[Sambil minum di restoran, perunding media ini cuba mengenali
wakil rakyat kawasannya.]
Sehingga November 1991, saya tinggal di Aulong Lama, Taiping, Perak. Kemudian, sehingga Mac
2000, saya tinggal di Batu 3, Jalan Kapar, Klang, Selangor sebelum berpindah ke
Taman Sri Muda, Shah Alam.
Walaupun sudah agak lama di Taman Sri Muda
– serta terlibat secara langsung dalam proses Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 dan 2008 –
ternyata saya kurang mengetahui pelbagai realiti berhubung Dewan Undangan
Negeri (DUN) Sri Muda.
Pada lazimnya, saya sepertimana ramai
penduduk di taman ini dan kawasan sekitar hanya menggunakan “Sri Muda” apabila
merujuk kepada “Taman Sri Muda”. Rupa-rupanya tanggapan itu salah; khususnya
dari segi pentadbiran dan kerajaan tempatan.
Perkara ini saya sedari apabila berpeluang
bertemu dan berbual-bual secara amat santai bersama ADUN Sri Muda, Shuhaimi Shafiei di Kota Kemuning pada
15 Februari 2013. Perlu saya akui bahawa baru kini saya sedar DUN Sri Muda
terbahagi kepada dua daerah dan tiga kawasan pentadbiran pihak berkuasa
tempatan (PBT).
Daerah berkenaan adalah Petaling dan Klang.
Sebahagian daripada DUN Sri Muda berada dalam pentadbiran Majlis Bandaraya Shah
Alam (MBSA), sebahagian dalam kawasan Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan
sebahagian lagi dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya
(MPSJ). Demikian ADUN berusia 45 tahun itu menceritakan kepada saya.
“Bilangan pengundi terkini sekitar 48 ribu
orang. Dari segi demografi kaum, 25 peratus pengundi kaum Cina, India 22 peratus dan Melayu 52 peratus. Sekitar satu per
tiga daripada jumlah penduduk (bukan hanya pengundi berdaftar) adalah golongan
elit yang berada antara lain di sekitar kawasan Seksyen 27, 28, 31, 32, 33,
Bukit Rimau, Kota Kemuning, Subang Alam dan Putra Heights.
“Satu per tiga adalah golongan
berpendapatan sederhana. Baki satu per tiga penduduk adalah mereka yang duduk
di kawasan rural dan pangsapuri
seperti di Bandar Putra dan Taman Sri Muda,” katanya sambil kami minum di
sebuah restoran pada petang itu.
Memandangkan saya tinggal di Taman Sri Muda
sejak tahun 2000, tentulah saya berpeluang melihat sendiri perubahan/perbezaan
di bawah ADUN dari dua latar politik (parti) yang berbeza. Pendirian saya tidak menyokong mana-mana parti politik
memudahkan usaha melihat pencapaian Shuhaimi secara objektif.
Semasa berbual-bual lebih sejam dengannya,
saya dapati bahawa politikus yang berasal dari Bagan
Serai, Perak ini boleh duduk bersembang dengan sesiapa sahaja tanpa terlalu
formal atau mengikut protokol. Hal yang sama juga saya perhatikan apabila
bertemu ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad di Taman Subang Indah pada 12 Disember 2012.
Memandangkan sejak awal tahun ini ada
sambutan pelbagai perayaan oleh Barisan Nasional (BN) dan Pakatan
Rakyat (PR) – khususnya di negeri Selangor yang menjadi “rebutan” menjelang
PRU-13 – saya cuba mencungkil pandangan dan pendirian Shuhaimi.
Katanya, perayaan setiap agama dan kaum di
DUN Sri Muda diraikan dengan kerjasama Ahli Majlis, pejabat ketua kampung, Ahli
Parlimen Kota Raja dan penduduk setempat sejak dahulu.
Acara besar-besaran dan kecil-kecilan
“Untuk Aidil Fitri, sambutan sudah diadakan
sebanyak lima kali sejak PRU-12. Oleh kerana kawasan saya hampir
dua per tiga berada dalam kawasan MBSA, maka sambutan diadakan di Dewan MBSA
sebanyak tiga kali iaitu pada 2008, 2009 dan 2011. Sekali di kawasan
pentadbiran MPK (2010) dan sekali di di kawasan MPSJ (2012),” katanya tanpa
perlu merujuk apa-apa nota.
Malah, sepanjang kami berbual-bual secara
santai, ADUN ini mampu mengemukakan angka, statistik, maklumat dan fakta secara
spontan tanpa merujuk kepada sesiapa. Beliau juga hadir secara bersendirian
walaupun saya membayangkan bahawa beberapa “rakan” beliau akan hadir dan duduk
bersama-sama kami semasa perbualan berlangsung.
Untuk Deepavali, Shuhaimi mengakui bahawa ada
sambutan secara besar-besaran dan ada juga yang dibuat secara kecil-kecilan
tetapi banyak. Hal ini memang pernah saya dengar daripada beberapa penduduk di
Taman Sri Muda, walaupun saya tidak berminat menghadiri majlis-majlis seperti
ini yang dianjurkan oleh mana-mana parti politik.
“Ada pandangan rakan-rakan dan penduduk
sendiri yang meminta supaya diadakan secara kecil-kecilan di beberapa tempat
kerana masyarakat India-Hindu tinggal secara berselerak
di beberapa tempat. Jadi, pada tahun 2012, saya adakan sambutan Deepavali di
empat kawasan iaitu di Bukit Kemuning, Taman Sri Muda, Bandar Putra dan Seksyen
28. Sambutan di Batu 8, Bukit Kemuning dibuat secara besar-besaran; selebihnya
secara kecil-kecilan,” katanya.
Untuk Tahun Baru Cina, sambutan diadakan
setahun sekali. Bagi tahun ini, sambutan akan diadakan pada 21 Februari 2013
(Khamis) di kawasan letak kereta, Pasar Raya Giant, Kemuning Utama. Para peminat
tegar Psy mungkin sangat kecewa kerana penyanyi popular Korea itu tidak
termasuk dalam senarai tetamu kehormat. Sebaliknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim
akan hadir. Untuk rekod, saya tidak bercadang untuk menghadiri majlis
berkenaan.
“Sambutan ini adalah kali keenam sejak
PRU-12. Sebelum ini, sambutan diadakan dua kali berhampiran tasik di Kota
Kemuning, sekali di Batu 8 Bukit Kemuning, sekali di Taman Sri Muda dan sekali
di Putra Heights. Memandangkan acara khas bagi Tahun Baru Cina hanya diadakan
sekali setahun, maka disambut secara besar-besaran dengan peruntukan yang
tinggi bagi meraikan masyarakat kaum Cina,” Shuhaimi menghuraikan sambil saya
mencatat nota ringkas sebagai panduan.
Berdasarkan maklumat yang saya terima,
sambutan khas sempena perayaan Vaisakhi oleh penganut agama Sikh pernah
diadakan sekali di Taman Sri Muda. Sambutan Tahun Baru Cina juga pernah
diadakan di Putra Heights dengan kerjasama Persatuan Penganut Agama Buddha.
Untuk perayaan-perayaan seperti ponggal dan Maulidur Rasul, berdasarkan
sepanduk-sepanduk yang dipasang di beberapa tempat, nampaknya program
dijalankan secara kecil-kecilan tetapi di banyak tempat. Bagi tahun ini,
misalnya, acara sempena Maulidur Rasul diadakan di empat tempat dan ponggal
pula di tiga tempat.
“Memang benar,” politikus yang menyertai
Keadilan (nama asal bagi PKR) pada 1999 itu mengakui. “Maknanya, kita tidak
meminggirkan mana-mana kaum dan agama dalam meraikan sambutan dan perayaan
masing-masing. Saya sebagai ADUN cuba membantu mengikut kemampuan yang ada bagi
memastikan semua pihak merasakan dan sedar mereka terlibat sama.”
Bagi menguji sama ada beliau memang
benar-benar “turun padang” atau bergantung kepada para pembantu untuk
menyelesaikan masalah penduduk, saya bertanya apakah keunikan penduduk DUN Sri
Muda yang menarik perhatiannya.
Segera Shuhaimi menceritakan mengenai
pengalaman berkunjung ke rumah penduduk kaum India di Batu 8, Bukit Kemuning
sempena Deepavali pada tahun lalu.
Penduduk jadi tumpuan, bukan diri sendiri
“Salah seorang penduduk yang dikunjungi
menceritakan bahawa beliau sudah lama menyokong parti politik lain tetapi tidak
pernah ada Wakil Rakyat (ADUN) sebelum ini pergi
ke rumahnya untuk sama-sama meraikan hari yang sangat bermakna itu.
“Saya terharu kerana kata-kata itu
sebenarnya mewakili suara sekelompok kecil masyarakat yang menyedari perubahan
yang dibawakan oleh Kerajaan Negeri Selangor di bawah PR berikutan PRU-12,”
katanya dengan suara ikhlas.
Pengalaman kedua yang muncul dalam fikiran
Shuhaimi – dan diceritakan dengan gembira kepada saya – adalah bilamana beliau
masuk ke kawasan penduduk keturunan Jawa di sekitar Jalan Kebun.
“Hampir 95 peratus penduduk di situ orang
Jawa tetapi saya tidak boleh berbahasa Jawa. Tetapi mereka bercakap dengan saya
menggunakan Bahasa Jawa seolah-olah saya faham. Nasib baik saya ada rakan-rakan
yang mampu menterjemah dan menceritakan balik suara hati penduduk terbabit,”
katanya sambil tersenyum.
Tentu sahaja sebelum bertemu Shuhaimi, saya
sudah “melawat kawasan” dan mengumpulkan sedikit maklumat daripada penduduk
setempat. Daripada maklumat yang saya terima daripada penduduk di sekitar Jalan
Kebun, mereka meluahkan isi hati bahawa mereka kini merasakan “berada sangat
dekat dengan kerajaan negeri”.
Reaksi itu adalah kerana mereka melihat
sendiri betapa Wakil Rakyat PR sangat santai, merendah diri, tidak ada protokal
dan sebagainya apabila bertemu penduduk. Misalnya, mereka duduk bersila
bersama-sama tuan rumah tanpa mengharapkan layanan istimewa. Bagi masyarakat,
amalan “kecil” seperti itu adalah sesuatu yang luar biasa berbanding keadaan
sebelum 2008.
Shuhaimi mengakui bahawa dua contoh itu
antara peristiwa yang membuatkan beliau juga sedar bahawa ada anggota
masyarakat yang selama sekitar 50 tahun sejak negara merdeka (1957) telah
merasakan mereka (penduduk) begitu jauh atau dijauhkan daripada kerajaan
(pemerintah).
Bercakap lebih lanjut mengenai keunikan di
DUN Sri Muda, bapa kepada empat anak itu berkata, keunikan paling ketara adalah
dari segi masyarakat pelbagai kaum dan agama.
“Orang Jawa yang banyak di Jalan Kebun,
Kampung Bukit Naga, Kampung Johan Setia dan Kampung Bukit Lancung ada yang
memang Jawa tulen. Bahasa, masakan dan cara mereka makan secara berkumpulan,
misalnya, amat unik.
“Begitu juga dengan setiap kaum dan etnik
lain di DUN Sri Muda. Sejak 2008, kerajaan negeri berjaya merapatkan apa-apa
perbezaan yang wujud sehingga para penduduk sudah menjadi akrab. Pelbagai
kelompok ini boleh berbincang dan bermesyuarat dalam satu kumpulan demi
mencapai kata sepakat. Hal ini mungkin berbeza di bawah pentadbiran kerajaan
terdahulu di mana setiap parti mewakili satu kaum,” katanya tanpa menyebut nama
parti-parti politik yang dimaksudkan.
Agak menarik untuk diperhatikan bahawa di
bawah pentadbiran PR sejak 2008, tok lebai, tok haji, ketua kampung, pengerusi
kuil, pengerusi surau/masjid, pengerusi tokong dan sebagainya boleh duduk
bersama untuk bermesyuarat.
“Inilah antara keunikan yang saya rasa
mungkin ada juga di tempat lain tetapi memang luar biasa di DUN Sri Muda. Saya
katakan begitu kerana bukan semua daripada mereka mempunyai fahaman politik
yang sama atau sealiran. Namun, mereka semua kini boleh duduk semeja
bersama-sama saya untuk berbincang, berdialog dan bermesyuarat demi kebaikan
bersama,” katanya.
Dengan rekod
bersih dan cemerlang seperti ini, tidak mustahil bahawa penduduk/pengundi
di DUN Sri Muda akan memberikan mandat kepada Shuhaimi pada pilihan raya akan datang (2013) untuk
terus berkhidmat kepada mereka dan mewakili mereka. [BACA JUGA - Jom Ubah Taman Sri Muda]
[Uthaya
Sankar SB adalah penulis bebas, penceramah dan perunding media. Makalah ini
ditulis pada 16 Februari 2013 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 18 Februari
2013. © Uthaya Sankar SB
2013. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]
NOTA: Shuhaimi berjaya mengekalkan kerusi ADUN Sri Muda dalam PRU-13 pada 5 Mei 2013. Dalam PRU-14 pada 9 Mei 2018, Shuhaimi bertanding dan menang kerusi DUN Sungai Kandis. Beliau meninggal dunia pada 2 Julai 2018.
NOTA: Shuhaimi berjaya mengekalkan kerusi ADUN Sri Muda dalam PRU-13 pada 5 Mei 2013. Dalam PRU-14 pada 9 Mei 2018, Shuhaimi bertanding dan menang kerusi DUN Sungai Kandis. Beliau meninggal dunia pada 2 Julai 2018.