Pada penelitian saya, ada tiga pihak yang
“berhak” (jika mahu) mendesak supaya filem Vishwaroopam
(2013) diharamkan/dimurnikan di Malaysia.
Apabila saya menyatakan demikian pada
ruangan status Facebook pada 5 Februari 2013,
ramai yang bertanya apakah cakera video digital (DVD) filem berkenaan yang
ditulis, diarah dan diterbitkan oleh pelakon terkenal Kamal Haasan sudah berada
alam pasaran.
Sebenarnya, jangan lupa bahawa filem itu ada ditayangkan di Malaysia pada 24
Januari 2013; sehari sebelum saya ke Taiwan selama seminggu atas tajaan One
Nusantara Sdn Bhd. Isu serta maklumat lengkap berkaitan penayangan filem
tersebut bolehlah dirujuk di media konvensional dan alternatif.
Dalam perkembangan terbaru, filem Vishwaroopam khabarnya akan ditayangkan semula di pawagam tempatan (dengan
sedikit lagi suntingan) dalam masa terdekat; dengan izin Tuhan. Saya akan pergi
menontonnya semula untuk menghayati filem bermutu ini secara lebih mendalam
bersama-sama rakan pelbagai kaum dan agama.
Sementara itu, sejak pulang dari Taiwan pada
31 Januari 2013, saya sering bermimpi tentang Vishwaroopam dan beberapa pihak yang pada 2011 pernah tampil
memberikan komentar berhubung novel Interlok:
Edisi Murid iaitu teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa
Malaysia (Komsas).
“Biarpun ada unsur kejelekan pada
sesetengah tempat, pengakhirannya membawa kepada pemahaman bersama bahawa
perpaduan antara kaum penting, sekali gus mendaulatkan perpaduan kaum yang
bersesuaian sebagai pemangkin perpaduan di kalangan penonton.”
Demikian
presiden sebuah persatuan penulis peringkat nasional yang juga pensyarah di sebuah
universiti tempatan berkata semasa sidang media dalam mimpi saya. [RUJUK SUMBER MIMPI DI SINI]
Dalam mimpi yang sama,
seorang ibu dari Kepong menghubungi saya melalui telefon dan
mengatakan beliau baru menonton DVD filem Vishwaroopam yang dibawa
pulang oleh anaknya yang belajar di Tingkatan Lima. Katanya,
kandungan filem itu memang menghina kaum India dan agama Hindu, serta tidak
sesuai ditayangkan di Malaysia.
Beberapa hari kemudian (masih dalam mimpi, tentunya), si
ibu berkenaan menghadiri “Wacana Vishwaroopam:
Jujur atau Perkauman” anjuran sebuah akhbar tempatan lalu bertukar menjadi
penyair dan pengkaji sastera Melayu yang menyokong filem Vishwaroopam ditayangkan kepada umum tanpa walau satu suntingan. [RUJUK SUMBER MIMPI DI SINI]
Saya
bermimpi malam tadi. Seorang penulis
veteran dan bekas pensyarah universiti menjadi panel “Dialog Filem Vishwaroopam” anjuran sebuah persatuan penulis di Kuala Lumpur.
Beliau berkata, “Dulu filem Dasavatharam (2008) tulisan dan lakonan
Kamal Haasan mendapat sambutan hangat seluruh dunia dan mencapai pungutan
US$45.5 juta. Kini, kumpulan tertentu fikir ‘Kamal hebat, kita pancunglah’. Ini
punca isu penentangan terhadap Vishwaroopam.”
[RUJUK SUMBER MIMPI DI SINI]
Saya
bermimpi bahawa beberapa persatuan penulis serta badan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan
memorandum, meminta Kerajaan Malaysia meneruskan tayangan filem Vishwaroopam. Mereka juga dengan tegas menolak sebarang campur tangan politik yang
berpentingan peribadi dan bersifat politik perkauman. Mereka (dalam mimpi saya)
menolak tuntutan supaya filem itu disunting jika alasannya adalah kerana
wujudnya unsur penghinaan terhadap kaum/agama tertentu. Bagi mereka, tiada
unsur penghinaan sama sekali dalam filem itu. [RUJUK SUMBER MIMPI DI SINI]
Saya bermimpi malam tadi. Ketua umum sebuah parti
politik memberitahu wartawan di Petaling Jaya: “Saya dah tonton filem Kamal
Haasan ini sudah lama, saya tidak nampak apa-apa yang rasis pun. Saya rasa kita
perlu adakan perbincangan untuk selesaikan perkara ini.” [RUJUK SUMBER MIMPI DI SINI]
Ternyata pengalaman sebenar dalam isu berkaitan novel Interlok: Edisi Murid pada 2011 kembali
bermain dalam mimpi saya. Saya ada menghuraikan mengenai realiti dunia mimpi
dalam salah satu bab novel Panchayat: Edisi Khas (2012).
Dalam mimpi saya malam tadi, seramai 60 orang hadir dalam perhimpunan besar-besaran di perkarangan
pejabat sebuah persatuan penulis bagi membantah tindakan mempolitikkan filem Vishwaroopam.
Mereka yang terdiri
daripada tidak kurang 30 NGO dan persatuan penulis dari seluruh negara
sama-sama bersepakat memperakui Vishwaroopam sebagai sebuah karya yang mempunyai intergriti. Sehubungan itu, mereka
meluluskan lapan resolusi bersama. Antaranya menolak sebarang tuduhan bahawa Vishwaroopam adalah sebuah filem yang menghina
masyarakat India beragama Islam.
Mereka juga menolak
sebarang cadangan untuk menarik balik tayangan Vishwaroopam di pawagam tempatan serta membantah sekeras-kerasnya sebarang cadangan
untuk meminda/menyunting mana-mana bahagian dalam filem tersebut. [RUJUK SUMBER MIMPI DI SINI]
Dalam mimpi saya, presiden sebuah parti politik juga mengeluarkan kenyataan
berhubung kontroversi filem berkenaan. Katanya, ia seharusnya dinilai dan
diadili dari kaca mata produk seni filem yang bertujuan menggambarkan konteks
sosial sejarah. “Kekeliruan fakta atau maklumat dalam filem ini, sebagaimana
yang didakwa oleh pihak tertentu, perlu dibahas secara ilmiah dan dengan
keterbukaan intelektual yang tinggi tanpa menjejaskan niat asal filem ini dibikin,”
katanya. [RUJUK SUMBER MIMPI DI SINI]
Dalam mimpi saya, seorang
wartawan menghubungi presiden sebuah persatuan penulis untuk mendapatkan
reaksi. “Dalam filem tersebut ia
menggambarkan bahawa sebahagian masyarakat terbabit sahaja yang terdiri daripada
pengganas. Tidak semestinya filem perlukan ketepatan seratus peratus. Ini
fiksyen yang menggunakan anakronisme. Mencari
ketepatan 100 peratus di dalam filem dan sastera adalah kerja bodoh,” ujar individu
terbabit. [RUJUK SUMBER MIMPI DI SINI]
Saya
juga didatangi mimpi yang sangat realistik di mana empat Sasterawan Negara mengeluarkan kenyataan bersama. Saya membaca
petikannya (dalam mimpi, tentunya) seperti berikut:
“Kami, Sasterawan Negara
Malaysia, ingin menegaskan bahawa sebuah teks sastera dan filem bukanlah sebuah
teks politik, dan bukan juga teks sejarah atau geografi. Sebuah karya sastera dan
filem ialah sebuah teks yang melukis jiwa manusia, perasaannya, nilai dan
kepentingannya dalam konteks zaman dan sejarahnya. Yang dilukis didekatkan
sehampir mungkin kepada kenyataan di dalam dan di luar diri manusia, kerana
karya sastera dan filem tidak tercipta daripada kekosongan atau vakum.
“Peristiwa di luar –
peperangan dan kedamaian, kesusahan dan kesenangan, kerusuhan dan ketenangan –
dilukis oleh kata-kata dan visual. Kami
berpendapat bahawa sastera dan filem ada ruangnya sendiri dengan keseniannya
yang khusus pula. Kita harus membaca sastera sebagai sastera, menonton filem
sebagai filem, dan bukan buku sejarah atau politik. Membaca sastera dan
menonton filem ialah suatu proses berfikir, merasa dan menghayati bahasa,
peristiwa dan gagasan.” [RUJUK SUMBER MIMPI DI SINI]
Saya bermimpi malam
tadi. Seorang calon Sasterawan Negara memberitahu saya: “Anggapkan Kamal Haasan
salah. Biarkan pelakon dan pengarah itu yang bertanggungjawab kepada kesilapan
yang dia buat. Hukumannya adalah bahawa Kamal
Haasan tak pandai.” [RUJUK SUMBER MIMPI DI SINI]
Tentu sahaja kesemua individu yang saya
sebut di atas tidak semestinya pernah membuat sebarang kenyataan mengenai filem
Vishwaroopam. Sebaliknya,
kenyataan-kenyataan yang pernah mereka buat dengan penuh prihatin dalam isu
novel Interlok: Edisi Murid kembali
muncul dalam mimpi saya. Mungkin kerana ada sedikit (kalau tidak banyak)
persamaan dalam kedua-dua isu terbabit.
Untuk rekod, Sasterawan
Negara Datuk A. Samad Said menulis komentar berikut pada 26 Januari 2013: “Vishwaroopam didakwa hina komuniti Islam
di Madras; Race 2 pula dedah jenayah
niagawan yang paling atas. Satu tidak sempat kutonton; yang ditonton sangatlah
gerun. Terhimbas wajah masyarakat – nafsu gelojoh paling dahsyat!” [RUJUK SUMBER BERITA DI SINI]
Pada awal tadi, saya menyebut bahawa ada
tiga pihak – pada pandangan saya – yang berhak mendesak filem Vishwaroopam tidak ditayangkan di
Malaysia. Ini adalah pandangan peribadi saya dan tiga pihak berkenaan adalah
seperti berikut:
Pertama, penganut agama Hindu – memandangkan ada bahagian
tertentu (dialog) yang menyindir cara orang Hindu “menghukum dewa bertangan
empat”.
Kedua, puak-puak yang secara langsung atau tidak langsung menyokong
pengganas dan keganasan – memandangkan filem ini menyelar serta mengutuk
pengganas antarabangsa tanpa mengira kaum/agama.
Ketiga, puak-puak etnosentrik tertentu – memandangkan
mereka tidak memerlukan apa-apa alasan munasabah untuk berbuat apa sahaja bantahan
di negara bertuah ini.
Dalam pada itu, memandangkan saya asyik
termimpi akan novel Interlok: Edisi Murid sejak timbul
isu filem Vishwaroopam, maka wajar
juga saya menegaskan pendirian saya bahawa filem ini masih boleh ditayangkan;
dengan label “18PL” misalnya.
Walau bagaimanapun, saya sendiri pasti
tampil menyatakan bantahan rasmi sekiranya (ulang: sekiranya) ada cadangan
daripada mana-mana pihak yang mahu memasukkan versi asal filem bertaraf
antarabangsa ini sebagai “teks wajib tonton” bagi Komsas dengan alasan bahawa pelajar kita sudah cukup matang untuk
mencerna isu-isu sensitif seperti disajikan dalam Vishwaroopam. -- Baca kenyataan berkaitan Ridhuan Tee DI SINI.
[Makalah
berupa faksyen satira (satirical faction)
ini ditulis pada 5 Februari 2013 dan disiarkan di Projek Dialog pada 6 Februari 2013. © Uthaya Sankar SB
2013. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]