Walau bagaimanapun, saya tertanya-tanya mengapa hanya akhbar-akhbar Bahasa Tamil – Tamil Nesan, Malaysia Nanban dan Makkal Osai – diambil kira bagi tujuan segmen berkenaan.
Memandangkan segmen itu adalah “Akhbar Hari Ini”, saya tidak nampak rasional untuk menumpukan kepada akhbar-akhbar Tamil sahaja.
Mungkin alasan – bukan rasional – yang diberi adalah bahawa MinnalFM adalah radio Bahasa Tamil. Soalan saya: Adakah “orang Tamil” hanya perlu tahu berita di “akhbar Tamil”?
Tambahan, MinnalFM adalah saluran kerajaan dan sepatutnya menyokong usaha kerajaan; khususnya gagasan “1Malaysia” yang rancak diperkatakan (walaupun tidak semestinya dipraktikkan) sejak April 2009.
Hairan juga mengapa Menteri berkenaan dan Ketua Pengarah jabatan berkenaan tidak berfikiran “1Malaysia” apabila tiba pada soal segmen “Akhbar Hari Ini” yang disiarkan setiap hari menerusi MinnalFM menggunakan Bahasa Tamil yang begitu indah.
Natijahnya, minda pendengar MinnalFM ditutup secara penuh sedar dan terancang. Pendengar MinnalFM bagaikan tidak perlu tahu “dunia luar” selain “dunia Tamil”.
Mungkin alasan – bukan rasional – yang diberi adalah bahawa pendengar Minnal FM bukanlah terlalu teruk sehingga tidak boleh membaca akhbar Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Jika begitu: Adakah pendengar Minnal FM terlalu teruk sehingga tidak boleh mmebaca akhbar Bahasa Tamil?
Mungkin alasan – bukan rasional – yang diberikan adalah bahawa MinnalFM menghadapi masalah mendapatkan akhbar-akhbar Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin pada awal pagi. Soalan saya: Tidak bolehkah wujud kerjasama pintar antara MinnalFM dan pihak yang menguruskan segmen “Akhbar Hari Ini” untuk siaran menerusi TV1 (televisyen)?
Mungkin 1008 alasan – sekali lagi, bukan rasional – akan dan boleh diberikan Menteri berkenaan dan Ketua Pengarah jabatan berkenaan. Tidak mengapa. Lebih mudah untuk melaungkan “1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” berbanding melaksanakan sesuatu yang memanfaatkan pendengar MinnalFM.
Andalah yang harus menjadi perubahan yang mahu anda saksikan di dunia ini. Tetapi itu adalah kata-kata Mahatma Gandhi yang tidak pernah menjadi Menteri dan Ketua Pengarah, bukan?