1990-an, saya menulis pelbagai cerpen
dan cerita rakyat di majalah seperti Dewan
Pelajar yang disasarkan kepada kanak-kanak. Kumpulan cerita rakyat India
berjudul Nari! Nari! (1995 dan
2015) serta Munis dengan Harimau (1996) juga disajikan khusus bagi kanak-kanak
dan awal remaja.
Memang ada banyak buku cerita bergambar dan
berilustrasi mengangkat cerita rakyat dari seluruh dunia untuk bacaan
kanak-kanak. Ratusan cerita rakyat khasnya cerita binatang melibatkan watak sang
kancil, sang belang, gagak, semut, dan sebagainya di negara kita juga disasarkan
kepada kumpulan pembaca berkenaan. Begitulah juga cerita Pak Kaduk, Lebai
Malang, Pak Pandir, Si Luncai dan Mat Jenin.
Sejak zaman-berzaman, kita menggunakan cerita
rakyat untuk menyampaikan pengajaran dan moral kepada kanak-kanak, sama ada
menerusi cerita lisan atau buku cerita. Watak dewasa, kisah perkahwinan, dan
cabaran hidup alam orang dewasa akan dipermudahkan dalam usaha memastikan
cerita itu sesuai dengan usia pembaca sasaran.
Maka, kita menemui cerita rakyat yang sekadar
menyebut sekilas lalu bahawa putera berkahwin dengan puteri yang dicintai. Atau
kita menceritakan sepasang suami-isteri ada seorang bayi dan bayi itu membesar
menjadi dewasa, tanpa menghuraikan sebarang konflik yang biasanya berlaku dalam
realiti kehidupan.
Kalau ada watak ibu meninggal dunia, si bapa
mungkin berkahwin semula dan berlakulah kisah ibu tiri yang jahat. Tipa induk (archetype) atau
model lazim seperti di atas digunakan sekadar untuk menggerakkan cerita dengan
niat menyampaikan pengajaran dan moral kepada kanak-kanak tanpa menitikberatkan
isu-isu lain secara mendalam. Jalan cerita dipermudahkan kerana mesej lebih
penting daripada plot dan konflik.
Sekiranya difikirkan, cerita rakyat yang kita
kenali sebenarnya merupakan kisah orang dewasa dan disasarkan kepada khalayak
yang sudah matang dari segi usia dan pemikiran. Hanya melalui peredaran zaman,
cerita-cerita itu diubah suai, dipermudahkan, dan diselitkan unsur moral, lalu disasarkan
kepada pendengar dan pembaca kanak-kanak.
Saya menyedari perkara ini sewaktu mengusahakan
projek buku Vetalam dan
Vikramaditya (2020). Cerita berbingkai dalam bahasa
Sanskrit yang cukup popular itu berasal daripada kisah dongeng pada kurun
kesebelas. Kanak-kanak dan remaja kaum India di
negara India dan Malaysia mengenali kisah pengembaraan Vikramaditya menerusi
cerita bersiri dalam majalah Ambulimama
(Tamil) dan Chandamama (Inggeris)
mulai keluaran November 1955.
Jika kita membaca terjemahan Inggeris berjudul Vikram and the Vampire (1870) oleh
Richard Francis Burton dan Twenty Two
Goblins (1917) oleh Arthur W. Ryder, maka kita dapat melihat dan menyedari
betapa kisah-kisah yang diketengahkan itu bukan ditujukan kepada khalayak
kanak-kanak. Sebaliknya, kesemua tema, isu, watak, persoalan, dan mesej disasarkan
kepada orang dewasa.
Koleksi cerita Panchatantra ada
sedikit perbezaan kerana dalam cerita itu sendiri digambarkan bahawa kesemua
kisah disampaikan untuk mendidik tiga putera semasa usia kanak-kanak. Munsyi
Abdullah pernah terjemahkannya sebagai Hikayat
Panca Tanderan (1835). Ada juga versi terjemahan Bahasa Indonesia, Parsi,
Arab, Turki, Hebrew, Jerman, Greek, Latin, Sepanyol, Itali, Laos, Thai, dan
pelbagai bahasa lain. Saya mendapati Panchatantra
memang ditujukan kepada kanak-kanak untuk membantu mereka membesar menjadi
individu yang berilmu dan berwibawa.
Kisah Vikramaditya yang saya sebutkan tadi termuat
dalam bahagian ke-12 koleksi cerita Kathasaritsagara
selenggaraan Somadeva pada kurun ke-11. Saya sedang mengusahakan penceritaan
semula kisah-kisah daripada buku itu dalam Bahasa Malaysia
untuk pembaca Malaysia. Teks asal terdiri daripada 124 bab (taramga) yang dimasukkan dalam 18 bahagian
(lambhaka). Saya hanya memilih cerita
dari 26 bab terawal — [maklumat di sini].
Hasil pembacaan teliti, saya mendapati
sesungguhnya kisah-kisah dalam Kathasaritsagara
disasarkan kepada orang dewasa. Watak, cerita, isu, dan gambaran yang disajikan
memang tidak sesuai bagi kanak-kanak. Tentulah versi penceritaan semula dalam
pelbagai bahasa di India sudah diubah suai supaya boleh dinikmati oleh
kanak-kanak sebagai cerita moral, tetapi cerita asal yang dikumpul oleh
Somadeva adalah khusus bagi orang dewasa.
Sekadar contoh, hampir kesemua cerita menampilkan
watak orang dewasa yang berdepan pula dengan masalah orang dewasa. Banyak kisah
cinta diakhiri dengan perkahwinan tanpa pengetahuan ibu bapa. Dalam budaya
tradisional India, memang ada konsep perkahwinan gandharva di mana perkahwinan dianggap sah asalkan dipersetujui pasangan
terbabit tanpa memerlukan izin orang lain.
Dalam epik Mahabharata,
perkahwinan gandharva disebut sebagai
bentuk perkahwinan paling ideal. Tidak hairanlah pasangan Dushyanta-Shakuntala,
Krishna-Rukmini, serta Arjuna-Subhadra dalam epik berkenaan berkahwin dengan
cara itu.
Satu lagi amalan yang digambarkan dalam Mahabharata dan Kathasaritsagara ialah apabila seorang gadis menyatakan cintanya
kepada seorang lelaki bujang atau sudah berkahwin, maka lelaki itu wajib
menerima gadis berkenaan sebagai isteri. Hal-hal seperti ini tentulah bukan
disasarkan kepada khalayak kanak-kanak, sama ada pada masa dahulu atau masa
kini.
Dalam buku Khanda Puranam (2022) yang merupakan penceritaan semula
versi asal teks Sanskrit, digambarkan secara terperinci kisah kelahiran watak
Murugan yang hanya sesuai bagi pembaca matang dan dewasa. Ada
sekurang-kurangnya dua kisah dalam Kathasaritsagara
di mana si suami diarah membelah perut isteri dan mengeluarkan janin dari rahim.
Babak ganas seperti ini tentu tidak sesuai bagi
bacaan kanak-kanak. Atas sebab itulah juga saya mengingatkan bakal pembaca buku
Katha Sarit Sagara
yang sedang saya usahakan supaya tidak meminta anak-anak membacanya. Dalam
budaya orang Asia, memang ada cerita rakyat yang disasarkan khusus bagi orang
dewasa.