Idea menerbitkan sebuah antologi cerpen penulis pelbagai kaum diusulkan pada sesi Perbincangan Meja Bulat Penulis Malaysia di Brickfields, Kuala Lumpur pada 14 Oktober 2023.
Selepas
menghubungi para penulis yang dikenali serta promosi berterusan di media
sosial, sebelas penulis menyatakan minat dan komitmen.
Seorang
lagi individu terlibat sebagai penterjemah kerana projek antologi ini turut mengalu-alukan
karya bahasa Tamil dan Mandarin yang diterjemah kepada Bahasa Malaysia.
Selepas
melalui proses mengumpul manuskrip, menyunting, dan penyelenggaraan, antologi yang
diberi judul Seruling
Malam dijadualkan terbit pada Jun 2024.
Semasa
menyemak manuskrip cerpen, saya terasa puas dan gembira kerana kesemua penulis
berjaya menyajikan kisah dan persoalan yang benar-benar memenuhi kehendak dan
kerangka Sastera Kebangsaan.
Secara
umum, para penulis kaum India menampilkan citra
budaya, isu, dan permasalahan hidup komuniti itu secara penuh kreatif. Para
penulis kaum Cina pula melakukan perkara sama bagi menggambarkan komuniti mereka.
Sebagaimana
diterangkan dalam tesis sarjana sastera saya yang diterbitkan dengan judul Kavya Sastra (2021), konsep Sastera
Kebangsaan mementingkan sumbangan penulis Bukan Melayu menulis tentang budaya,
adat, amalan, kepercayaan, dan persoalan hidup komuniti mereka.
Kesemua
26 buah cerpen dalam antologi Seruling
Malam menjanjikan pengalaman pembacaan yang unik dan penuh maklumat baharu
bagi para pembaca pelbagai kaum di Malaysia.
Peserta projek
ini terdiri daripada penulis veteran, mapan, dan baharu. Maka, sudut pandang, tahap
sensitiviti, dan kreativiti yang pelbagai dapat dinikmati khalayak pembaca.
Usaha
menerbitkan antologi secara mandiri atau indie
bukanlah sesuatu yang baharu. Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan)
sebelum ini menghasilkan antologi Vanakam (2002), Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), Peluru Aksara (2020), dan Lakaran
Diri (2022).
Majoriti
penulis terbabit menyertai siri bengkel penulisan kreatif yang saya
kendalikan dari semasa ke semasa. Maka, saya mengenali dan memahami gaya penulisan
mereka serta saya berusaha mengekalkan gaya itu semasa menyunting manuskrip.
“Cerpen
saya kali ini berbeza kerana menyampaikan keinginan seorang individu yang sudah
tiada. Sebenarnya, apa yang ingin disampaikan individu itu menjadi kelainan
dalam cerpen ini,” kata Anuradha Chelliah.
Cerpen
kedua Anuradha bertajuk “Terubat Tidak” memperkatakan isu amang seksual yang
semakin kerap dilaporkan di media masa kini.
“Luka di
luar mudah dirawat. Bolehkah masa menjadi ubat untuk luka yang menguris hati? Cerpen
ini cuba memberikan jawapan,” tambah guru ini yang turut aktif menulis karya
bahasa Inggeris.
Cerpen “Penyakit
Bisu” oleh Chia
Chen Eng secara penuh kreatif menyindir situasi di mana kebebasan
bersuara disekat. Digambarkan bagaimana ketika kebebasan dihalang, bahasa hilang
fungsi.
“Sebuah
lagi cerpen menggunakan imej telefon bimbit untuk memperkatakan ketidakmampuan
seseorang menyesuaikan diri setelah kehilangan kuasa dan kedudukan politik,”
kata Chia Chen Eng.
[Video pendek reka letak buku - di sini]
Ketiga-tiga
cerpen penulis veteran, M. Mahendran mengambil kisah kaum India. Penulis ini mengetengahkan
permasalahan dan isu dalam komuniti India yang kurang diketahui orang luar.
“Sebuah
cerpen saya dalam antologi ini mengetengahkan betapa penting nama berunsur Tamil
diberi kepada anak-anak keluarga Tamil. Cerpen kedua menceritakan keinginan
seorang kanak-kanak belajar di sekolah Tamil,” katanya.
Cerpen
ketiga Mahendran mengangkat kisah remaja India yang meninggalkan rumah dan
mendapat perlindungan daripada sepasang suami isteri Melayu.
Duola @ Lim Guat See seorang penulis dan pelukis
profesional yang sudah menerbitkan lebih 50 buah buku serta menerima lebih
daripada 60 anugerah sastera dari dalam dan luar negara.
Saya
amat gembira apabila Liumx @ Liew Meng Seng bersetuju menterjemah
dua cerpen Duola bagi projek ini. Kedua-dua karya kreatif itu amat unik dan mengetengahkan
dunia surreal, lalu memaksa pembaca berfikir secara mendalam untuk memahami
mesej tersirat yang disampaikan.
Kamalah Suppiah pula penulis yang amat menginspirasikan.
Beliau mula menulis cerpen dan puisi moden Tamil pada 1981. Kemudian, menang
Hadiah Cerpen Malayan Banking-DBP pada 1988.
Kedua-dua
mata Kamalah buta sejak 2008 akibat penyakit glaukoma tetapi situasi itu tidak
menghalangnya terus menghasilkan karya bahasa Tamil dengan bantuan anak-anak.
Tentu
sahaja saya amat gembira dan teruja apabila penulis yang saya kagumi ini
mengirim tiga cerpen untuk dinilai bagi projek antologi Seruling Malam. Kamalah bercerita secara amat bersahaja dan pembaca
boleh mevisualkan setiap perkara yang ditulis.
Seorang
lagi penulis veteran yang sudi terlibat sama ialah Lai Choy @ Lai Yoke Choy. Beliau
yang berumur 83 tahun dan baru sahaja menerbitkan buku berjudul Ada Padang Ada Belalang (2024)
menyumbangkan dua cerpen untuk antologi ini.
Judul buku
ditentukan menerusi undian demokrasi. Tajuk cerpen Malini Lakshmi Bai ternyata menarik
minat majoriti peserta projek yang memilihnya menjadi judul antologi. Sebuah
lagi cerpen Malini mengetengahkan unsur budaya penganut Buddha.
Pesara
guru, VK
Ezhilarasi gemar menulis cerpen dan rencana berkaitan golongan
remaja kurang bernasib baik. Kebijaksanaan bermain dengan bahasa, emosi, dan
imejan boleh dinikmati menerusi tiga cerpen dalam buku ini.
Dua
penulis muda turut terlibat menjayakan projek ini. Jeffry Solomon Victor menghidap diskalkulia dan disleksia yang mengganggu pelajarannya.
Namun, Jeffry berjaya menghasilkan dua cerpen selepas menyertai bengkel anjuran
Kavyan.
Thivyajayanthi Nair pula memiliki bakat terpendam
dalam bidang penulisan. Beliau bijak menyusun kata dan menangani gaya naratif. Bakat
itu akhirnya disajikan menerusi dua cerpen dalam antologi ini yang wajar
dimiliki dan dibaca orang ramai.
(Harga
pasaran RM25. Jika mahu membeli pada
harga diskaun, rujuk di sini.)
[Rencana
ini ditulis pada 21 Mei 2024 dan disiarkan di ruangan “Bicara Budaya” akhbar Utusan Malaysia pada 25 Mei 2024. © Uthaya Sankar
SB. Harap maklum bahawa anda membaca mana-mana tulisan Uthaya Sankar SB yang disiarkan di mana-mana atas pilihan sendiri.]