Kebetulan, pada pagi hari terakhir tahun 2010, kami keluar bersarapan dengan Puan Shyamala di Taipan, USJ. Terdapat sebuah kedai ikan perhiasan di sana.
Selepas melihat sekeliling, kami memutuskan untuk membeli seekor ikan laga (fighting fish). Saya terus terkenang bagaimana semasa kanak-kanak dan remaja di Aulong Lama, Taiping, kami boleh menangkap ikan laga di dalam lombong di hadapan rumah.
Kami turut membeli anti-klorin, makanan ikan dan sedikit tumbuhan terapung untuk dimasukkan ke dalam akuarium.
Devishi ternyata amat gembira, khususnya selepas ikan laga itu dimasukkan ke dalam akuarium dan ia berenang ke sana sini sambil mempamerkan tubuhnya yang cantik dan penuh warna.
Devishi menamakan ikan laga itu “Cutie” kerana katanya, ia comel.
Apabila ternyata ikan laga itu sudah selesa dan tidak menghadapi masalah untuk tinggal di dalam akuarium berkenaan, saya dan Devishi memutuskan untuk menambah jumlah ikan. Tentu sahaja bukan tindakan bijak menambah seekor lagi ikan laga di dalam akuarium yang sama.
Maka, kami membeli enam ekor ikan gapi iaitu ikan air tawar yang bersaiz kecil dan biasanya terdapat di dalam anak sungai. Ikan-ikan itu juga ternyata gembira berenang ke sana sini di dalam akuarium. Lihat beberapa foto DI SINI.