29 Dec 2010

Pendatang: Dulu & Kini

Walaupun negara merdeka pada 1957 dan Malaysia terbentuk pada 1963, desas-desus melibatkan “pendatang” terus kedengaran; pada 1960-an, 1970-an, 1980-an dan 1990-an.
.

Sejak kecil, saya juga sering mendengar kanak-kanak, remaja, orang dewasa dan warga emas mengatakan bahawa kaum Cina dan kaum India di negara ini tetap dilihat sebagai pendatang dan boleh “dihalau keluar pada bila-bila masa”.

.

Tentu sahaja sebagai seorang kanak-kanak – dan kemudian remaja – perasaan saya terguris mendengar kata-kata yang menafikan hak dan kedudukan mana-mana warga Malaysia. Saya juga sedikit marah terhadap generasi terdahulu kaum Cina dan kaum India yang masih risau memikirkan kemungkinan mereka “dihalau keluar pada bila-bila masa” kerana mereka tetap dianggap “pendatang” walaupun mereka lahir, tinggal dan bakal meninggal dunia di sini.

.

Bagi saya, citra kaum India di Malaysia adalah seperti watak Madhavi dan Vijay Kumar serta datuk mereka yang saya paparkan dalam cerpen “Nayagi”. Keakraban generasi muda pelbagai kaum di Malaysia adalah seperti yang diwakili dua watak kanak-kanak dalam cerpen “Orang Pulau”. Peristiwa 13 Mei 1969 sudah menjadi satu pengajaran besar. Tentu sahaja tidak mungkin berlaku bencana seperti di “Pulau Pendatang”.

.

Dahulu, saya tidak faham mengapa ada kaum Cina dan kaum India yang masih “takut” sedangkan segala hak dan kedudukan mereka terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan, iaitu undang-undang tertinggi negara.

.

Namun, nampaknya isu “pendatang” masih berlarutan pada Alaf Baru. Pelbagai cara licik dan tidak bermaruah digunakan untuk terus mempersoalkan kesetiaan rakyat negara ini. Kreativiti dan inovasi ternyata dimanipulasi sepenuhnya dalam hal ini. Sekadar contoh, apabila kaum Cina dan kaum India kurang berminat menyertai angkatan tentera, dikatakan mereka tidak patriotik! [BACA DI SINI]

.

Mujurlah majoriti Bumiputera Sabah dan Sarawak masih kekal di negeri masing-masing. Jika tidak, mereka juga berhadapan dengan risiko dianggap “pendatang” berdasarkan acuan yang dijadikan ukuran untuk membezakan antara “rakyat” dan “pendatang”.

.

Realiti di negara ini adalah bahawa sesiapa yang tidak termasuk dalam acuan “Melayu” dan/atau acuan “Islam” secara automatik masih boleh dipertikaikan semangat patriotik mereka dan masih boleh dipanggil “pendatang”. Dan tindakan tidak bermaruah ini dianggap tidak bertentangan Perlembagaan Persekutuan. Malah, kaum India yang dipanggil paria dalam novel Interlok juga dianggap tidak menjadi masalah. Di sisi lain, polemik mengenai Ketuanan Melayu masih berlarutan.

.

Anda tentu sahaja berhak mempertikaikan hasil penelitian rambang yang dipaparkan di atas bahawa kaum Cina dan kaum India di Malaysia masih dilabel sebagai “pendatang” tetapi anda tidak boleh menafikan realiti yang benar-benar wujud di depan mata. Kita tidak memerlukan WikiLeaks untuk membantu membuka mata kita!