Salah satu usaha
berterusan yang dilakukan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sejak diasaskan pada Ogos 1999 adalah memupuk minat membaca karya Bahasa Malaysia dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.
Antara acara yang
dikendalikan khusus ke arah itu termasuk (tetapi tidak terhad kepada) siri baca
cerpen/novel, bengkel penghayatan sastera, bengkel penulisan cerpen, sesi bicara karya dan kempen galakan membaca
di pelbagai lokasi seluruh negara.
Erna Mahyuni
dalam makalah berjudul “Time We Stopped Rejecting Bahasa Malaysia” (The
Malaysian Insider, 13 Februari 2013) antara lain menegaskan apabila
seseorang menguasai bahasa-bahasa lain atau lebih fasih bercakap bahasa ibunda
berbanding Bahasa Malaysia, keadaan itu tidak menjadikannya “kurang berjiwa
Malaysia” (less Malaysian).
Saya amat bersetuju
dengan pandangan ini. Malah, saya secara automatik berfikir dalam Bahasa Inggeris tetapi memilih untuk menulis menggunakan Bahasa
Malaysia. Sejak kecil, semasa belajar di Sekolah Rendah Kebangsaan Convent
Aulong – sebuah sekolah campur di Aulong, Taiping – saya banyak membaca buku-buku cerita Bahasa Malaysia dan
Inggeris.
Pada masa sekarang, pelbagai
kempen galakan membaca tetap dijalankan pada skala kecil dan besar di seluruh
negara. Rungutan “rasmi” pihak kerajaan dan kementerian terbabit adalah bahawa
tahap/minat membaca rakyat Malaysia masih rendah; berbeza dengan data “sebenar”
yang diperoleh oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) yang menunjukkan
peningkatan yang memuaskan.
Jumlah buku-buku cerita
(cerpen/novel) Bahasa Malaysia dalam pasaran juga semakin meningkat. Namun,
kelemahan ketara yang saya sendiri perhatikan sejak dahulu adalah salah tanggap yang
sering wujud dalam kalangan penulis.
Ramai yang masih beranggapan bahawa apabila seseorang menulis
menggunakan “bahasa Melayu”, maka karya itu mestilah
mengenai “orang Melayu” dan “budaya Melayu”.
Seolah-olah pembaca kaum Melayu sendiri tidak akan, tidak boleh dan tidak
sanggup membaca mana-mana karya yang keluar daripada sempadan itu.
Dalam hal ini, seperti yang saya tegaskan dalam prakata
kumpulan cerpen Kisah dari Siru Kambam (2013), mujurlah
saya menulis menggunakan “Bahasa Malaysia” dan karya-karya saya adalah mengenai
“orang Malaysia” dan “budaya Malaysia”. Saya tidak menulis untuk kaum tertentu
atau penganut agama tertentu. Karya saya adalah untuk Bangsa Malaysia.
Saya sedar bahawa pendirian saya menyebabkan puak tertentu
melabel saya sebagai “cuba menyebarkan agama Hindu” selain membuat
fitnah bahawa saya bersikap “anti-Melayu” semata-mata kerana saya lebih
gemar menggunakan istilah “Bahasa Malaysia” apabila merujuk pada bahasa
kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini.
Kehadiran puak berfikiran sempit dan golongan etnosentrik
yang jahil memang tidak dapat dielakkan. Hal ini juga amat nyata apabila kita
perhatikan senario politik dan parti politik di negara kita. Apatah lagi
apabila politikus tertentu turut memberi sokongan moral – dan habuan kewangan –
kepada puak-puak yang cuba menghancurkan perpaduan yang cuba dilahirkan
menerusi bahasa kebangsaan.
Secara tidak langsung, apabila bahasa kebangsaan di negara
kita dikatakan tidak boleh dipanggil “Bahasa Malaysia” tetapi harus dirujuk
hanya sebagai bahasa milik kaum/kelompok tertentu, pasti sahaja minat dan
kecintaan orang ramai akan mula pudar.
Mujurlah Kabinet pada Mei 2007 serta Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP) sudah memperakukan bahawa istilah “Bahasa Malaysia” betul dan sah digunakan apabila merujuk
kepada bahasa kebangsaan; khususnya dalam konteks mewujudkan perasaan kekitaan
dalam kalangan Bangsa Malaysia.
Maka, usaha juga perlu dipergiatkan untuk menggalakkan
masyarakat pelbagai kaum kembali menggemari buku-buku cerita dalam Bahasa
Malaysia – tanpa sedikit pun menafikan hak meneruskan minat membaca karya dalam
mana-mana bahasa lain.
Bercakap mengenai topik ini, pengarang novel Ngeri (2011) dan Mangsa (2012), Gina Yap Lai
Yoong terkenang akan bagaimana minatnya terhadap pembacaan buku cerita
Bahasa Malaysia bermula pada zaman persekolahan.
“Minat saya dipupuk selepas membaca novel Bukit Kepong dan Konserto Terakhir untuk SPM dulu. Itu pertama kali saya membaca
novel Bahasa Malaysia dan rasanya saya terpegun seketika kerana tidak sangka
sesebuah cerita boleh mengundang perasaan dan pengalaman yang berbeza apabila
ditulis dalam bahasa lain,” kata pereka grafik itu yang lebih banyak membaca
karya Bahasa Inggeris.
Menurut anak jati Kuala Lumpur itu, selepas pengalaman awal (yang agak
lewat!) itu, beliau meneruskan minat membaca karya Bahasa Malaysia kerana “saya
percaya pengalaman yang diperoleh adalah berbeza dalam setiap cerita yang
ditulis dalam bahasa yang berbeza.”
Sementara itu, seorang lagi rakan di Facebook,
Nur ‘Azzyati mengakui bahawa beliau
lebih mengutamakan karya-karya pelbagai bahasa dari luar negara yang diterjemah ke Bahasa Malaysia atau Inggeris.
Beliau yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan dan kini sedang meneruskan pengajian bidang
sarjana sains di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut berpendapat bahawa
“dalam konteks masyarakat pelbagai kaum di negara ini, elok jika buku cerita
dalam Bahasa Tamil dan Mandarin dibuat edisi terjemahan Bahasa Malaysia. Dengan
itu, kaum Cina dapat membaca buku cerita dari kaum India dan sebaliknya. Begitu
juga dengan kaum Melayu. Pendek kata, setiap kaum boleh mengenali dan membaca
karya-karya hebat kaum yang berlainan.”
Pandangan yang dikemukakan adalah amat wajar. Malah, sejak dahulu, saya
mengimpikan supaya majalah Dewan Sastera
(DBP) menyiarkan cerpen terjemahan penulis Tamil/Mandarin tempatan berbanding
karya pengarang dari India/China.
Impian itu menjadi kenyataan apabila sebuah cerpen oleh Dr Re. Karthigesu
disiarkan dalam Dewan Sastera
keluaran Julai 2012. Malangnya, usaha murni seperti itu turut mendapat bantahan
puak etnosentrik tertentu yang kurang menyenangi usaha-usaha memupuk perpaduan
menerusi terjemahan karya pengarang tempatan.
“Adalah sesuatu yang ironis jika kita boleh membaca karya luar negara untuk
berkenal-kenalan dengan budaya asing, sedangkan
kita kurang mengambil tahu budaya pelbagai kaum rakyat Malaysia. Saya
yakin, (hampir) setiap penulis pasti menyerapkan nilai budaya kaum masing-masing
dalam karya mereka,” kata Nur ‘Azzyati lagi tanpa menyedari kekangan dan
halangan yang wujud.
Sesungguhnya, seperti dikatakan oleh beliau, jika terjemahan Bahasa
Malaysia dilakukan, pembaca-pembaca yang berminat tentu akan mendapatkan edisi
terjemahan itu. Dalam hal ini, satu-satunya kumpulan cerpen Tamil yang diterjemahkan
ke Bahasa Malaysia adalah Seruling di Persimpangan (1999).
Sama-sama kita harapkan agar akan ada usaha seperti itu pada masa hadapan.
Atau sekurang-kurangnya tiada usaha sabotaj oleh puak tertentu yang tidak mahu
penulis pelbagai kaum dan pelbagai bahasa memperkaya khazanah sastera kebangsaan.
Dalam pada itu, tentu sahaja kita wajar mengharapkan serta menggalakkan
penulis pelbagai kaum menulis mengenai budaya dan citra masyarakat pelbagai
kaum menerusi karya Bahasa Malaysia. Hasil pengalaman saya sejak 1991, memang
ramai penulis yang ketara mengangkat watak, kisah dan budaya Melayu-Islam dalam
cerpen dan novel.
Perkara sama juga diperhatikan A.
Praveen Raj dari Melaka. Pada penelitian beliau, satu aspek yang paling
penting adalah penglibatan rakyat berbilang kaum dalam kisah yang disajikan.
“Kebanyakan cerita memaparkan watak daripada kaum tertentu. Malah, watak
tersebut digambarkan sebagai superior
character berbanding watak-watak kaum lain. Tidak perlulah dinyatakan watak
kaum mana yang saya maksudkan,” kata graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris
(UPSI) itu.
Perkara yang dinyatakan oleh Praveen adalah realiti yang saya perhatikan
sejak tahun 1970-an. Mungkin pengarang Melayu kurang memahami budaya kaum/agama
lain untuk mampu menulis mengenai watak-watak selain watak Melayu – kecuali
jika watak itu adalah watak jahat atau watak yang tiada pegangan agama (asal) lalu memeluk Islam pada akhir cerita.
Malangnya, pengarang kaum India, Cina dan sebagainya turut ketara
mengangkat kisah mengenai budaya Melayu-Islam semata-mata dalam karya.
Akhirnya, tahap kualiti dan kepelbagaian khazanah sastera kebangsaan tidak ke
mana. Mujurlah penulis pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak mampu mengatasi
kekurangan ini.
“Untuk menangani isu ini, seelok-eloknya penceritaan harus dibuat dengan
memberikan watak-watak daripada pelbagai kaum atau latar belakang peranan yang
setara. Tidak ada kaum yang lebih bagus atau superior daripada kaum lain. Perkara ini harus diketengahkan,
diamalkan dan diterapkan kepada semua,” kata Praveen lagi dalam membincangkan
topik sama.
Pandangan beliau memang ada kebenarannya dalam konteks karya Bahasa
Malaysia yang disasarkan kepada Bangsa Malaysia. Sekiranya kesemua watak tanpa
mengira kaum diberikan peranan yang adil dan saksama, pembaca pelbagai kaum
akan selesa membaca cerpen/novel berkenaan.
“Bukan itu sahaja, cerpen/novel Bahasa Malaysia juga harus mengandungi
elemen berkaitan masyarakat pelbagai kaum dan tidak menjurus kepada komuniti
majoriti semata-mata. Adakah saya akan tertarik untuk membaca cerpen/novel yang
menceritakan kisah hidup watak-watak yang tidak ada kaitan dengan diri saya,
atau cerita yang boleh saya kaitkan serba sedikit dengan diri saya?” Praveen
bertanya soalan retorik yang tidak memerlukan jawapan.
Pandangan yang dikemukakan ini sedikit sebanyak mampu membuatkan kita
memikirkan persoalan sama secara mendalam – sebagai penulis, penerbit,
pustakawan, guru dan ibu bapa. Tambahan pula, cara paling mudah memupuk rasa
cinta akan Bahasa Malaysia dalam kalangan generasi muda pelbagai kaum adalah
dengan menggalakkan mereka membaca karya/cerita Bahasa Malaysia.
Bak kata sebuah
perbahasa Tamil, “kalau ada nasi di dalam periuk, barulah boleh dicedok dengan
senduk”. Maknanya, jika novel dan cerpen Bahasa Malaysia tidak menarik,
janganlah mengharapkan orang ramai membacanya dengan penuh minat; sama ada
sebagai teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) atau sebagai bahan bacaan santai.
[Kavyan
menerima Anugerah Budayawan Selangor (2005) serta terlibat menjayakan Program
Galakan Membaca bersama-sama Perpustakaan Negara Malaysia (2009). Makalah
ini ditulis pada 15 Februari 2013 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 18 Februari
2013. © Uthaya Sankar SB
2013. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]