Menurut Kamus Dewan, “balu” merujuk kepada perempuan yang menjadi janda kerana kematian suami. Dalam Kamus Pelajar pula, merujuk kepada perempuan yang suaminya sudah meninggal dunia.
Istilah “janda” pula dalam Kamus Dewan merujuk kepada perempuan yang pernah berkahwin tetapi tidak bersuami lagi kerana bercerai atau kematian suami. Manakala dalam Kamus Pelajar, merujuk kepada perempuan yang sudah berkahwin tetapi bercerai dengan suaminya atau kematian suami.
Tidak hairanlah, dalam Hadis Sahih terjemahan Melayu yang saya baca, istilah “janda” digunakan tanpa dibezakan dengan “balu”. Dalam catatan ini, saya cuba membezakan antara “janda” dan “balu” mengikut kesesuaian supaya lebih mudah difahami rakan-rakan Bukan Melayu dan Bukan Islam.
Nabi Muhammad ternyata amat lembut hati terhadap golongan janda.
Hal ini terbukti apabila kita meneliti para isteri baginda; majoriti adalah
janda dan balu.
Saya meneliti Kutub al-Sittah yang terdiri daripada Kitab Sahih al-Bukhari, Kitab Sahih Muslim, Kitab Jami’ at-Tirmizi, Kitab Sunan Abu Dawud, Kitab Sunan an-Nasa’i, dan Kitab Sunan Ibnu Majah. Komentar Ibnu Thabari selaku pengijtihad dan pemikir Muslim yang disegani turut menjadi rujukan.
Ada beberapa riwayat dalam Hadis Sahih yang jelas menunjukkan pendirian Muhammad mengenai golongan janda (balu/janda). Sebahagian daripadanya ada terkait dengan firman Allah yang terkandung dalam kalamullah (Quran); misalnya Surah Al-Ahzab (Ayat 37).
Pernah berlaku kes seorang janda dikahwinkan oleh bapanya tanpa persetujuan dan kerelaan wanita itu. Apabila kes berkenaan dibawa kepada perhatian Rasulullah, baginda segera membatalkan perkahwinan itu kerana dibuat tanpa izin (persetujuan) janda berkenaan.
Demikian tinggi martabat dan kedudukan yang diberi oleh Muhammad kepada golongan Muslimah yang bergelar janda; sama ada sudah bercerai (janda) atau suami sudah meninggal dunia (balu).
Makalah penuh boleh dibaca dalam kumpulan esei Suvarna Bhumi (2022). Nota: Ditulis sebelum saya “tinggalkan” Islam - [baca di sini]
Baca juga — Mendalami Quran: Catatan 1 — Mendalami Hadis: Catatan 1 — Catatan Quran 2: Cinta Muhammad dan Zayd — Catatan Hadis 2: Muhammad, Balu, dan Janda — Tuhan dalam Quran dan Bhagavad Gita — Mengapa Rasulullah Perintah Anjing Dibunuh? — Mengapa Allah Haramkan Babi? — Apabila Langit Terbelah; Allah Bersajak — Hadis Palsu Lemahkan Orang Melayu — Perlunya Dialog Antara Agama.