SAYA sebenarnya tidak begitu mengenali penulis bernama Uthaya Sankar SB. Tetapi rakan-rakan memberitahu Uthaya adalah salah seorang penulis karya sastera bahasa Melayu berketurunan India. Sekali lagi, bahasa Melayu bukan bahasa Malaysia.
.
Saya menyusuri laman blognya, dan didapati Uthaya seorang India yang menggunakan bahasa Melayu dengan baik. Saya juga mengikuti tulisan beliau dalam portal Malaysian Insider secara bersiri mengenai Interlok. [Nota: sebenarnya Free Malaysia Today dan siri artikel itu boleh dibaca DI SINI.]
.
Uthaya juga seorang pejuang. Beliau berjuang supaya Interlok edisi pelajar disunting semula. Semua ini dimuatkan dalam tulisan-tulisannya di Malaysian Insider. Malah Uthaya juga salah seorang panel yang dilantik Kementerian Pelajaran untuk meminda Interlok.
.
Uthaya bebas memberikan pandangan peribadinya mengenai apa isu sekalipun termasuk Interlok. Novel ini bertambah kontroversi apabila puak-puak India yang menganggotai Hindraf, sebuah pertubuhan haram turut masuk campur.
.
Cuma saya terkejut apabila dalam laman sosial Facebook, Uthaya menganjurkan undian mengenai siapakah nama Sasterawan Negara yang muncul secara spontan dalam fikiran. Dalam undian itu nama pengarang Interlok, Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain langsung tidak diundi. Maknanya Sasterawan Negara ini tidak dikenali, setidak-tidaknya oleh mereka yang mengundi di laman Facebook Uthaya.
.
Maka kita akan tertanya-tanya apakah agenda Uthaya sebenarnya menganjurkan undian itu ketika isu Interlok sedang menggelegak, dalam masa yang sama beliau menolak Interlok versi pelajar [sic]? Tidak puas dengan laman Facebook, Uthaya memanjangkan ke blog beliau [LIHAT SENDIRI DI SINI]. Kita tentunya tidak perlu mempertikaikan ketelusan undian tersebut. Tetapi penganjuran dan cara Uthaya memperbesarkan “keputusan” itu bagi saya sudah terkeluar daripada topik Interlok yang diperkatakan.
.
Dalam blognya, berulang kali Uthaya mengatakan bahawa banyak pihak yang menentang pindaan Interlok sudah terkeluar topik. Tetapi yang dilakukan Uthaya walaupun undian itu bersifat suka-suka lebih jauh menyimpang daripada topik.
.
Dalam blog dan tulisan, Uthaya berulang kali berkata beliau sangat menghormati Abdullah Hussain. Tetapi beginikah cara Uthaya menghormati orang apabila beliau menulis, “Alahai! Nama Datuk Abdullah Hussain masih tidak muncul secara spontan dalam minda kita rupanya.”
.
Saya tetap menganggap Uthaya seorang yang berhemah dan berpendidikan tinggi serta menguasai bahasa Melayu di tahap tinggi. Kerana itu beliau perlu menjaga kedudukan dengan tidak “menyeret dan mengheret” peribadi Abdullah Hussain yang seolah-olah tidak terbayang dalam fikiran kita, padahal pengundi di laman Facebook Uthaya boleh dipertikaikan status mereka.
.
Sekali lagi, Uthaya boleh berbeza pandangan dengan sebahagian besar sasterawan Melayu yang menganggap meminda Interlok hanya untuk tujuan politik. Rakan-rakan kalangan sasterawan Melayu melihat beberapa parti India mempolitikkan Interlok. Bagaimanapun Uthaya juga kena mengakui isu Interlok bukanlah “kesilapan fakta” saja. Interlok adalah alat mengukur kekuatan politik orang India. Tengoklah, banyak India yang memekik menentang Interlok tidak tahu apa pun tentang itu. Uthaya, lihatlah di luar kotak. Tanyalah kenapa MIC perlu meneliti versi pindaan sebelum menyatakan pendirian?
.
(Ku Seman Ku Hussain, Utusan Malaysia, 21 Februari 2011)
..
[Nota: Ku Seman sendiri sudah bertanya soalan berkaitan penglibatan MIC menerusi akhbar Utusan Malaysia pada 17 Februari 2011 dan boleh juga dibaca DI SINI. Malah, katanya di blog: “Saudara-saudara Melayu saya sekelian, ayuh kita menolak semua yang berkaitan dengan meminda Interlok untuk memenuhi kehendak kaum paria India. Kita tentang waima sepatah kata pun diubah dari versi Interlok yang telah dicetak oleh DBP sebelum ini. Paria India dan MIC memang kurang ajar, biadap dan tidak beradab.”]