Pada 16 November 2010, saya dihubungi seorang rakan editor yang mengemukakan beberapa soalan berkaitan pasca Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Saya segera membalas e-mel itu dengan memberikan pandangan ikhlas saya tanpa pura-pura.
Pada masa sama, saya dapat membayangkan bahawa hanya beberapa baris pandangan saya akan disiarkan dalam majalah berkaitan; itu pun jika disiarkan. Maka, berikut pandangan rasmi saya, bagi tujuan dokumentasi.
Pada pandangan tuan, adakah dasar pendidikan yang menggunakan bahasa kebangsaan gagal untuk mencapai matlamatnya?
Tidak gagal. Sebaliknya, berjaya. Saya secara peribadi tidak faham siapa “bijak pandai” yang menuduh bahasa kebangsaan gagal mencapai dasar yang ditetapkan.
Pada pandangan tuan, di manakah kekuatan dasar pendidikan yang menggunakan bahasa kebangsaan?
Kekuatan terletak pada semua dan segala aspek; malah selaras peruntukan Perlembagaan di mana bahasa kebangsaan wajib diletakkan pada kedudukan sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar. Sekiranya bahasa kebangsaan tidak diberi keutamaan dalam dasar pendidikan, maka akan menjejaskan keseluruhan hidup rakyat kerana kesemua rakyat pergi ke sekolah sebelum memasuki masyarakat. Jika pada tahap sekolah (dasar pendidikan) lagi bahasa kebangsaan diperlekeh, maka kedudukan bahasa kebangsaan menjadi lebih lemah.
Pada pandangan tuan, mengapakah terdapat segelintir masyarakat yang tidak yakin akan dasar pendidikan yang menggunakan bahasa kebangsaan?
Mereka ada masalah peribadi. Itu sahaja. Masalah peribadi yang dimaksudkan termasuk (tetapi tidak terhad kepada) tidak ada penguasaan bahasa kebangsaan, tidak yakin pada kemampuan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu, ada agenda peribadi untuk meraih keuntungan material, penderhaka negara dan pembelot pada kedaulatan negara.
Pada pandangan tuan, apakah caranya untuk menepis ketidakyakinan segelintir masyarakat tentang dasar pendidikan yang menggunakan bahasa kebangsaan?
Membuktikan bahawa bahasa kebangsaan adalah sesungguhnya “Bahasa Malaysia” [sila kekalkan istilah ini] dan milik setiap rakyat Malaysia. Dewasa ini, daripada pemimpin tertinggi negara kepada peminta sedekah paling hina ketara melabel bahasa kebangsaan sebagai “bahasa Melayu, milik orang Melayu, untuk orang Melayu”. Ini hakikat sebenar yang sentiasa cuba dinafikan. Selagi bahasa kebangsaan tetap dilabel “bahasa Melayu, milik orang Melayu, untuk orang Melayu” maka selagi itulah tiada harapan untuk mengangkat martabat bahasa itu serta “menepis ketidakyakinan segelintir masyarakat tentang dasar pendidikan yang menggunakan bahasa kebangsaan” (petikan daripada soalan) kerana bahasa itu hanya menjadi “bahasa Melayu, milik orang Melayu, untuk orang Melayu”.
Pada pandangan tuan, apakah sebabnya PPSMI diperkenalkan?
Pada pendapat peribadi saya (tanpa merujuk pada apa yang dilaporkan media pada waktu cadangan PPSMI diperkenalkan pada Mei 2002 – BACA DI SINI), cadangan itu kemukakan oleh PM waktu itu yang sudah tidak yakin pada kemampuan dan kedudukan bahasa kebangsaan; khususnya memandangkan bahasa kebangsaan hanya menjadi “bahasa Melayu, milik orang Melayu, untuk orang Melayu”. Ironinya adalah bahawa tokoh sama juga menjadi Menteri Pelajaran pada sekitar 1970-an dan bersemangat mengangkat Bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu. (Nota: istilah pada 1970-an adalah “Bahasa Malaysia” – BACA DI SINI)
Pada pandangan tuan, adakah PPSMI berjaya mencapai matlamatnya?
Tidak. Diumumkan dahulu oleh PM, tiada seorang pun menteri membantah. Kemudian baru semua orang terkial-kial memikirkan bagaimana mahu dilaksanakan. Malah, kebanyakan guru masih mengajar subjek Sains dan Matematik menggunakan bahasa kebangsaan (atau Mandarin di SJKC dan Tamil di SJKT). Belum lagi disebut hakikat guru-guru berkenaan pasti gagal kalau diberi ujian Bahasa Inggeris tahap UPSR! Hal ini adalah nyata dan saya perhatikan sendiri.
Pada pandangan tuan, apakah pengisian yang perlu ada pada dasar pasca-PPSMI?
Usaha sepatutnya SUDAH dimulakan untuk memantapkan bahasa kebangsaan pada semua peringkat. Dua, pastikan bahasa kebangsaan tidak terus menjadi “bahasa Melayu, milik orang Melayu, untuk orang Melayu”. Tiga, pastikan guru tahu bahasa kebangsaan. Empat, jangan jadikan subjek bahasa kebangsaan di sekolah terlalu rigid dan berorientasikan peperiksaan kerana bahasa sepatutnya dihayati, bukan dihafal aspek linguistik untuk menjawab soalan peperiksaan! Lima, daripada pemimpin tertinggi kepada peminta sedekah paling hina, akui bahawa “Bahasa Malaysia” adalah milik setiap rakyat Malaysia. Jangan ada prejudis terhadap penduduk “bukan Melayu” (termasuk guru, murid, pelajar, kakitangan jabatan pelajaran, penulis, pemeriksa kertas peperiksaan, orang awam) yang memiliki penguasaan Bahasa Malaysia mengatasi penduduk Melayu.
Pada pandangan tuan, apakah yang perlu dilakukan supaya dasar ala PPSMI tidak diadakan semula?
Jangan berdiam diri jika ada lagi “penderhaka” yang cuba mencabul kedudukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu; seperti yang pernah saya nyatakan dalam sajak “Pe(r)juang(an) Bahasa II” (Mingguan Malaysia, 24 Jun 2007). Berikut rangkap ketiga sajak berkenaan yang sebenarnya menjawab soalan di atas:
nescaya ada lagi
Pada pandangan tuan, mungkinkah dasar ala PPSMI akan diadakan semula?
Ya, mungkin akan diperkenalkan semula sekiranya:
1) rakyat Malaysia hilang keyakinan terhadap kemampuan bahasa kebangsaan. [CONTOH]
2) rakyat hanya berdiam diri sekali lagi apabila apa pemimpin tertinggi mengemukakan cadangan seumpama itu. [CONTOH]
3) rakyat Malaysia “membunuh” bahasa kebangsaan melalui penggunaan bahasa rojak, bahasa SMS dan seumpamanya. [CONTOH]
4) bahasa kebangsaan terus hanya mampu kekal sebagai “bahasa Melayu, milik orang Melayu, untuk orang Melayu”. [CONTOH]
5) masih wujud prejudis terhadap penggunaan istilah “Bahasa Malaysia” yang diperkenalkan pada 1970 menerusi Dasar Pelajaran Kebangsaan. [CONTOH]