Cerpen “Tembelang” karya Yahya Samah di akhbar Berita Harian (26 Jun 1966) berkisar tentang seorang isteri yang rasa terabai akibat sikap suami gemar berjudi.
Pengkaji
Sastera Melayu mungkin masih cuba mengangkat cerpen itu sebagai sebuah karya yang
berusaha mendidik pembaca Melayu agar menjauhi judi yang haram dalam ajaran
Islam.
Namun,
sekiranya kita membaca keseluruhan cerpen berkenaan, maka akan nampak unsur
sebenar yang digunakan Yahya Samah untuk memancing pembaca. Lihat beberapa
petikan di bawah:
Bita bangun dan duduk. Baju ketat tangan
pendek warna merah muda yang dipakainya itu dibukanya. Ia pergi semula ke muka cermin.
Ia merenung semula muka dan dadanya berulang-ulang.
Bita membuka anak bajunya pula
sekarang. Dia berkemban sahaja dengan kain batik sarung warna merah tua itu.
Dia memerlukan Mat Lajis malam ini.
Malam ini sahaja pun jadilah. Untuk itu – untuk menjayakan hasratnya – Bita sanggup
melakukan apa sahaja. Bita sanggup bertindak sebagai suami jika Mat Lajis tidak
berdaya jadi seorang lelaki malam ini.
“Bita lapar, bang,” kata Bita. “Marilah
kita makan.” Ia mula merapatkan badannya ke badan Mat Lajis. Dadanya
melenggang-lenggang. Dada Mat Lajis turut melenggang.
“Abang dah lama tak pulang siang
begini. Takkan abang tak tahu,” ujar Bita dengan hati sedikit cemas. “Marilah
bang. Marilah.” Ia berpaling ke tempat tidur.
Mat Lajis menggetap bibir. Kekuatan
tenaganya menjadi berlipat ganda dengan serta merta. Badan gempal itu diangkatnya
dan dibawanya ke kanan [katil?]. Bita mula membukakan simpul tuala mandi yang
dipakai oleh Mat Lajis ketika itu. Mat Lajis diam sahaja.
Ahmad Lutfi
merupakan pengarang Melayu yang mempelopori penulisan novel pornografi dalam
bahasa Melayu pada tahun 1948—baca mengenainya
[di sini]. Taktik memasukkan unsur seks, erotik, lucah,
dan pornografi sebagai pelaris kepada karya yang konon bertujuan “mendidik pembaca
Melayu dan menyebarkan dakwah Islam” diteruskan pula oleh Yahya Samah atau nama
sebenarnya Yahya bin Abu Samah, seorang “elit Melayu” lulusan Sultan Idris Training College (SITC) dan
Language Institute (Maktab Perguruan
Bahasa, Lembah Pantai).
Novelnya
seperti Dahaga (1966), Tembelang (1966), Pecah Berderai (1967), Perahu
Kecil Berlayar Malam (1967), dan Patah
Dayung (1968) membuktikan minat serta kemampuan Yahya Samah mengangkat hal-hal
seks dan hubungan seksual dalam karya.
Pada penelitian
A. Ghani Nasir dan Sa’adon Ismail, Yahya Samah “disanjung
sebagai pengarang yang berjaya mengolah tema seks dalam satu cara yang baik dan
sesuai hingga rangkap-rangkap yang mengisahkan babak-babak seks dapat
dipersembahkan dalm satu cara yang tidak ‘seks’” (Berita Harian, 28 Januari 1973).
Berikut petikan
daripada halaman 209 dan 210 novel Dahaga
(1966) yang pernah dipertahankan oleh sejumlah pengkaji Sastera Melayu sebagai “karya
seks yang murni”:
“Perahu ini kecil sangat,” kata
abang iparnya pada satu ketika. Mukanya direnung tepat-tepat. Badannya yang
tengah naik – tidak berbaju dan tidak berkain itu – dipeluk kuat-kuat.
Dia menggigit bibirnya melihat abang
iparnya sedang berkayuh bersungguh-sungguh. Kadang-kadang matanya terpejam.
Tetapi bibirnya selalu terbuka.
“Sudahlah kecil, baharu pula.”
“Janganlah kencang sangat mendayung,”
pintanya dengan suara lemah. “Ani tak tahan. Perahu ini kecil. Baru pula.
Lambat-lambat sedikit. Tak usahlah nak sampai cepat sangat,” ia meneruskan.
Petikan
halaman 198 dan 199 novel sama:
Anilah meronta-ronta sedikit. Badrol
memegang semakin kuat. Lama-lama tidak ada perlawanannya lagi. Anilah sudah
tidak bergerak-gerak. Dia mengikut saja. Anilah merebahkan badan
perlahan-lahan.
Di luar – jauh di kaki langit –
terdengar guruh mendayu-dayu. Di dada laut, kelihatan beberapa buah perahu sayup-sayup
dilambung ombak. Tiba-tiba petir berdentum kuat di rantau itu. Sepucuk seludang
kelapa jatuh terbenam ke dalam sebuah telaga yang baharu.
Gaya bahasa
puitis untuk menggambarkan aksi seks atau persetubuhan haram seperti di atas
juga digunakan Yahya Samah dalam cerpen “Tembelang” membabitkan aksi Mat Lajis
dan Bita (suami isteri) di katil.
Kini, dada laut berwarna hijau tua itu sudah
tidak tenang lagi. Kolek yang berlayar di atasnya terlambung-lambung dilenggang
ombak. Mat Lajis – sekali pun sudah lama tidak berkolek – lambat juga mabuknya.
Bita yang lemas dahulu.
Sambutan
hangat pembaca Melayu terhadap cerpen “Tembelang” (Berita Harian, 26 Jun 1966) memberi semangat dan motivasi kepada
Yahya Samah untuk segera mengembangkannya menjadi novel dengan judul Tembelang (1966).
Novel
berkenaan dikategori oleh Ismail Ahmad
(Ajikik) sebagai “seks jual buku” iaitu “cerita dalam mana peristiwa hubungan
seks lelaki dan perempuan, dan kejadian dan paksaan dan percubaan untuk
melakukan hubungan kelamin di luar nikah ini sahaja, dan selain dari itu tidak
ada apa-apa” (Berita Harian, 28 Ogos
1966).
Dali yang mengulas cerpen “Tembelang” menyedari persamaan
antara Ahmad Lutfi dan Yahya Samah kerana kedua-duanya suka
menulis karya yang tepu unsur seks, lucah, erotik, atau pornografi.
“Saya
dapati kecenderungan Yahya Samah berpusar di sekitar wanita dan lelaki yang
serong hidupnya. Keserongan mereka, agak menarik, sentiasa di sekitar jantina
[seks] sahaja. Segala problem
[masalah] yang berlaku, pada Yahya Samah nampaknya lebih berakar pada problem seks mereka. Baik lelaki yang
penjudi, baik wanita yang berpendidikan, baik lelaki yang berjawatan tinggi,
semuanya mempunyai problem yang sama—seks,”
ulas Dali (Berita Harian, 3 Julai
1966).
Yahya Samah
dikatakan mengambil inspirasi daripada isu sebenar dalam masyarakat Melayu di Selangor
(termasuk Kuala Lumpur sebelum ia menjadi wilayah persekutuan pada 1 Februari
1974) tetapi dimanipulasi “semata-mata untuk menimbulkan kejadian-kejadian
hubungan jantina [seks] dan menimbulkan percubaan-percubaanatau gara menaikkan
nafsu dan dia [penulis] memaksakan watak-watak melakukan itu”.
Apabila
kisah dalam novel Tembelang (1966) diteliti,
ternyata ada kaitan rapat dengan cerpen “Tembelang” (Berita Harian, 26 Jun 1966) yang turut diperkatakan tadi. Kalau
cerpen berkisar tentang Mat Lajis dan Bita, versi novel pula mengangkat kisah Mat
Lajis dan Semiah.
Yahya Samah
seolah-olah sengaja meletakkan watak Semiah dalam kedudukan yang membolehkan
dia berlaku curang dan berzina; ditambah dengan tabiat Mat Lajis yang asyik
berjudi dan tidak memberi nafkhah batin kepada isteri.
Pekerjaan
Mat Lajis tidak dinyatakan tetapi pasangan suami isteri itu dikatakan menghadapi
kesempitan wang. Semiah bekerja sebagai “pengasuh rumah” kepada lelaki bujang
dan kaya bernama Raja Jalal. Tidak perlulah kisah perzinaan penuh nafsu mereka
berdua diperincikan di sini.
Kemudian, atas
bimbingan rakan bernama Siti Donah, Semiah “menjual diri” kepada Ah Meng yang
menjalankan “perniagaan” tidak bermoral. Maka, semakin banyaklah ruang untuk
Yahya Samah menggambarkan adegan hubungan seks dengan gaya bahasa puitik.
Memandangkan
novel itu menggambarkan realiti hidup masyarakat Melayu, maka ada pula watak
Haji Sapuan yang membawa Semiah berjalan-jalan dan singgah di hotel dalam usaha
mahu memiliki tubuhnya. Kemudian, lelaki itu cuba merogol anak gadis Semiah.
Yahya Samah
yang lahir di Ulu Kelang pada 6 Mac 1932 turut menghasilkan kumpulan cerpen
berjudul Malia (1966). Sekiranya diteliti,
cerpen “Linda di Tengah Gelanggang” dan “Malia” merupakan petikan (fragmen)
daripada novel Dahaga. Watak Chong
Mew Ling menjadi Linda, manakala Anilah menjadi Malia.
Cerpen “Hitam-hitam
Pun” dalam buku ini pernah tersiar di Mastika
(Februari 1960) manakala cerpen “Tayar Tak Berangin” tersiar di Berita Harian (11 Julai 1965). Cerpen “Layang-layang
Putus Tali” pula petikan (fragmen) daripada manuskrip “Bukan Salah Ibu
Mengandung” yang menang hadiah
penghargaan Peraduan Mengarang Novel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (1958)
dan diterbitkan dengan judul Layang-layang
Putus Tali (1964). – Bersambung di Bahagian Dua



