Dewa Murugan tidak asing bagi penduduk Malaysia, tanpa mengira kaum dan agama. Begitu juga dengan Dewa Ganesha yang berkepala gajah.
Dalam mitos dan kisah purana Hindu, Ganesha dan Murugan adik-beradik. Ibu bapa mereka ialah Dewa Shiva dan Dewi Parvathi @ Shakti.
Maka, bukanlah sesuatu yang aneh atau biadab jika rakan-rakan Bukan Hindu bertanya tentang “keluarga” ini. Tambahan pula, ajaran Sanatana Dharma (Hinduisme) adalah agama tauhid yang mengakui keesaan Tuhan.
Saya pernah menulis beberapa makalah sebelum ini untuk menjelaskan kekeliruan dan kecelaruan yang mungkin wujud – termasuk dalam kalangan penganut Hindu sendiri – berhubung soalan “Berapa Tuhan Orang Hindu?” (Malaiur Manikam, 2015).
Pada 25 Januari 2015, Nadzarul Qhaled (Nadz Qholed Mokhtar) dari Semenyih, Selangor mengirim mesej menerusi Facebook untuk bertanya tentang perbezaan antara Ganesha dan Murugan.
“Pada setiap hari Khamis (kalau tidak silap saya), seorang kawan kaum India akan sembahyang di kuil dekat Jalan Pudu, Kuala Lumpur,” kata pemuda berkenaan yang ternyata tidak menghadapi masalah untuk bergaul dan mengenali rakan-rakan pelbagai kaum dan agama.
Ahmad Zahiruddin Saruji pula ingin tahu mengenai konsep menyembah berhala dalam kalangan penganut Hindu.
“Apabila menyembah patung (berhala) dewa, adakah penganut Hindu melihat berhala itu sebagai dewa secara zahir atau medium perantaraan yang kosong?” tanya beliau dengan rasa ingin tahu.
Penjelasan mengenai konsep penyembahan berhala juga sudah saya terangkan dalam beberapa makalah yang terkumpul di blog saya. Juga dalam buku Malaiur Manikam – semak stok di sini.
Kisah Kelahiran Ganesha dan Murugan dalam Purana
Sebenarnya, saya amat suka apabila ada orang bertanya dan mahu mendapatkan penjelasan berhubung budaya India dan ajaran Hindu. Pertanyaan mereka memberikan peluang untuk menambah ilmu serta berkongsi pengetahuan demi kebaikan.
Tambahan pula, budaya India dan ajaran Hindu memang amat kompleks dan sangat mudah diputar-belit dan disalah tafsir jika tidak ditangani dengan betul. Dalam konteks pelbagai kaum dan agama di Malaysia, pertanyaan seperti yang dikemukakan oleh rakan-rakan adalah amat wajar.
Contohnya, berkaitan Ganesha dan Murugan. Soalan yang
ditanya adalah amat wajar dan sedikit pun tidak bertujuan memperlekeh ajaran
Hindu. Individu yang bertanya tentunya ingin tahu, tetapi tidak pula bermaksud
keimanannya terhadap anutannya tergugat.
Murugan mungkin
lebih dikenali orang ramai kerana sambutan Thaipusam
yang cukup meriah; khususnya di Batu Caves dan Pulau Pinang. Ramai yang
beranggapan sambutan itu sebagai tarikh kelahiran Murugan yang juga dikenali
dengan nama-nama seperti Subramaniam, Velan, Kanthan, Kumaran dan Saravanan.
Saya menceritakan
dalam makalah bertajuk “Tentang Thaipusam” (The Malaysian Insider, 6 Februari 2012)
mengenai purana di sebalik sambutan itu. Mengikut cerita,
golongan asura yang diketuai
Surapadman mahu memerangi golongan dewa di kayangan.
Shiva menggunakan
kuasa bagi “mencipta” (melahirkan) Murugan. Parvathi menghadiahkan vel yang digunakan untuk menghapuskan Surapadman.
Tarikh penyerahan senjata vel itulah
disambut sebagai Thaipusam.
(Kisah penuh boleh
dibaca dalam buku Khanda Puranam, 2022)
Akan tetapi, harap
maklum bahawa kisah-kisah ini adalah daripada purana, iaitu cerita
yang direka untuk memudahkan penyampaian ajaran, etika, dan dharma berkaitan Sanatana Dharma kepada
golongan muda.
Kisah kelahiran
Ganesha juga agak menarik. Menurut kisah purana, Ganesha
adalah anak sulung kepada pasangan Shiva dan Parvathi. Pada mulanya, Shiva
tidak mahu anak.
Kepala Anak Gajah Dipasang pada Tubuh Kanak-kanak
Parvathi
menggunakan daki dan cebisan kulit mati pada tubuhnya, lalu dicampur dengan
serbuk kayu cendana untuk “mencipta” seorang anak semasa ketiadaan Shiva.
Mengikut
cerita purana yang sering disampaikan kepada kanak-kanak,
pada suatu hari, sementara Parvathi sedang mandi, Ganesha diarah mengawal pintu
hadapan.
Pada masa itu,
Shiva pulang dan terkejut melihat seorang kanak-kanak berkawal di depan rumah.
Ganesha tidak membenarkan Shiva masuk kerana patuh pada arahan ibunya. Malah,
Shiva dan Ganesha tidak saling mengenali.
Dengan penuh
marah, Shiva mengeluarkan pancaran api sakti dari mata ketiga yang terdapat
pada dahinya. Api itu memancung kepala Ganesha. Kemudian, barulah Shiva
diberitahu bahawa itu adalah anak Parvathi.
Shiva segera
meminta para pengawalnya (gana)
supaya membawa kepala mana-mana hidupan (haiwan) yang dijumpai dalam
sekian-sekian posisi. Ditakdirkan, seekor anak gajah yang memenuhi kriteria
itu.
Kepala anak gajah
dibawa dan Shiva menggunakan kuasanya untuk menyambungkan kepala anak gajah
kepada tubuh kanak-kanak itu. Sejak itu, Ganesha berkepala gajah. Dia juga
dikenali sebagai Ganapati, ketua
para pengawal Shiva.
(Baca juga—“Dewa Ganesha Ketinggalan Zaman!”)
Harus diketahui
bahawa segala kisah purana ini
bukan “fakta” daripada kitab suci atau wahyu Tuhan. Sebaliknya, kisah-kisah
yang direka sejak zaman dahulu untuk menyampaikan ajaran Hindu kepada
kanak-kanak.
Bagaimanapun,
dalam tradisi Hinduisme, Tuhan boleh disembah dalam bentuk berhala. Penjelasan
lanjut boleh dirujuk pada beberapa makalah di blog saya dan dalam buku seperti Mandala
Bicara (2016) dan Malaiur
Manikam (2015).
Apa yang penting,
setiap rupa dewa mempunyai makna simbolik. Ganesha misalnya melambangkan
identiti (sifat) Tuhan sebagai penghapus segala rintangan (Vigneshwara) dan
pemimpin terunggul (Vinayaka).
Fahami Makna Simbolik di Sebalik Kisah Purana
Gabungan kepala
gajah dan tubuh manusia menjadi simbol bahawa Tuhan adalah pencipta manusia,
binatang, dan segala hidupan di alam ini. Setiap kali memandang berhala
Ganesha, penganut Hindu sepatutnya memahami makna simbolik yang diwakili; bukan
sekadar melihat manusia berkepala gajah.
Tali pada tangan
bertujuan mengingatkan manusia supaya “mengikat” diri agar fikiran tidak
melayang atau lari daripada cita-cita. Ganesha hanya ada satu gading. Ada
pelbagai cerita mengenainya – termasuk seperti diceritakan dalam “Jangan
Pandang Sang Bulan” (The Malaysian Insider, Julai 2012). Makna simbolik adalah supaya
manusia membuang segala sifat negatif dan hanya menyimpan sifat positif.
Tikus yang
ditunggang oleh Ganesha sebenarnya simbol keinginan (desire) manusia. Kalau tidak dikawal dan ditunggang dengan baik,
“keinginan” akan membawa manusia ke lembah yang hina dan terpesong daripada
etika kehidupan yang sempurna.
Merak yang
ditunggang oleh Murugan pula simbol manusia perlu mampu mengawal rasa angkuh
dan taksub. Merak jantan yang cantik apabila mengigalkan ekornya menjadi simbol
kemegahan dan sikap menunjuk-nunjuk.
Senjata vel yang dipegang pada tangan mempunyai pelbagai
makna simbolik. Selain daripada dijadikan senjata untuk menghapuskan kejahatan
dan sifat negatif, ia juga simbol ketajaman minda dan intelektual.
Penerangan di sini
amat asas dan umum bagi memberikan gambaran awal mengenai Ganesha dan Murugan
dalam amalan Hinduisme serta makna simbolik yang dibawakan oleh kedua-duanya.
Apa yang paling
penting adalah kesedaran dan pemahaman bahawa setiap dewa itu bukan mewakili
Tuhan yang berlainan. Hinduisme iaitu agama tauhid yang pertama dan tertua di dunia mengakui dan
mengiktiraf keesaan Tuhan.
Setiap dewa dan
berhala mewakili sifat-sifat yang dimiliki oleh Tuhan. Kajian berkaitan ilmu
berhala dan ikonografi boleh membantu meningkatkan pemahaman terhadap hal ini.
Jika tidak, kita akan menganggap orang Hindu menyembah banyak Tuhan.
Kita juga perlu
faham bahawa purana dan kisah-kisah
mengenai dewa-dewi bukan “kisah benar” tetapi mengungkapkan makna tersirat
dalam usaha mengajar dharma (kebenaran,
truth) secara mudah kepada penganut
Hindu, khususnya kanak-kanak.
(Rencana ini disiarkan di ruangan “Bicara Budaya”
portal Roketkini pada 15
Februari 2015. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum
bahawa anda membaca apa-apa yang ditulis oleh Uthaya dan tersiar di mana-mana
atas pilihan sendiri.)