Jika perlu (baca: terpaksa) meletakkan apa-apa nombor/angka di depan nama tanah air, saya memilih 7 tanpa alasan khusus. 7Malaysia. Cantik, bukan?
.
Demikian saya nyatakan pada ruangan status di Facebook pada pagi 19 Oktober 2010. Benar, tiada alasan kukuh – malah tiada apa-apa alasan! – mengapa saya memilih angka 7. Tentu sahaja tiada apa-apa kaitan dengan James Bond 007.
.
Bercakap mengenai 7Malaysia, pasti ada yang mengaitkannya dengan 1Malaysia; malah mungkin juga beranggapan saya cuba mempersenda gagasan muluk 1Malaysia yang diperkenalkan separuh masak oleh Perdana Menteri pada April 2009. Apakah saya tiada kerja lain yang berfaedah dalam kehidupan di mayapada?
.
Namun, alang-alang menyentuh angka 1, elok juga saya meluahkan pandangan dan tanggapan saya mengenai 1Malaysia. Kalau diperhatikan, pada peringkat awal saya memperkatakan mengenai konsep/gagasan/apa sahaja 1Malaysia di blog ini – DI SINI - DI SINI - DI SINI - DI SINI – saya menggunakan perkataan “satu” (one) dan bukannya nombor “1”.
.
Angka “1” (numerik) biasanya merujuk (tetapi tidak terhad) kepada ukuran unit manakala perkataan “satu” (one) membawa makna yang lebih mendalam. “1” adalah fizikal/luaran dan “satu” pula dalaman/semangat.
.
Sekadar contoh yang paling mudah difahami masyarakat kita: “Saya ada 1 isteri, 2 kereta, 3 rumah, 4 buku.” Angka yang digunakan di sini merujuk pada “unit” dan “jumlah”. Bezakan apabila individu itu berkata, “Kesemua isteri saya satu kepala; asyik mengomel.” Dalam hal ini, perkataan “satu” tidak bermakna keempat-empat isteri berkenaan berkongsi satu (angka) kepala! Sebaliknya mereka memiliki pemikiran atau perangai yang sama.
.
Bezakan pula kalau lelaki yang sama merungut: “Kesemua isteri saya ada 1 kepala.” Dalam konteks ayat ini, tentulah sedikit melucukan kerana “1” tentu sahaja merujuk pada “angka” (empat isteri berkongsi 1 kepala ... err, jangan bayangkan yang bukan-bukan!) atau bahawa memang setiap isteri itu normal dan masing-masing ada 1 kepala.
.
Begitulah juga – pada pandangan saya – apabila angka atau pun nombor “1” diletakkan di hadapan “Malaysia” menjadi 1Malaysia. Kalau anda merasakan saya silap, cubalah membazir masa bertanya kesemua menteri, apa yang sebenar-benarnya mereka faham tentang konsep “1Malaysia”. Percayalah, anda akan mendapat puluhan jawapan; tentunya tidak termasuk menteri-menteri yang tidak tahu bercakap, tidak mahu bercakap, tidak dibenarkan bercakap, tidak dapat dihubungi, tidak boleh dihubungi, tidak dapat dikesan, tidak mahu komen, menunggu arahan Perdana Menteri dan entah apa lagi. Dan kalau pun ada menteri-menteri yang bercakap – memang ramai yang pantang diberi peluang bercakap, khususnya apabila ada kamera televisyen sedang merakam – mereka akan hanya mengeluarkan kenyataan berciri retorik yang sedikit pun tidak membantu menjawab pertanyaan “Apa yang anda sebenar-benarnya faham mengenai konsep 1Malaysia”!
.
Bandingkan pula apabila digunakan frasa “Satu Malaysia”. Kita tidak memerlukan seorang menteri yang tidak berpelajaran sekali pun untuk memahami bahawa konsep “satu” (one atau oneness) membawa makna “kesatuan”, “perpaduan”, “integrasi” dan seumpamanya yang sebenarnya sudah terangkum indah dalam konsep “Bangsa Malaysia”.
.
Tidak ada 4 Malaysia, 11 Malaysia, 73 Malaysia. Orang paling bodoh di dunia pun tahu bahawa ada 1 (numerik) Malaysia sahaja. Dan orang yang ada sedikit ilmu akan tahu bahawa apabila ada 1 (numerik) sahaja, tidak perlulah diletakkan nombor “1” di depannya. Cukup dengan “Malaysia” sebab tidak ada lebih daripada 1 (angka) Malaysia.
.
Sekadar contoh, pernahkah Badut Paul Latic dan konco-konconya menggunakan konsep 1Allah?
.
Akan tetapi, saya mungkin dituduh tetikus yang cuba membaiki labu-labu milik Si Luncai. Tambahan, tentulah saya tidak sebijak think tank (baca: tin kosong) dan Wanita Farsa (Farce Lady) yang menjadi pujaan dan rujukan persembahan Badut Paul Lathic.
.
Apa pun, berbalik pada topik perbincangan yang lebih penting dan mampu menentukan hala tuju serta transformasi negara mengikut acuan yang ditentukan pemimpin berjiwa Rakyat ... (Sila baca dengan gaya ucapan plastik golongan politikus) ... 7Malaysia. Cantik, bukan?