Kehadiran Ada Padang Ada Belalang (2024) sangat istimewa kerana buku ini memberi peluang kepada orang ramai, khasnya generasi muda, menikmati lima buah puisi, lapan buah cerpen, dan lima buah rencana yang dihasilkan oleh salah seorang pengarang kaum Cina yang masih belum diberi pengiktirafan sewajarnya dalam peta Sastera Kebangsaan di negara kita.
Kedudukan Lai Choy sebagai seorang pengarang amat
unik kerana beliau mampu menghasilkan karya pelbagai bidang dalam Bahasa
Malaysia dan Cina (Mandarin). Malah, beliau juga tokoh perkamusan yang penuh
dedikasi dalam usaha menyumbang kepada penguasaan dan kecintaan generasi muda terhadap
bahasa kebangsaan.
Sudah hampir sedekad saya mengenali Lai Choy yang nama
sebenarnya Lai Yoke Choy dan menggunakan nama pena Bi Cheng. Beliau begitu
fasih berkomunikasi menggunakan Bahasa Malaysia sehingga sukar untuk
mempercayai beliau hanya mula mempelajari bahasa kebangsaan pada usia 18 tahun.
Rasa kagum ini turut saya nyatakan dalam buku Dewi
Pertiwi (2024).
Karya awal Lai Choy telah saya baca menerusi kumpulan cerpen
Migrasi ke Selatan (1997). Cerpen yang
dipilih menjadi judul buku itu mula-mula tersiar di majalah Dewan Sastera (September 1989) sebelum menerima
pengiktirafan tinggi menerusi Hadiah Sastera Malaysia (1988/89).
Untuk mendapat tempat di majalah Dewan Sastera pada tahun 1970-an, 1980-an, dan 1990-an bukan
perkara mudah. Ia merupakan era permulaan di mana Sastera Melayu yang rata-rata
dikuasai penulis kaum Melayu mula bertukar menjadi Sastera Kebangsaan dengan turut menerima sumbangan
besar dan bermakna daripada sekumpulan pengarang Bukan Melayu.
Lai Choy boleh dianggap antara penulis awal yang amat
berjaya membuktikan penguasaan Bahasa Malaysia dan daya kreativiti yang mengagumkan.
Hakikat ini dapat kita saksikan sendiri menerusi lima buah puisi dalam kumpulan
ini yang pernah tersiar di majalah Dewan
Sastera antara tahun 1991 dan 2023.
Salah satu daripada matlamat dan kriteria Sastera Kebangsaan
ialah gambaran budaya dan realiti hidup masyarakat Bukan Melayu dalam karya
yang ditulis menggunakan Bahasa Malaysia. Tugas dan tanggungjawab ini berjaya
dipikul serta dilaksanakan dengan amat sempurna dan berkesan oleh Lai Choy
sejak tahun 1971, iaitu sebaik sahaja konsep Sastera Kebangsaan diperkenalkan.
Apabila saya meneliti tulisan Lai Choy dalam Migrasi ke Selatan (1997), Kepingan Mozek (2016), dan dalam buku
terbaharu ini, saya melihat tema yang universal dan malar (evergreen). Budaya dan kehidupan kaum Cina yang diketengahkan sama
ada menerusi cerpen atau rencana masih merujuk kepada komuniti Cina di
Malaysia.
Namun begitu, memandangkan aspek budaya ada kaitan dengan
negara asal nenek moyang, maka ada rencana yang menyentuh hal-hal berkaitan
negara China. Tindakan ini bukan bertujuan menggambarkan “kesetiaan” kaum Cina
kepada negara China; sebaliknya membuktikan realiti identiti dan jati diri
komuniti yang setia kepada tanah air tanpa melupakan akar dan leluhur.
Kelima-lima puisi yang disajikan dalam buku ini memiliki
tema universal dengan erti kata tidak mewakili mana-mana kaum atau latar masa.
Tema dan kisah yang disajikan dengan gaya bahasa yang amat mudah tetapi puitis
boleh sahaja mewakili “suara hati” mana-mana individu tanpa mengira latar
budaya, kaum, geografi, dan zaman.
Apabila masuk kepada penulisan cerpen, Lai Choy memanfaatkan
sepenuhnya ruang dan peluang yang disediakan dalam kerangka “Sastera Kebangsaan”
untuk menampilkan budaya, adat, masalah, dan pemikiran kaum Cina dalam bentuk
cereka. Pada masa sama, kesemua cerpen berlatarkan Malaysia dan mendokumentasi
realiti hidup masyarakat pelbagai kaum yang saling berinteraksi.
Cerpen “Berpisah” yang pernah tersiar di majalah Dewan Sastera (Mac 1971) mengetengahkan
watak Cikgu Lim yang menjadi seorang guru di sebuah sekolah rakyat di kawasan
kampung serta perkenalannya dengan Su Moi. Dinyatakan bahawa “di antara mereka
terentang sederet tembok yang ghaib” kerana “kedudukan Lim (guru) tentulah
lebih tinggi daripada gadis kampung ini (Su Moi)”.
Kisah dan isu yang diketengahkan amat universal. Dalam
konteks negara kita, pembaca kaum Melayu dan India juga boleh menghayati konflik
dan isu itu serta mengaitkannya dengan realiti hidup komuniti masing-masing. Perbezaan
suku antara Cikgu Lim dan Su Moi juga menjadi penghalang untuk mereka bersatu.
Maka, sebagai sebuah karya Sastera Kebangsaan, cerpen ini merakam isu-isu
komuniti Cina untuk dibaca dan difahami masyarakat pelbagai kaum.
Watak Ah Fatt dalam cerpen “Dua Dunia” (Dewan Sastera, Oktober 1971) merupakan pengayuh beca roda tiga.
Secara umum, kita beranggapan kaum Cina kaya-raya sejak turun-temurun. Maka,
cerpen seperti ini memberi pembaca peluang untuk memahami realiti keperitan
hidup dilalui kaum Cina yang miskin dan menjadi mangsa penindasan golongan
kaya.
Cerpen “Pintu Belakang” yang pernah tersiar di majalah Dewan Masyarakat (Januari 1974) pula
sebuah karya yang agak panjang. Apa yang menarik, walaupun ditulis dan
mula-mula tersiar lima puluh tahun dahulu, permasalahan, isu, mesej, dan realiti
hidup yang diketengahkan masih relevan pada hari ini.
Pertemuan dan interaksi watak “Aku” (Chua) dengan
kanak-kanak berumur sebelas tahun, Yi-Ping, serta ibunya, Su-Ching, yang
dipandang serong jiran tetangga. Aspek budaya serta kritikan masyarakat
disajikan secara amat bersahaja sehingga pembaca mungkin mengalami dilema:
Perlukah hubungan Chua dan Su-Ching diizinkan? Wajarkah Yi-Ping dibiarkan
menjadi mangsa akibat permasalahan orang dewasa?
Semasa membaca cerpen ini, saya membayangkan watak-watak itu
berinteraksi dan beraksi di layar. Betapa baik jika ada pihak berminat
menjadikan “Pintu Belakang” sebuah drama atau filem!
Cerpen “Nilai Persahabatan” mengangkat kisah persahabatan antara
watak Han Da dan Riduan. Walaupun tersiar di majalah Dewan Siswa (Ogos 1991) yang disasarkan kepada pembaca remaja, Lai
Choy secara tersirat mengkritik situasi pendidikan di Malaysia yang masih membezakan
kaum.
Pengarang cuba melakukan reformasi di mana Han Da cuba
memohon biasiswa bagi Riduan daripada Persatuan Hokkien, manakala Riduan pula
mengimpikan peluang bagi Han Da untuk turut belajar di sekolah berasrama penuh
yang pada realiti hanya dikhaskan bagi pelajar Bumiputera.
Pengalaman Lai Choy sebagai guru turut dimanfaatkan untuk
membantu pembaca mendekati dan memahami isu dihadapi golongan murid daripada
keluarga miskin. Melalui cerpen “Biarkan Dia Tidur Sepuas-puasnya”, tidak dapat
tidak, pembaca akan bersimpati dan berempati dengan watak Lan Yi Long.
Budaya, bahasa, dan permasalahan hidup komuniti Cina miskin
diketengahkan secara bersahaja dalam cerpen itu. Gaya penulisan dan
keprihatinan Lai Choy mengingatkan saya kepada Azizi Haji Abdullah yang turut
mendokumentasi realiti keperitan hidup masyarakat miskin dalam beberapa karya.
Hubungan – atau kerenggangan hubungan dan komunikasi – antara
kaum Cina dan India disajikan pula secara amat bersahaja menerusi cerpen “Lambat
Lagi”. Watak “Aku” (seorang pesara guru; mungkin Lai Choy sendiri?) amat kecewa
dan marah dengan sikap lelaki kaum India yang lewat menghantar surat khabar ke
rumah. Namun, ada sebab mengapa hal itu berlaku.
Rencana berkaitan makna dan syarat di sebalik pemilihan nama
anak dalam komuniti Cina pasti membuka mata pembaca untuk lebih memahami budaya
kaum Cina. Walaupun rencana berkenaan mula-mula disiarkan di majalah Mastika pada Januari 1971, kandungannya
masih sesuai dan relevan pada hari ini; termasuk bagi generasi muda kaum Cina
sendiri.
[Dapatkan juga maklumat buku Titisan Madu Taoisme (2025) dan Sunzi: Strategi dan Taktik Ketenteraan (2025) yang diusahakan oleh Lai Choy.]
Lai Choy ternyata pengarang yang aktif, rajin, prolifik, dan
bersemangat waja. Beliau memiliki sarjana muda sastera (1978), sarjana sastera
(2011), dan sarjana kedoktoran (2017) di mana tesis beliau diterbitkan pula
dalam bentuk buku untuk bacaan umum.
Beliau masih aktif menulis dan hal ini dapat dilihat
menerusi rencana terkini berkiatan Yee Sang, Capgome, dan pemikiran masyarakat
Cina yang turut dimuatkan dalam buku ini untuk membantu para pembaca menimba
ilmu.
Secara keseluruhan, buku Ada
Padang Ada Belalang merupakan dokumentasi penting yang wajar dimiliki dan
dibaca masyarakat pelbagai kaum dan pelbagai peringkat umur. Buku seperti ini
juga harus berada di semua perpustakaan negeri, desa, dan sekolah seluruh
negara.



