Pasangan adik-beradik berumur 12 dan 10
tahun itu paling gemar mendengar kisah mengenai Rama, Sita, Laksamana, Hanuman
dan Ravana. Walaupun banyak kali didengar, mereka tidak pernah jemu.
“Paati, ceritakanlah mengenai pengembaraan
Rama,” pinta Ganesh kepada nenek pada suatu petang. “Memang seronok mendengar
kisah Rama yang mewakili jiwa dan Laksamana yang mewakili minda.”
“Ya, paati. Saya juga mahu tahu kisah
Ravana yang mewakili keangkuhan dan Sita yang mewakili kebijaksanaan,” Dhurga
pula menambah dengan penuh minat.
“Kamu berdua sudah biasa mendengar kisah
Rama yang muncul dalam epik Ramayana dalam pelbagai versi dan
bahasa di seluruh dunia. Belum puas lagi?” Nenek bertanya sambil tersenyum
kerana sesungguhnya beliau gembira dengan minat yang ditunjukkan oleh kedua-dua
cucu kesayangannya.
Epik Ramayana
bukanlah suatu teks yang asing di negara Malaysia, khususnya dalam kalangan
kaum India. Masyarakat Melayu pula biasa membaca Hikayat Seri Rama yang mengadunkan pengaruh agama Islam
bersama-sama unsur agama Hindu daripada versi asal.
Walaupun nenek buta huruf, beliau tahu
bahawa epik berkenaan terdapat dalam pelbagai bahasa di India dan di seluruh
dunia. Versi yang pelbagai juga ditemui di Benua Kecil India sendiri. Datuk
pernah memberitahu bahawa terdapat lebih 300 versi Ramayana di serata dunia. Belum lagi mengambil kira kepelbagaian
bahasa berikutan terjemahan dan adaptasi setempat.
Dalam kalangan penganut agama Buddha, kisah
dalam Ramayana dipercayai berlaku di
Benares, bukan di Ayodhya. Malah, Rama, Laksamana dan Sita adalah adik-beradik
kandung seibu, sebapa. Sita juga tidak menjadi mangsa penculikan sesiapa.
Versi agama Jain pula menceritakan bahawa
bukan Rama tetapi Laksamana yang berjaya membunuh Ravana. Pada akhir cerita,
Rama meninggal dunia dan pergi ke syurga, manakala Laksamana dan Ravana
sama-sama pergi ke neraka.
Nenek sedar bahawa kedua-dua cucunya masih
terlalu muda untuk didedahkan kepada pelbagai versi Ramayana yang boleh pula dikaji dan diinterpretasi dari pelbagai
sudut.
Pada masa sama, nenek sendiri sudah
mendengar pelbagai versi Ramayana dan kisah yang segar dalam
ingatan adalah gabungan beberapa versi yang didengar sejak kecil.
Maka, sebagaimana dilakukan penglibur lara
pada masa silam, nenek memilih untuk mencampur-adukkan beberapa versi
berdasarkan daya ingatan dan kreativiti. Apa yang penting adalah bahawa kisah
yang disampaikan serta gaya penyampaian mampu menarik minat generasi muda
seperti kedua-dua cucunya. Boleh juga diselitkan sedikit pengajaran dan
kritikan halus mengikut kesesuaian.
“Kalau kamu berdua mahu tahu kisah Ramayana, paati tidak akan memulakan
dengan kisah Rama, Laksamana dan Sita masuk ke hutan,” kata nenek sejurus
kemudian.
“Lalu, paati mahu mulakan di mana?”
Ganesh sedang duduk bersandar pada bahu
kiri nenek manakala adiknya berbaring pada riba wanita itu.
“Paati akan mulakan dengan kisah sebelum
kelahiran Rama dan Laksamana.”
Ganesh dan Dhurga bertepuk riang. Mereka
semakin berminat untuk mendengar epik yang bakal dianyam dan disajikan oleh
nenek dengan penuh gaya. Demikian antara keistimewaan yang dimiliki nenek.
Setiap kali beliau bercerita, pasti ada sesuatu yang berbeza. Pasti ada sesuatu
yang menarik dan mampu mencengkam minat pendengar.
“Bandar raya Ayodhya terletak di tebing
Sungai Saryu dan diasaskan oleh Ikshavaku, iaitu anak sulung Manu,” nenek
memulakan cerita; sekali gus membawa kanak-kanak berumur 12 dan 10 tahun itu mengembara
ke alam penuh keajaiban. – Bersambung [Maklumat di Sini]
[Uthaya Sankar SB gemar mengkaji teks klasik India dalam pelbagai versi dan bahasa yang terdapat di seluruh dunia. Beliau juga kolumnis The Malaysian Insider sejak Julai 2009. Teks ini ditulis pada 2 Januari 2013 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 6 Januari 2013. © Teks Uthaya Sankar SB 2013. Harap maklum bahawa anda membaca kisah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.] [Baca juga - Hanuman: Suara Hati]