Saya ada perkara yang hendak diketengahkan tentang buku Bhagavad Gita yang diceritakan semula dalam Bahasa Malaysia. Hanya bimbang mungkin penulis rasa tidak selesa dengan buah fikiran saya yang mungkin tidak sehaluan. Apa-apa pun, saya sebagai pembaca yang ikhlas dan mencintai Bhagavad Gita bertanggungjawab meluahkan isi hati.
Saya tidak dapat menerima penceritaan semula ini yang membelakangkan Veda Vyasa, seorang Guru dan pengarang asal Bhagavad Gita, serta Ganesha yang menulis karya ini. Bagi saya, tindakan Uthaya samalah seperti saya membuat penceritaan semula buku-buku beliau dan tidak memberikan kredit kepadanya.
Saya khuatir dalam masa 50 tahun akan datang, generasi akan datang tidak tahu asal-usul Bhagavad Gita yang diceritakan semula ini. Mungkin jika ditanya siapakah pengarang Bhagavad Gita, ramai anak menyebut “Uthaya Sankar SB”.
Saya sendiri pada mulanya tidak tahu apakah Bhagavad Gita dan siapakah pengarangnya sehinggalah pada suatu masa saya membeli buku Bhagavad Gita yang dijual oleh seorang alim di jalanan. Pada ketika itu saya masih gagal membaca buku berkenaan dan menyimpannya di atas meja untuk hampir empat tahun.
Kemudian tiba masa pada suatu malam saya dapat membaca buku itu dengan begitu senang dan dapat menghabiskan dalam masa dua bulan sahaja. Sejak itu, hingga kini, saya mengaji Bhagavad Gita sepertimana orang Islam mengaji Quran setiap hari.
Saya menceritakan hal ini bukan untuk berbangga tetapi saya mahu maklumat yang disampaikan menerusi buku adalah tepat dan berkekalan walaupun kita sudah tidak ada di muka Bumi.
Oleh itu, saya tidak dapat menghadiahkan buku Bhagavad Gita (2021) kepada sesiapa sehinggalah pembetulan akreditasi dibuat. Saya mahu anak, cucu dan cicit boleh membaca Bhagavad Gita dengan senang tanpa membelakangkan sesiapa.
Saya minta maaf sekiranya komen saya membuat penulis rasa tercabar atau melukakan hati. Sesungguhnya saya tidak membeli buku ini untuk mengkritik atau merendahkan usaha penulis. Saya hanya fikir apa akan berlaku kepada generasi muda yang membaca buku ini.
Contohnya, anak dan emak saya sendiri yang baru mengenali Bhagavad Gita melalui penceritaan saya. Emak saya yang sudah berumur 66 tahun pun tidak tahu siapakah penulis Bhagavad Gita dan apakah itu Bhagavad Gita. Begitu juga anak saya. Tetapi atas DESAKAN saya, mereka baru mengenali Bhagavad Gita walaupun belum boleh melihat keindahannya.
Saya pun bukanlah pakar tetapi saya mahu perkara ini (kandungan Bhagavad Gita) berkekalan walaupun selepas kita tidak ada di dunia. Saya juga bukanlah pengarang mana-mana buku atau orang hebat dan terkenal. Saya berkongsi komen ikhlas ini kerana mahu setiap orang yang membaca Bhagavad Gita versi Bahasa Malaysia ada impaknya seperti baru menonton filem Baahubali (2015).
Walaupun karya ini (Bhagavad Gita) diceritakan semula secara bebas dan tidak berbunyi seperti sebuah kitab agama kudus, tetapi saya mahu tekankan di sini, perkara yang disampaikan biarlah menambah keagungan Bhagavad Gita.
Contohnya, Uthaya berkata, Arjuna tidak ditempatkan di Syurga walaupun mempunyai peluang istimewa; ini tidak begitu tepat. Nanti kena ceritakan pula pasal Yudhisthira dan Yama Dharma. Mungkin memanjangkan jalan cerita.
Jadi, adalah baik tidak memasukkan perkara-perkara yang boleh membuat pembaca berfikir “Arjuna sendiri tidak masuk ke Syurga, apatah lagi kita semua” dan seterusnya tidak memberi motivasi kepada mereka kerana manusia yang belum ada ilmu secara amnya memerlukan ganjaran untuk membuat sesuatu.
Pada pendapat saya, kita jangan mematahkan semangat dan mempertikai kepercayaan mana-mana pihak dalam usaha penceritaan semula Bhagavad Gita.
Apa-apa pun, saya hanya meluahkan pendapat saya secara ikhlas. Usaha penulis memang murni dan saya faham masalah-masalah yang mungkin pernah dihadapi dalam menghasilkan buku ini.
Namun begitu, oleh kerana saya mempunyai pendirian sendiri, terutamanya perkara akreditasi Veda Vyasa, saya tidak dapat memberitahu mana-mana pihak (rakan-rakan, saudara-mara) tentang buku ini.
[Komen ikhlas
ini dikirim oleh Malar Vilie Punnan Palam (Bentong, Pahang) selepas membaca buku Bhagavad Gita (2021). Beliau bukan ahli mana-mana organisasi/kumpulan
agama. Komen ini adalah pandangan ikhlas beliau sebagai seorang pembaca dan
pencinta Bhagavad Gita. Kisah Vyasa
menulis Mahabharata – termasuk Bhagavad Gita – dengan bantuan Dewa
Ganesha boleh dibaca dalam buku Ramayana dan Mahabharata (2019).]